Juara chef dunia: pertandingan yang melakar peta chef-chef di seluruh dunia

Pertandingan Juara Chef Dunia ini terbuka kepada semua peserta yang mempunyai minat dalam bidang masakan, pastri serta penyediaan makanan dan minuman (F&B).

Juara chef dunia: pertandingan yang melakar peta chef-chef di seluruh dunia

KUALA LUMPUR – Pertandingan Juara Chef Dunia pasti menjadi lipatan sejarah Malaysia kerana ia akan tercatat di dalam Malaysia Book of Records sebagai acara yang menampilkan kategori pertandingan jenis masakan paling banyak dan juri pertandingan paling ramai.

Pertandingan ini yang bakal diadakan pada 13 Disember 2019 sehingga 15 Disember 2019 di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar, Kedah mewajibkan para peserta memenuhi syarat kategori pertandingan iaitu  menyediakan 81 jenis masakan.

Terdapat 14 kategori utama yang perlu dipenuhi oleh setiap peserta yang menyertai pertandingan Juara Chef Dunia anjuran Persatuan Masters Kulinari Malaysia tajaan Vesta yang diwakili oleh Encik Yap Bok Tuck.

Kesemua 14 kategori utama itu ialah patisserie, paparan sejuk, dim sum, kuih tradisional Melayu, masakan panas, masakan Jepun, artistik, persembahan, cabaran pub, persembahan yang memaparkan kemewahan makanan (gold opulence service), kemahiran memotong daging, cabaran barista, warga emas dan vegetarian.

Satu lagi syarat pertandingan yang wajib dipatuhi oleh setiap peserta ialah mereka TIDAK menyediakan masakan ataupun hidangan yang mengandungi daging khinzir dan alkohol sebagai antara bahan masakan kerana Juara Chef Dunia ialah sebuah pertandingan berkonsepkan mesra kepada semua kaum di Malaysia.

Para peserta pertandingan juga disyaratkan menggunakan hasil pertanian Agro sebagai bahan dalam masakan masing-masing.

Satu lagi yang menarik perhatian pihak Malaysia Book of Records tentang pertandingan yang bukan sahaja disokong tetapi disahkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani ini  ialah ia diadili oleh 69 orang juri profesional, penglibatan juri paling ramai untuk membuat penjurian terhadap para peserta kelak.

Rata-rata antara 69 orang juri profesional dalam dan luar negara yang bakal mengadili para peserta Juara Chef Dunia, mereka dipilih daripada kalangan yang mahir dalam bidang  kulinari. Ini sejajar dengan fokus pertandingan yang lebih menjurus ke arah kemahiran kulinari para peserta.

Dalam apa jua pertandingan, para peserta pasti berhadapan dengan cabaran dan Juara Chef Dunia tidak terkecuali di mana para peserta akan dicabar secara individu yang memerlukan seseorang peserta itu mempunyai minda yang kuat.

Selain itu, para peserta juga akan diuji menerusi cabaran berpasukan yang secara tidak langsung akan memupuk semangat kerja sama berpasukan atau pun team work.

Pertandingan Juara Chef Dunia ini terbuka kepada semua peserta yang mempunyai minat dalam bidang masakan, pastri serta penyediaan makanan dan minuman (F&B).

Juara Chef Dunia ibarat serampang dua mata kerana selain daripada melahirkan seorang chef terhebat, ia mempromosikan masakan Melayu dan masakan rakyat Malaysia atau makanan tempatan ke seluruh dunia.

Menerusi platfrom Juara Chef Dunia, para pelancong dari luar negara akan lebih mengenali makanan Malaysia dan sekali gus, melakarkan senarai masakan Malaysia di peta chef-chef dunia .

Mempromosikan budaya sesebuah negara itu tidak dibatasi dengan kebudayaan tetapi juga boleh dilakukan melalui masakan dan inilah yang bakal dihasilkan menerusi Pertandingan Juara Chef Dunia.

Ilmu masakan yang ada dalam dada seorang peserta bukan sahaja disulami dengan air tangan dan resipi yang akan dikongsi tetapi turut mencakupi skil dan teknik yang dipamerkan di hadapan 69 orang juri pertandingan, idea yang dikongsi sesama peserta pertandingan dan yang penting, ilmu yang dapat dipelajari antara satu sama lain.

– HASZ/MACTRAINING/BebasNews
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.