Pendidikan tinggi percuma untuk asnaf, OKU seawalnya 2020

0
6079

KEMENTERIAN Pendidikan akan menyediakan pendidikan percuma di peringkat pengajian tinggi untuk golongan memerlukan seawalnya tahun depan.

Menurut jawapan parlimen bertarikh 3 Julai, Kementerian Pendidikan akan memulakan pendidikan percuma di pusat pengajian tinggi awam untuk sebilangan orang kurang upaya (OKU) dan golongan asnaf yang akan dikenal pasti.

“Terkini, Kementerian Pendidikan sedang melihat keupayaan universiti awam (UA) untuk memberi pendidikan percuma kepada mereka yang layak terutama daripada golongan B40.

“Jika perkara ini dilaksanakan, ia akan melibatkan kos tambahan kepada UA iaitu sebanyak RM150 juta bagi setiap tahun (jika pengambilan B40 adalah 10 peratus dari jumlah pengambilan),” katanya lagi.

Ia bagi menjawab soalan Annuar Musa (BN-Ketereh) berhubung sejauh mana kesediaan Kementerian Pendidikan dalam melaksanakan dasar pendidikan percuma dan bila ia akan dilaksanakan.

Kata Kementerian Pendidikan, pada masa ini pendidikan di peringkat rendah dan menengah ialah percuma sementara penuntut di universiti awam hanya membayar 10 peratus daripada kos operasi.

“Ini bermakna pelajar secara tidak langsung menerima 90 peratus subsidi daripada kerajaan,” katanya lagi.

Bagaimanapun rancangan untuk memberikan pendidikan percuma secara sepenuhnya memerlukan kajian terperinci.

“Kerajaan dalam usaha menimbangkan cadangan memberikan pendidikan percuma sepenuhnya agar dapat mengurangkan beban rakyat mendapatkan pendidikan.

“Bagaimanapun ia memerlukan kajian terperinci kerana mempunyai implikasi kewangan yang besar kepada kerajaan dan kelestarian institusi penyedia perkhidmatan pendidikan pada masa akan datang,” katanya lagi.

http://bit.do/eX9Fy
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here