Vida anggap sedekah, bayar kos peguam Aishah

0
41
VIDA bersama peguamnya, Zailan Mohamed pada sidang akhbar yang diadakan di kediamannya baru-baru ini.

 

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

 

PADA 6 Julai lalu bertempat di kediaman Datuk Seri Vida (DSV) di Ipoh telah diadakan satu sidang akhbar bagi menjelaskan cerita sebenar apa yang berlaku selepas proses mediasi antara usahawan kosmetik itu dengan penyanyi Aishah.

DSV atau nama sebenarnya Hasmiza Othman yang diwakili oleh peguam Zailan Mohamed menjelaskan pada 1 Julai baru-baru ini pihak mereka dan Aishah telah melakukan proses mediasi di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Berikut adalah penjelasan daripada pihak DSV dan reaksi mereka terhadap tindakan Aishah yang dianggap telah ‘menikam belakang’ kerana tidak mematuhi syarat persetujuan bersama hasil daripada mediasi.

Kenapa tidak mengadakan sidang akhbar serentak bersama Aishah pada 3 Julai lalu?

Zailan: Kalau mengikutkan mediasi, sepatutnya kita mengadakan sidang akhbar atas persetujuan kedua-dua belah pihak. Ini lain pula ceritanya, kami memang tak tahu Aishah akan buat sidang akhbar pada 3 Julai kerana tidak dimaklumkan.

Saya tak tahu yang Aishah nak buat sidang akhbar selepas mediasi. Sepatutnya Datuk Vida dengan dia buat satu sidang akhbar bersama-sama. Itu yang dirancangkan dan peguam juga dah tahu.

Malah dah sedia maklum kalau buat sidang akhbar di hotel Datuk Vida tanggung kos dan kalau di restoran, kongsi 50-50. Itu yang dipersetujui dalam mediasi, tapi dia dah buat sidang akhbar dulu.

Semalam (5 Julai) pun kita dah hantar surat menyatakan yang kita akan buat sidang akhbar hari ini (6 Julai), kita panggil dia datang ke sini tapi dia tak nak datang.

Sidang akhbar hari ini berkaitan apa?

Di sini saya ingin memperbetulkan kenyataan beberapa media yang salah faham dengan keputusan mediasi. Untuk makluman, pada 1 Julai lalu kita ada satu proses mediasi dan sekiranya tiada mencapai persetujuan antara kedua-dua belah pihak maka perbicaraan penuh akan dijalankan selanjutnya.

Sebenarnya pada hari mediasi, kedua-dua belah pihak telah mencapai persetujuan bersama dan bukannya perintah daripada mahkamah.

Ada sesetengah media mengatakan bahawa ini adalah perintah mahkamah untuk Datuk Vida melaksanakan apa-apa yang patut. Sebenarnya ini adalah mediasi yang telah dipersetujui oleh kedua belah pihak.

Ini adalah perintah mediasi di mana persetujuan telah diterima dan kita akan rekodkan di situ sahaja dan tidak perlu untuk bicara selanjutnya.

Sekiranya tiada persetujuan pada hari mediasi, barulah akan dilaksanakan perbicaraan.

Apa hasil mediasi tempoh hari?

Kalau ikut dalam perintah mediasi, dengan persetujuan artis itu bahawa Datuk Seri Vida tidak mahu memanjangkan isu berkenaan dan kedua-dua pihak bersetuju untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Datuk Vida berpendapat, jika perbicaraan dijalankan banyak pihak yang terguris nanti dan ada insan yang akan dipanggil untuk memberi keterangan di mahkamah.

Tapi apa yang berlaku sebaliknya, selepas mediasi hari itu dan bila artis dapat semua maklumat, dia terus pergi ke kedai emas tersebut. Masa itu Datuk Vida, masih lagi di mahkamah menghadiri jamuan hari raya.

Adakah pihak Datuk Vida kecewa dengan tindakan Aishah?

Sebetulnya kami terkejut dengan tindakan Aishah kerana pihak mediasi telah memberitahu bahawa tunggu sehingga kita dapat surat menyurat, tapi Aishah telah pergi dengan peguamnya ke kedai emas tersebut.

Datuk Vida yang masih lagi berada di mahkamah selepas mediasi, tiba-tiba dapat panggilan telefon daripada kedai emas mengatakan Aishah berada di situ dan telah memilih beberapa barang yang dia suka. Sebenarnya situasi itu mengejutkan kami.

Memang kita telah maklum kepada Aishah yang Datuk Vida memberi kelebihan kepadanya dalam hal ini dengan harapan isu itu dapat diselesaikan dengan cara profesional.

Apa yang telah diambil oleh Aishah di kedai emas itu?

Kalau ikut mediasi, kita dah buat perjanjian bahawa dia hanya boleh pilih rantai emas putih dan Datuk Vida masih baik hati membenarkan Aishah pilih barangan kemas sendiri pada kadar harga RM80.000 sebagai ganti. Sekarang ini dia nak rantai kuning, bukan berlian. Dia pilih lima barang termasuk sebentuk cincin untuk suaminya.

Datuk Vida dengan hati suci bersetuju kalau dia nak ambil juga tetapi apa yang membuat pihak kami terkejut adalah semua itu berlaku selepas mediasi, iaitu pada hari yang sama.

Sedangkan dokumentasi belum siap sepenuhnya. Nama kedai emas itupun atas jasa baik Datuk Vida memberitahu kedai emas mana yang perlu dia pergi. Kita pun terkejut kerana dalam masa dua tiga jam kemudian orang kedai telefon kata Aishah dan suami ada di kedai tersebut sedang memilih apa yang mereka kehendaki.

Perkara yang dipinta oleh Aishah itu mungkin tidak ada masalah pada Datuk Vida tapi disebabkan cara penyampaian Aishah itu menguris hati Datuk Vida, tolonglah jadi profesional.

Kalau dia kata dia profesional tapi sebenarnya dia tak profesional sebab dia tikam belakang kita balik. Dan tak sepatutnya berlaku begitu. Kalau kita dah ada penyelesaian, kenapa dia perlu uar-uarkan kerana dia telah dapat apa yang mahu. Benda belum sampai ke tangan lagi dia telah uar-uarkan. Baru dapat pukul 10 pagi, kita di luar kamar untuk menyelesaikan apa keperluan dia, pukul 2 petang, dia dah ada kat kedai emas.

Pihak mediator telah memberitahu tunggu sehingga kertas kerja siap sebab kita diberi tempoh sehingga 17 Julai, banyak perkara yang perlu kita uruskan. Kenapa dia tidak boleh tunggu. Apa perasaan anda kalau dibuat begitu.

Pada saya tak sampai di akal bila dapat keputusan hari ini terus pergi cari kedai emas tanpa berbincang dengan kita semua.

Selain membayar ganti rugi berlian asli berharga RM80,000, apa lagi yang perlu Datuk Vida buat?

Selain bayar ganti rugi barangan kemas, hasil mediasi itu juga Datuk Vida setuju untuk membayar kos guaman Aishah sebanyak RM7,5000 pada atau sebelum 17 Julai ini.

Tentang kos peguam yang kita kena bayar itu sebenarnya kita mendapat tahu bahawa dia tidak membayar pun. Saya dapat tahu daripada sumber yang sahih yang mengatakan bahawa dia tidak mampu bayar kos guaman.

Datuk Vida dengan suka citanya berkata, tak apa biar kita yang tanggung sebab tak mahu memanjangkan perkara itu atas niat bersedekah.

Kita sebenarnya, bagi dia (kos guaman) atas ihsan bersedekah kepada peguamnya yang bertungkus lumus mendapatkan benda-benda ini semua.

 

SELESAI ATAS PERSETUJUAN, BUKAN KALAH

BAGI Datuk Seri Vida, tidak ada isu kalah atau menang dalam soal isunya bersama Aishah kerana semua itu dicapai atas persetujuan antaranya dengan penyanyi tersebut.

“Di sini saya nak terangkan bukan ada istilah menang kalah. Adakah saya kalah, adakah dia menang? Tak adalah, sebab ini adalah persetujuan bersama untuk kami cari titik penyelesaian yang mana saya bayar duit peguam dia RM7,500 dan bagi pilihan kepadanya untuk memilih apa barang kemas yang dia mahu.

“Pasal bayaran peguam, kalau tak nak bayar pun boleh. Saya tanya peguam, macam mana nak beri ke tak? Atas niat ikhlas saya nak bayar sebab peguam tersebut tidak terima apa-apa bayaran sebelum ini.

“Bukan nak cakap saya baik atau apa, tapi saya kasihan dan kata tak apa, rezeki saya banyak lagi cabang yang Allah akan bagi dengan produk-produk Cik Bee, Kacak dan produk saya sendiri. Banyak rezeki Tuhan akan bagi dan terbukti sudah, tiba-tiba banyak tempahan masuk dan saya tak sangka, alhamdulillah,” katanya terus terang.

Tambah Vida, bukan beliau sengaja nak memanjangkan cerita sebaliknya semua itu mengambil masa hampir setahun lebih kerana beliau tak tahu nak buat macama mana.

“Saya bagi barang-barang saya sebagai ganti, semua jadi murah belaka. Takkan saya nak bagi barang murah lagi bila dah tahu penyakit dia.

“Jadi saya cakap tak payahlah nak beri barang kemas saya. Jadi saya ambil keputusan untuk bagi dia pilih sendiri barang mana yang dia nak. Pada saya kalau kita nak buat sesuatu walau orang lontar tahi kat kita, berbalaslah dengan kebaikan. Saya tak kisah sebab saya dah selalu hadapi pelbagai cemuhan, hinaan dan cacian, saya hanya berkata, alhamdulillah.” akuinya.

Bagi pandangan peribadinya, apabila seseorang itu akan dinaikkan darjat oleh Allah maka insan tersebut akan diuji dengan pelbagai dugaan dan reda menerima cabaran berkenaan.

“Sebab bila kita nak dinaikkan darjat, maka kita akan diuji dengan pelbagai dugaan dan saya okey saja. Saya bagi saja apa yang dia nak sebab niat saya nak orang gembira. Dia boleh pilih apa yang dia nak.

“Walhal saya boleh perjuangkan lagi tetapi biarlah kalau itu menggembirakan dia selepas setahun setengah menanti dan biarlah dia pilihlah sendiri,” jelas Vida tentang sebab kenapa beliau bersetuju membenarkan Aishah memilih barangan kemas sendiri.

Pada sidang akhbar itu juga beliau telah membuat kenyataan permohonan maaf secara terbuka kepada Aishah atas representasi salah terhadap hadiah barang kemas tambahan Gegar Vaganza 4.

“Saya akui telah terkhilaf dalam mengumumkan harga barang kemas tersebut yang mana harga tersebut merupakan harga belian ketika saya beli satu ketika dahulu.

“Saya membuat permohonan maaf ini selepas mengambil kira segala faktor dan kesan-kesan yang mana secara langsung telah melibatkan beberapa pihak lain daripada terpalit sama dalam kes ini,” katanya.

Secara jujurnya beliau berkata, perkataan maaf yang diucapkan olehnya itu seumpama memberikan sebuah penawar kepada dirinya.

“Sebelum saya minta maaf, saya nak berdoa di sini sebab kemaafan di sini sangat bernilai pada pihak sana dan terlalu bermakna kepada diri saya.

Dan saya nak doa di sini, tolong aminkan rakyat Malaysia, Ya Allah ya Tuhanku, ampunkanlah segala dosa-dosaku, dosa-dosa keluarga ibu bapaku, naikkanlah darjatku di dunia dan akhirat.

“Berilah kekayaan dunia dan akhirat kepadaku, panjangkanlah umurku dan murah rezeki kepadaku iaitu rezeki yang tidak dijangka dan rezeki yang luar biasa, rezeki yang tak akan habis sampai hari kiamat.

“Dan dengan ini saya panjatkan doa berserta dengan kemaafan daripada saya iaitu bahawa saya Datuk Seri Vida dengan ini secara terbuka memohon maaf kepada Aishah, Wan Aishah Wan Ariffin atas representasi salah terhadap hadiah barang kemas tambahan Gegar Vaganza 4,” katanya lega.

Selepas mengucap permohonan maaf tersebut, Vida berkata beliau berasa lega kerana telah melaksanakan tanggungjawab dan menunggu agar doanya dimakbulkan Allah.

–BebasNews

 

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here