Jemaah Malaysia berada dalam keadaan baik di Tanah Suci

0
30
SEBAHAGAIAN 430 jemaah haji daripada kumpulan pertama mengadakan ziarah di Masjid Nabawi dan kawasan sekitarnya, semalam. NSTP/EMAIL

 

KUALA LUMPUR — Semua jemaah Haji yang sudah berada di Tanah Suci pada masa kini berada dalam keadaan baik meskipun cuaca panas dilaporkan berlaku di sana dengan Lembaga Tabung Haji (TH) akan sentiasa memantau mereka dari masa ke semasa.

Melalui kenyataan TH, pihaknya sudah melaksanakan persediaan yang sewajarnya berkaitan perkhidmatan perubatan dan kesihatan jemaah Haji di Tanah Suci dengan menempatkan 260 petugas perubatan terlatih merangkumi doktor, jururawat dan anggota sokongan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Mengulas lanjut menurut TH, seramai 260 petugas perubatan ini sebahagian daripada 640 petugas Haji termasuk baki 380 adalah petugas kebajikan yang dibawa ke Tanah Suci bagi memberikan perkhidmatan perubatan dan kesihatan kepada jemaah Malaysia khususnya dalam berdepan cuaca panas di sana.

“Keseluruhan petugas Haji tahun ini ialah 640 orang termasuk 23 doktor pakar dan 37 doktor biasa yang dibawa ke Tanah Suci bagi memberikan perkhidmatan perubatan dan kesihatan kepada semua jemaah Malaysia.

“Para petugas perubatan ini ditempatkan di kinik bagi setiap maktab dan zon, pusat rawatan Makkah dan pusat rawatan Madinah, ” katanya kepada BH, di sini semalam.

Pada tahun ini, seramai 30,200 jemaah Malaysia akan mengerjakan haji yang berangkat ke Tanah Suci dalam 62 penerbangan bermula 4 Julai dan akan berakhir 4 Ogos nanti. 

Pada masa sama, TH menyebut bahawa  jangkaan suhu yang panas dan ekstrem antara 40 hingga 50 darjah celcius ini boleh menyebabkan badan kekurangan air dan garam yang boleh membawa kepada kejutan panas dan membawa maut.

Justeru katanya, antara panduan yang diberikan oleh TH kepada jemaah Haji ialah menjaga kesihatan diri, membudayakan amalan kebersihan, minum air yang secukupnya dan jangan terlalu terdedah kepada matahari.

Selain itu, jemaah Haji juga diminta memakai pakaian yang sesuai, tidak dedahkan diri kepada cuaca yang panas begitu lama serta tutup mulut dan hidung dengan penutup mulut atau kain nipis apabila berada di kawasan berdebu bagi mengelakkan penularan penyakit berjangkit terutama melibatkan salur pernafasan.

“TH juga memberi panduan supaya jemaah sentiasa minum air setiap kali pulang dari masjid atau selepas berjalan sebanyak dua hingga tiga liter sehari khususnya apabila panas, membuat senaman dan pengambilan makanan sihat.

“Selain itu, jika batuk dan selesema berterusan selama 24 jam jemaah dinasihatkan segera ke klinik di bangunan penginapan iaitu di maktab atau zon untuk mendapatkan rawatan, ” katanya.

-Berita Harian

 

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here