Kaji jarak Zon Penampan, susun semula industri

0
71
SEKOLAH Kebangsaan Pasir Gudang 2 dan perumahan yang bersebelahan dengan Kawasan Perindustrian Pasir Gudang. NSTP/ADI SAFRI
Oleh LUQMAN HAZIQ ABDULLAH

 

JOHOR BAHRU – Selepas digemparkan dengan kes pencemaran toksik pada Mac lalu, Pasir Gudang sekali lagi menjadi tumpuan ramai apabila insiden serupa berlaku baru-baru ini.

Jika dalam kejadian terdahulu punca pencemaran adalah kerana sisa toksik yang dibuang ke Sungai Kim Kim oleh golongan ‘penjenayah’, namun kali ini puncanya masih ‘bersembunyi’ kerana hingga kini gagal dikesan.

Apa pun punca pencemaran itu, perkara yang paling penting dan menjadi keutamaan adalah kesihatan serta keselamatan penduduk Pasir Gudang kerana saban hari masih ada yang mengalami simptom seperti pening, loya dan muntah dipercayai akibat pencemaran udara yang berlaku.

Malah, pengalaman penulis menjengah ke Pasir Gudang dua hari lalu dapat mencium bau yang tidak enak.

Mungkin bagi penduduk Pasir Gudang, mereka sudah ‘lali’ sehingga tidak dapat ‘merasainya’ namun yang sesekali berkunjung ke situ pasti dapat mengesan perbezaan yang berlaku apatah lagi apabila membuka tingkap kenderaan.

Insiden pencemaran tersebut turut memasuki episod baharu apabila ada pihak yang memfailkan saman terhadap beberapa pihak termasuk kerajaan negeri dan Menteri Besar Johor.

Namun, penulis berpendapat tindakan undang-undang bukan satu penyelesaian konkrit dan isu tersebut perlukan pendekatan yang lebih menyeluruh bagi jangka masa panjang.

Berdasarkan pemerhatian penulis, seakan-akan tidak ‘wujud’ Zon Penampan di Pasir Gudang. Walaupun memang sudah ada Zon Penampan berdasarkan kategori industri rendah  sejauh 50 meter dari kawasan perumahan penduduk, sederhana (250 meter) dan berat (500 meter).

Namun, apa yang berlaku jarak tersebut terlalu hampir sedangkan Pasir Gudang kini begitu pesat membangun.

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa ada kilang yang berada di ‘belakang’ rumah. Jadi, apa sahaja yang berlaku di kilang tersebut, penduduk pasti akan cepat terkesan.

Justeru, jarak Zon Penampan perlu dikaji semula dan tidak terlalu hampir dengan penempatan penduduk.

Ekoran pembangunan pesat Pasir Gudang, adalah lebih molek dan sudah tiba masanya kawasan perindustrian di susun semula dengan dipindahkan ke lokasi yang lebih sesuai.

Dengan adanya kawasan perindustrian baharu itu, setiap industri ditempatkan di lokasi masing-masing mengikut kategori supaya lebih terkawal.
Selain itu, tindakan penguatkuasaan juga harus dipertingkatkan, bukan apabila berlaku sesuatu insiden barulah digerakkan.

Bagi penulis, insiden pencemaran di Pasir Gudang ada hikmahnya kerana menjadi amaran yang mengejutkan lena semua pihak supaya mencari penyelesaian bagi isu pencemaran yang ibarat ‘bom jangka’ yang pasti akan meletus suatu hari nanti jika tidak ditangani segera.

–BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here