‘Ayam sabung’ Pesaka tanpa Jufferi, Rahmah

0
74
MEGAT Zulkarnain Omardin (berdiri, tengah) yakin ada kejutan penambahan pingat emas daripada pesilat negara biarpun tanpa Mohd. Al-Jufferi Jamari dan Siti Rahmah Mohamed Nasir dalam Sukan SEA, November ini. – fotoBERNAMA
Oleh KAKI BANGKU

 

SEMAKIN samar untuk dua ‘ayam tambatan’ Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), Mohd. Al-Jufferi Jamari dan Siti Rahmah Mohamed Nasir dapat menurunkan berat badan bagi berpindah kelas saingan menjelang Sukan SEA Ke-30, November ini.

Kedua-dua pendekar dan srikandi itu seperti sudah boleh melupakan temasya serantau dwitahunan itu gara-gara tuan rumah,  Filipina meniadakan acara Kelas E Putera dan F Puteri kegemaran yang turut pernah menabalkan mereka selaku juara dunia.

Al-Jufferi, 27,  perlu bertukar kepada Kelas D (60 hingga 65 kilogram) daripada E (65 hingga 70 kg) sementara Rahmah mesti menyertai Kelas B (50 hingga 55 kg) memandangkan hanya kedua-dua acara itu yang terhampir dan menawarkan pingat emas Sukan SEA Filipina.

Malah kedua-dua Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan 2015 dan 2016 ini baru  sahaja menjalani pemulihan kecederaan dengan Institut Sukan Negara (ISN), Bukit Jalil sedangkan dua atlet bagi kelas berkenaan sudah pun giat berlatih menghadapi Sukan SEA.

Bagi Kelas D Putra sudah ada  Zulfazly Zulfakar, 22, sementara Nurul Khaliza Kharudin, 20, dipertaruhkan bagi Kelas B Puteri dalam silat Sukan SEA yang berlangsung di Pusat Persidangan dan Pameran Teluk Subic nanti.

Namun mereka menurut Setiausaha Agung Pesaka, Datuk Megat Zulkarnain Omardin, seperti  ‘ayam sabung muda’  yang tidak sesekali gentar sesiapa pun lawan yang tampil di Pusat Persidangan dan Pameran Teluk Subic nanti.

Hanya sembilan acara yang dipertandingkan dalam edisi ke-30 ini dengan Pesaka sekadar meletakkan sasaran dua emas daripadanya yang jauh berbeza dengan pencapaian 10 emas daripada 20 yang dipertandingkan di Kuala Lumpur, dua tahun lalu.

“Kejutan penambahan emas kita boleh berlaku walaupun dua itu sasaran munasabah. Kita sudah hilang kebanyakan lubuk emas termasuk kegemaran Jufferi dan Rahmah,” katanya yang juga Ketua Kontinjen negara ke temasya itu.

Satu sandaran emas Malaysia nanti ialah Muhammad Faizul Nasir (Kelas B Putera) yang memburu hatrik berturut-turut selepas meraih emas sulung dalam Sukan SEA Singapura 2015 dan berjaya mempertahankannya di Kuala Lumpur 2017.

“Mereka  ‘ayam sabung muda’ kita yang tidak peduli atau gerun lawannya juara Asia atau dunia atau Sukan SEA. Bahasa mudahnya, mereka hendak masuk bertarung dan menang. Saya suka pertaruhkan yang begini sebab kalau terlalu senior nanti, mereka agak berkira-kira mengenai undian dan siapa lawan,” katanya.

Tanpa Sukan SEA, Jufferi dan Rahmah dipercayai bakal beralih tumpuan persediaan ke Kejuaraan Asia di Chengdu, China dari 18 hingga 23 Disember ini iaitu beberapa hari selepas Sukan SEA yang dianggap antara pertandingan yang mempunyai penyertaan terbesar.

—BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here