Aaliyah juara luncur air dunia dalam pembikinan

Aaliyah yang paling menyerlah malah dianggap kian meningkat sebagai pakar satu daripada cabang luncur air, trick apabila kini menghuni ranking kelima bawah 21 tahun dunia dan kedua bagi remaja bawah 17 tahun perempuan dunia.

Aaliyah juara luncur air dunia dalam pembikinan
Oleh KAKI BANGKU

 

LEBIH sedekad lalu, Hanifah Yoong cuba membangunkan bakat-bakat baharu akar umbi sukan luncur air dan papan lonjak di negara ini dengan kerjasama isteri, Norzie Sulaiman dan anaknya, Alexander.

Sukan luncur air sebenarnya sudah pun mempunyai sejarah pencapaian gemilang yang dicipta seorang lagi anak Hanifah, Phillipa yang meraih sebutir pingat emas Sukan SEA Jakarta 1997, selain sebutir perak oleh Alexander, bekas pelumba kereta Formula Satu sulung negara.

Daripada 100 kanak-kanak yang dibimbingnya, hanya segelintir yang meneruskan minat sehingga hari ini kepada sukan yang disifatkan cukup lasak tetapi mampu menjadi gaya hidup itu termasuk tiga anaknya, Aaliyah, Aiden dan Adam.

Masing-masing yang kini berusia 15, 13 dan 11 tahun, turut mewakili negara dan merupakan penyumbang empat pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

HANIFAH Yoong, jurulatih negara dan tonggak pembangunan sukan luncur air dan papan lonjak Malaysia.

Aaliyah yang paling menyerlah malah dianggap kian meningkat sebagai pakar satu daripada cabang luncur air, trick apabila kini menghuni ranking kelima bawah 21 tahun dunia dan kedua bagi remaja bawah 17 tahun perempuan dunia.

“Dia juga sedang berusaha keras mempersiap diri bagi menghadapi Kejohanan Luncur Air Remaja Dunia tahun depan di Santa Rosa Beach, Florida, Amerika Syarikat,” kata Hanifah selepas pelancaran Kejohanan Luncur Air Dunia Persekutuan Luncur Air dan Papan Lonjak Antarabangsa (IWWF) 2019.

Katanya, sukan luncur air Malaysia memerlukan seorang juara dunia seperti Datuk Nicol Ann David sehingga mampu melonjakkan kemunculan banyak gelanggang skuasy dan bakat baharu tempatan menceburinya atas galakan kuat ibu bapa mereka.

“Bukan mudah untuk memastikan mereka kekal dengan minat kepada sesuatu sukan itu. Mereka mungkin berhenti atas pelbagai sebab – menyambung belajar, bekerjaya, keluarga dan patah semangat apabila pencapaian kurang memberangsangkan,” katanya.

Mengenai Kejohanan Dunia di Kompleks Sukan Air Putrajaya dari 13 hingga 19 Ogos ini katanya, ketiga-tiga anaknya di samping seorang lagi atlet remaja negara, Nadiah Nasir hanya diletakkan sasaran memperbaiki catatan peribadi terbaik masing-masing.

“Sasaran jangka panjang mereka ialah Kejohanan Dunia antara 2023 hingga 2025 atau 2026, berdasarkan umur dan pengalaman masing-masing.

Bagi Sukan SEA Filipina, November ini, mereka juga akan menyertai hanya cabang papan lonjak, luncur kabel berpasukan campuran,” katanya.

Kejohanan Luncur Air Dunia IWWF itu bakal disertai 167 peluncur air dengan lapan juara dunia akan beraksi untuk mempertahankan gelaran mereka dari 33 negara termasuk tujuh negara Asia Tenggara.

Putrajaya turut pernah menjadi tuan rumah Piala Dunia Luncur Air IWWF pada 2008 dan 2009.

–BebasNews
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.