Sukar cari pelapis dondang sayang

0
170
GAMBAR hiasan Baba Boon Kim Geok (tengah)/Harian Metro.

 

MELAKA — Kudrat Boon Kim Geok mungkin agak terbatas berikutan tubuhnya yang semakin dimamah usia, namun tutur katanya tetap indah dan diselang-seli dengan pantun yang diolah spontan.

Wajah lelaki berusia 84 tahun itu sentiasa ceria apabila bercakap mengenai warisan yang dicintainya iaitu Dondang Sayang.

Bagi menjawab soalan penulis mengenai harapan dan nasihat penggiat Dondang Sayang berketurunan peranakan Baba-Nyonya itu terhadap generasi muda masa kini mengenai masa depan seni berkenaan, beliau berpantun:

 “Hati senang memetik nangka,
Pergi memetik jangan ditangguh,
Nasihat saya untuk orang muda,
Belajar Dondang Sayang bersungguh-sungguh”

Mesra dengan panggilan Baba Boon, beliau meluahkan keinginannya untuk melihat lebih ramai anak muda bergiat dalam Dondang Sayang kerana bimbang seni itu akan hilang ditelan zaman.

Baba dan Nyonya membuat persembahan nyanyian Lagu Rasa Sayang di Pentas Jonker Walk, Bandar Hilir, Melaka ketika Festival Antarabangsa Baba dan Nyonya.

Beliau tidak keberatan untuk melatih sesiapa sahaja yang benar-benar mahu menjadi pelapis yang seterusnya akan mampu menghidupkan, mempertahankan serta berusaha demi kesinambungan seni warisan itu di masa depan.

IKUT DARAH MUDA

Baba Boon yang lebih 50 tahun mengabdikan diri dalam warisan turun-temurun masyarakat negeri ini memberitahu bahawa sukar mencari pelapis muda untuk meneruskan seni Dondang Sayang.

“Generasi sekarang terlalu  ikut darah muda, mereka kurang sabar. Mereka yang ingin menuntut ilmu menjadi pelapis penggiat Dondang Sayang mudah meninggalkan pembelajaran seni warisan itu separuh jalan,” katanya yang ditemui di rumahnya di Lorong Pandan, kira-kira 7 kilometer dari sini.

Penggiat Dondang Sayang itu menjelaskan bahawa Dondang Sayang adalah sebuah seni yang mempunyai kehalusan tersendiri, justeru memerlukan kesabaran serta penelitian tinggi untuk dikuasai.

Sambil berbual, beliau menyelitkan serangkap pantun:

“Si kaduk panjat pokok pisang,
Jumpa kuda terus melompat,
Jika umur masih panjang,
Belajar sungguh sampai dapat.”

Dondang Sayang dipercayai wujud sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka, dan merupakan seni persembahan yang mengandungi unsur muzik dan nyanyian tradisional Melayu yang sangat menghiburkan, ada kalanya agak melucukan.

Dinyanyikan dalam bentuk berbalas pantun yang spontan, Dondang Sayang di sampaikan secara santai oleh penyanyi-penyanyinya. Alat-alat muzik Dondang Sayang terdiri daripada biola, akordian, gong kecil, gendang, kompang dan rebana.

Pada 29 Nov tahun lalu, Dondang Sayang mendapat pengiktirafan dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai ‘Representative List of The Intangible Cultural Heritage of Humanity.’

DENGAR DAN HAYATI

Sementara itu, seorang lagi penggiat Dondang Sayang Alimah Daud, 69,  memberitahu bahawa ada usaha melahirkan pelapis penggiat Dondang Sayang, namun pada masa sama mengakui kata-kata Baba Boon bahawa anak muda perlu sabar dalam mempelajari warisan itu.

“Generasi muda mesti ambil tahu dan peka pasal seni budaya ini. Masa kita buat persembahan mereka mesti dengar betul-betul dan hayati pantun spontan yang dijual dan dijawab,” katanya ketika ditemui Bernama di kediaman beliau di Bachang, kira-kira 5 kilometer dari sini.

Beliau yang bergiat dalam Dondang Sayang sejak hampir 30 tahun lalu berharap semua pihak termasuk agensi-agensi kerajaan dan syarikat-syarikat swasta turut terlibat dalam usaha melahirkan pelapis dan mempopularkan seni itu dalam kalangan generasi muda.

Beliau berkata golongan muda sememangnya berminat untuk menyaksikan Dondang Sayang terutama persembahan pantun lucu yang menghiburkan, namun kini tidak banyak persembahan Dondang Sayang yang dapat mereka tonton.

JEMPUTAN BERKURANGAN

“Ini kerana, jemputan semakin berkurangan kerana dalam keadaan ekonomi semasa, tidak banyak pihak yang menganjurkan majlis-majlis sedangkan sebelum ini kami selalu dijemput untuk membuat persembahan di majlis makan malam, kenduri kahwin, berbuka puasa, pembukaan perniagaan dan majlis rasmi kerajaan.

“Keadaan itu memberi kesan kepada jemputan untuk persembahan Dondang Sayang,” tambah beliau.

Alimah berkata, persembahan seumpama itu secara tidak langsung mendedahkan Dondang Sayang kepada golongan muda, jadi bila persembahan pada majlis seumpama itu semakin berkurangan sebahagian besar usaha pendedahan turut terkesan.

Kata beliau kerajaan melalui pelbagai agensi seperti Institut Seni Malaysia Melaka (ISMMA) telah mengorak langkah melahirkan bakat Dondang Sayang.

“Usaha melahirkan bakat Dondang Sayang tidak sepatutnya diletakkan di tangan kerajaan semata-mata. Kita harap ada syarikat swasta atau mana-mana agensi atau badan-badan bukan kerajaan (NGO), anjurkan program tanggungjawab sosial korporat mengenai pendedahan Dondang Sayang kepada generasi muda terutama pelajar sekolah dan lahirkan bakat baharu Dondang Sayang,” katanya lalu menambah dengan pantun:

“Bunga gaharu di tepi padang,
Gugur ditimpa si pohon nangka,
Kalau tak tahu Dondang Sayang,
Jangan mengaku orang Melaka.”

MALU UNTUK BELAJAR

Seorang lagi penggiat warisan, Sundaram Palani Padiachi, 62, berketurunan Chetti berkata Dondang Sayang adalah milik semua rakyat Malaysia, bukanlah warisan yang dimiliki oleh satu bangsa sahaja.

Beliau yang terlibat dalam seni itu sejak zaman remajanya menegaskan, menjadi tanggungjawab generasi muda negara ini, tanpa mengira bangsa untuk mempertahan warisan itu.

“Bagaimanapun berdasarkan pengalaman, terdapat perasaan malu dalam kalangan anak muda untuk berbuat demikian.

“Kita memang ajak anak muda untuk berjinak-jinak dalam Dondang Sayang, bermula dengan bermain alat muzik kerana daripada pengalaman, ramai anak muda minat bermain muzik, tetapi bila kata main muzik tradisional, mereka rasa malu dengan kawan-kawan,” katanya.

Bagi menarik lebih ramai generasi muda menyertai Dondang Sayang, beliau bersama penggiat warisan kampungnya iaitu Kampung Melaka Chetti , kira-kira 5 km dari sini, akan berusaha menghidupkan kembali seni persembahan warisan itu khususnya di perkampungan itu dan mengikis perasaan malu kalangan anak muda.

Selain itu pihaknya juga merancang untuk mengadakan bengkel bagi memastikan orang ramai terutama anak muda memahami dengan lebih teliti seni warisan Dondang Sayang itu.

CUNGKIL BAKAT MUDA

Suara penggiat Dondang Sayang yang sangat mahukan lebih ramai anak muda mewarisi legasi warisan itu didengari sendiri oleh Ketua Menteri Melaka Adly Zahari yang nekad mahu melahirkan generasi pewaris Dondang Sayang menerusi pelbagai program kerajaan negeri serta jabatan dan agensi berkaitan.

Menurut beliau, usaha melatih pewaris Dondang Sayang bukan sekadar memberi pendidikan mengenai sejarah, muzik dan nyanyian Dondang Sayang kepada generasi muda semata-mata, malah usaha mencungkil dan mengetengahkan bakat baharu Dondang Sayang perlu dilakukan dengan berkesan.

“Kita mahu warisan ini dipelihara turun-temurun, sebab itulah banyak inisiatif baharu dan penganjuran program berkaitan Dondang Sayang diperkenalkan dari masa ke masa. Bimbingan dan tunjuk ajar sahaja tidak mencukupi, bakat perlu dicungkil dan diketengahkan supaya boleh dibentuk menjadi pewaris sebenar.

“Kita akan beri ruang kepada mereka untuk kembangkan bakat, gabungkan bakat dan persembahan mereka, kalau kita buka ruang ini bakat baharu akan dapat dicungkil dan pada masa sama dapat mempertahan warisan serta menyumbang kepada industri pelancongan negeri,” katanya dalam satu temu bual dengan Bernama baru-baru ini.

Penulis rasakan Pantun Dondang Sayang berikut sesuai untuk menegaskan peri pentingnya usaha menjaga warisan seni itu supaya generasi akan datang dapat mengenali dan mencintai warisan nenek moyang mereka.

“Dara berbedak menyikat rambut,
Sambil memakai emas bersaga,
Kalau tak hendak intan tercabut,
Kenalah pandai tuan menjaga.”

— BERNAMA

 

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here