Kitamura, Daved berentap di Denai Puncak Cameron

0
8
Oleh KAKI BANGKU

PELARI Jepun, Hisashi Kitamura merupakan antara nama besar arena larian rentas denai Asia yang bakal menghangatkan Larian Rentas Denai Cameron Highlands, Pahang (Cultra) Keempat, 2019 dari 27 hingga 28 Julai ini.

Penghuni ranking kedua Asia ini sudah pun mengumpul kejuaraan Maraton Hutan Vietnam 70 kilometer (km) dengan catatan lapan jam 28 minit 49, tahun ini dan pastinya mengidam dan menjadi calon pemenang gelaran kategori utama 100 km Cultra 2019.

Kitamura jelas bukan asing bagi hutan Malaysia mahupun Asia Tenggara kerana dia juga merupakan naib juara Larian Rentas Denai Dalat 70 km dan Hutan Sungai Menyala 50 km, tahun ini.

Tidak ketinggalan ialah juara bertahan 100 km Cultra dari Sabah, Daved Simpat yang memenangi perlumbaan edisi ketiga, tahun lalu dengan catatan 12 jam 43 minit 40 saat, lebih awal separuh daripada had tempoh 29 jam yang ditetapkan penganjur.

ZULKIFLEE Zainal (kiri) dan Azlihana Abdul Rahim (dua dari kanan) merupakan tonggak penganjuran Larian Rentas Denai Cameron Highlands (Cultra) 2019.

Cultra merupakan antara 30 perlumbaan Asia sepanjang 2019 yang turut meliputi Chiang Rai di Thailand, Borneo Malaysia, IZU Jepun, Cordillera Mountain Filipina dan 9 Dragons Hong Kong.

Cultra anjuran syarikat Bolt yang menampilkan tiga lagi kategori jarak – 55, 30 dan 15 km dengan had masa masing-masing 14, lapan dan lima jam, turut menawarkan empat mata kelayakan ke Larian Rentas Denai Mont-Blanc (UTMB), Perancis yang berprestij dunia itu.

“Empat mata Cultra menanti mereka yang berjaya menamatkan larian sejauh 100 kilometer dalam tempoh 29 jam yang bermula dari pukul 3.45 pagi hingga 8.45 pagi keesokannya,” kata Pengasas yang juga Pengarah Acara Cultra 2019, Zulkiflee Zainal.

“Setiap pelari perlu mengumpul secara minimumnya 15 mata ke Mont-Blanc dan Cultra merupakan segelintir acara seumpama ini di Malaysia yang menawarkan mata itu yang boleh digunakan bagi Western State Endurance, Amerika Syarikat,” katanya dalam sidang akhbar di ibu kota.

Meneruskan amalan edisi-edisi terdahulu sejak 2016, Cultra kekal untuk tidak menawarkan sebarang hadiah wang tunai kemenangan sebaliknya hanya menambah barangan sumbangan penaja-penaja kepada pelari-pelari terbaik yang berbentuk baucar.

Cultra tahun ini berjaya menarik penyertaan 2,040 pelari dari 29 negara katanya, dengan 350 hingga 400 pelarinya dari Thailand, Indonesia dan Filipina serta Singapura yang memiliki kontinjen terbesar.

Penyertaan Cultra juga terpaksa dihadkan atas faktor keselamatan dan memelihara alam sekitar di laluan tertentu yang bakal mendapat khidmat pemantauan oleh 250 marsyal dan kru.

Pengarah Acara Bersama, Azlihana Abdul Rahim berkata, sambutan terhadap Cultra 2019 begitu hangat sehingga pendaftaran penyertaannya terpaksa ditutup selepas 15 minit dibuka biarpun proses pengundian diperkenalkan kali ini.

–BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here