Permaisuri Agong berangkat ucap selamat jalan pada jemaah haji

0
4
RAJA Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ketika menyampaikan sumbangan kepada bakal jemaah haji pada Majlis Mengucapkan Selamat Jalan Kepada Bakal Jemaah Haji ke Tanah Suci di Kompleks TH Sepang. NSTP/AHMAD IRHAM MOHD NOOR.

 

SEPANG — Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini berangkat mengucapkan selamat jalan kepada jemaah haji Malaysia yang akan berlepas ke Tanah Suci  dari Kompleks Haji Sepang di sini.

Di awal titah, Raja Permaisuri Agong memaklumkan bahawa baginda mewakili  Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang tidak dapat berangkat hadir kerana gering disebabkan bengkak di bahagian buku lali.

“Saya mewakili  Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia yang gering kerana buku lali bengkak dan dinasihatkan oleh  doktor supaya rehatkan kaki.

“Saya ingin sampaikan salam  Tuanku yang minta maaf tidak dapat hadir atas faktor kesihatan. Seri Paduka ucapkan tahniah kepada yang terpilih untuk menjadi tetamu Allah  bagi musim haji tahun ini,” titah Tunku Azizah.

Dalam titah yang disampaikan Raja Permaisuri Agong menyampaikan pesanan Seri Paduka yang mahukan semua jemaah haji negara memberi tumpuan melaksanakan kesemua rukun and wajib haji yang dipelajari sepanjang kursus haji Lembaga Tabung Haji.

Tunku Azizah turut berkongsi pengalaman sendiri menunaikan ibadah haji yang disifatkan baginda sebanyak tiga setengah kali dan melalui pelbagai peringkat kemudahan dan keselesaan. 

Menurut Raja Permaisuri Agong, kali pertama baginda menunaikan ibadah haji ialah ketika berusia 15 tahun yang baginda sifatkan sebagai haji ‘ekonomi’.

“Ketika itu  tidak ada hotel, duduk di rumah ‘sheikh’, basuh baju sendiri dan tidur di lantai. Ketika itu sekeliling Kaabah masih lagi tanah dan mimbar yang tinggi dengan sedikit marble (marmar) untuk tawaf dan sa’ie,” titah Tunku Azizah.

Titah Raja Permaisuri Agong, kali kedua baginda menunaikan haji ialah pada 1992 yang disifatkan  business class kerana sudah ada hotel.

“Kali ini lebih selesa,” titah baginda lagi.

Titah Tunku Azizah kali ketiga baginda menunaikan ibadah haji ialah pada musim haji 2006 di mana Aidiladha jatuh pada 1 Januari 2007.

“Ketika itu duduk di istana di atas bukit. Ini saya sifatkan first class. Hari Raya Haji pula jatuh pada 1 Januari 2007. Jadi saya sudah rasa duduk rumah sheikh, business class dan kemudiannya first class. Saya bersyukur kerana bemula  dari bawah,” titah Raja Permaisuri Agong.

Titah Tunku Azizah, ibadah haji baginda yang setengah lagi ialah pada 1960 ialah di mana baginda berusia enam bulan dalam kandungan ketika kedua almarhum ayahanda dan bonda menunaikan ibadah haji.

Pada hari ini, seramai 483 jemaah haji terdiri daripada 200 lelaki dan 264 perempuan bersama 19 petugas berlepas ke Madinah melalui penerbangan keenam iaitu XY 5658.

Sementara itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa dalam ucapannya berkata sehingga hari ini sebanyak 2,000 jemaah haji Malaysia sudah berada di Madinah.

Sejumlah 30,200 jemaah haji Malaysia akan mengerjakan Rukun Islam kelima  tahun ini   menggunakan lebih 62 penerbangan sewa khas haji terus ke Tanah Suci  bermula 4 Julai sehingga 4 Ogos 2019.

Mereka akan dibantu  oleh 640 petugas daripada TH.

 — BERNAMA

 

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here