Jemaah haji berlepas

0
12
BAKAL jemaah Jahrah Bakri ketika melihat barang keperluan sebelum berlepas ke Tanah Suci di Kompleks TH Sepang. NSTP/AHMAD IRHAM MOHD NOOR.

 

 

SEPANG —“Saya gagahkan diri untuk menunaikan fardu haji buat kali pertama kerana tidak tahu bila akan dijemput ke sana lagi.

“Walaupun kudrat saya tidak kuat tetapi semangat dan tidak sabar menyahut panggilan Ilahi,” kata Jaharah Bakri, 72, yang berasal dari Pontian, Johor.

Menurutnya, dia yang pergi seorang diri terpaksa menggunakan kerusi roda kerana kedua lututnya sakit dan bengkak di bahagian kaki.

“Saya gagahkan diri untuk menunaikan fardu haji kerana tidak tahu bila akan dijemput ke sana lagi.

“Saya tawakal kepada Allah SWT dan berharap dipermudahkan segala urusan serta ibadah ketika di Tanah Suci.

“Tahun lepas saya dapat tawaran daripada Lembaga Tabung Haji (TH) tetapi terpaksa menolak kerana sedang sakit.

“Saya terjatuh dalam bilik air menyebabkan tulang belakang di bahagian punggung patah dan terpaksa dimasukkan besi,” katanya yang ditemui di Kompleks TH, di sini, hari ini.

Jaharah berkata, dia ditahan dalam wad di Hospital Muar selama 21 hari akibat kecederaan yang dialami itu.

“Saya ada membuat rayuan kepada TH untuk membawa anak atau menantu saya tetapi ditolak kerana mereka baru mendaftar.

“Sebelum ini, saya bercadang nak pergi bersama-sama dengan adik perempuan saya tetapi dia sudah meninggal akibat penyakit barah dua tahun lalu.

“Saya anggap dugaan ini ujian daripada Allah SWT ke atas hambanya,” katanya yang tetap bersemangat untuk menunaikan haji.

Sementara itu, bagi pasangan suami isteri muda yang terpilih mengerjakan ibadah haji ia satu pengalaman berharga buat mereka.

Mohd Faiz Ismail, 31, dan isterinya, Siti Naquiah Mohamad Isa, 28, dari Shah Alam, Selangor, menerima tawaran daripada TH pada Mac lalu.

“Kami berbelah bagi sama ada menerima atau tidak kerana dua anak kami Muhammad Qabus, 4, dan Muhammad Mus’ab, 3, masih kecil.

“Alhamdulillah, kami berazam nak pergi dan segala persiapan mental serta fizikal sudah dilakukan sejak awal lagi,” katanya yang menyimpan dengan TH sejak berusia 17 tahun.

Mereka antara 483 bakal jemaah haji yang terpilih menjadi tetamu Allah sempena Musim Haji 1440H/2019M.

Jemaah berkenaan berlepas menerusi penerbangan KT06 (XY5658) dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Madinah, jam 2.30 petang tadi dan dijangka tiba jam 6 petang (waktu Arab Saudi).

Kumpulan ini terdiri daripada 200 jemaah lelaki, 264 jemaah perempuan dan 19 petugas.

-NSTP
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here