‘Sasterawan akan tetap kritik k’jaan meski terima elaun’ – Zurinah Hassan

0
113
Foto: DBP

 

SASTERAWAN negara akan terus mengkiritk melalui karya sekiranya perlu, meskipun selepas menerima peruntukan elaun RM5,000 sebulan daripada kerajaan baru-baru ini, kata Zurinah Hassan.

Zurinah, 70, yang merupakan salah seorang daripada tujuh Sasterawan Negara yang menerima elaun tersebut menegaskan bahawa sebarang pengiktirafan dan wang ringgit tidak akan mempengaruhi haluan dalam penulisannya.

“Kita tak kisah, bagi duit apa semua tapi pemikiran, penulisan tetap tak terpengaruh dengan wang ringgit.

“Macam kita dapat (gelaran) Sasterawan Negara, maknanya kerajaan dulu bagi kita (pengiktirafan) Sasterawan Negara (tapi) bukan nak bagi kita berhenti daripada tulisan-tulisan yang mengkritik dia, kita teruskan mengkritik,” katanya kepada Malaysiakini pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Meraikan Penggiat Seni dan Sastera malam tadi di Sentul, Kuala Lumpur.

Zurinah yang juga dikenali dengan nama pena Haniruz merasakan bahawa pemberian elaun itu sepatutnya diberikan sebelum ini lagi.

Katanya, jika dibandingkan dengan negara lain, Sasterawan Negara sepatutnya sudah lama diberikan pengiktirafan seperti hari ini kerana ramai yang tidak mengetahui bahawa para sasterawan sanggup berkorban masa, wang dan tenaga untuk menumpukan kepada sastera.

“Macam saya, saya bersara secara pilihan sendiri. Umur saya belum lagi 50 tahun masa tu. Jadi bayangkan kalau saya bekerja tu ada 10 tahun lagi.

“Bayangkan kalau saya berhenti waktu tu, berapa banyak wang yang saya, dari segi material, saya telah kehilangan. Tapi bila kita ambil ini (elaun), jangan pula menuduh kita sebagai pengkhianat semua,” katanya.

Pada 24 Jun lalu, kerajaan memperkenalkan elaun RM5,000 sebulan untuk penerima anugerah Sasterawan Negara, dengan Kementerian Kewangan meluluskan peruntukan tambahan RM35,000 kepada Kementerian Pendidikan untuk bayaran itu mulai bulan depan hingga Disember ini.

Bagaimanapun, beberapa pihak mempertikaikan pemberian tersebut yang menyifatkan ia tidak wajar kerana terlalu tinggi dan dikatakan lebih baik diberikan kepada yang lebih memerlukan seperti bekas tentera, nelayan, atau bilal masjid.

Manakala, ada juga yang berpendapat bahawa elaun itu sepatutnya diberikan sejak pentadbiran BN lagi memandangkan golongan sasterawan sudah lama diabaikan.

Tujuh sasterawan tersebut merupakan A Samad Said, Muhammad Salleh, Noordin Hassan, Anwar Ridhwan, Ahmad Kamal Abdullah, Baha Zain dan Zurinah.

Seniman biasanya tak hidup senang

A Samad Said yang lebih dikenali dengan Pak Samad pula berkata pemberian elaun itu satu penghargaan simbolik yang berharga dan akan lebih mendorong para sasterawan berkarya.

“Saya sendiri pun tak sangka sebenarnya. Tapi kalau ditanya siapa pun, saya fikir elaun itu pemberian, penghargaan yang munasabah. Dan kami sebagai seniman biasanya tak hidup senang,” katanya kepada pemberita.

Sasterawan Negara ke-4 itu berkata, sebahagian daripada elaun itu digunakan untuk membeli buku yang menurutnya semakin mahal hari ini.

Mengulas mengenai pihak yang mempertikaikan jumlah elaun itu sebagai terlalu tinggi, penulis berusia 87 tahun itu berkata ia bergantung kepada individu itu sendiri.

“Saya tak tahu soal besar kecil ini adalah soal individu. Dan bagi orang yang ada duit, duit semacam tu kecil. Bagi orang yang tak ada duit, duit yang macam tu (elaun RM5,000) besar.

“Tapi yang penting adalah ingatan bahawa keselesaan diberikan itu demi orang yang mencipta seni,” kata penulis novel Salina dan Cinta Fansuri itu.

Bagaimanapun, apabila ditanya sama ada penghargaan sedemikian sewajarnya diberikan sewaktu kerajaan BN, beliau hanya menjawab, “Ya, sebenarnya (sepatutnya begitu), tapi ini pun Alhamdulillah.”

Pemberian elaun tak harus jadi isu

Pelakon dan panel penasihat Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Bront Palarae pula berkata pemberian tersebut bukanlah satu isu kerana ia telah pun dilaksanakan di negara lain.

“Takkanlah negara kita tak berjiwa bangsa sampai tak ada penghargaan ataupun mungkin kita memang sentiasa pandang remeh sampai benda ni bila ada orang yang cuba beri penghargaan, kita jadikan benda tu polemik ke apa?

“Jadi, dari sudut pandangan saya, it’s a long overdue (sudah kelewatan). Ini adalah sasterawan kita. Kalau kita tak hargai, siapa lagi?

“Takkan kita nak tunggu Papua New Guinea untuk hargai kita punya sasterawankan?” katanya kepada Malaysiakini ketika ditemui di majlis tersebut.

Ditanya sama ada terdapat perbezaan dalam penghargaan terhadap seni dan budaya, Bront berkata dia menerima sokongan daripada semua pihak, namun, mengingatkan bahawa perbezaan bukan dari segi siapa yang mengambil alih tapi bagaimana pihak tersebut meninggalkan kesan.

Memetik jurulatih Liverpool, Jurgen Klopp, Bront berkata: “Tidak penting apa tanggapan orang ketika anda datang, tapi lebih penting apa tanggapan mereka ketika anda sudah pergi.

“Setakat yang kita tahu, yang keluar sebelum ni, keluar dengan tak berapa elok baunya. Jadi harap yang masuk ni dalam keadaan yang wangi, keluarnya pun wangi,” tambahnya.

https://www.malaysiakini.com/news/482162
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here