Rundingan pinda undang-undang kereta terbang dimulakan

1
10
MENTERI Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof pada selepas Majlis Perasmian ”AXA TakeControl SME Challenge 2019” di SME Corporation Malaysia, Platinum Sentral, Jalan Stesen Sentral 2, KL Sentral. NSTP/MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN.

 

KUALA LUMPUR — Kementerian Pembangunan Usahawan sudah memulakan rundingan dengan pihak berkuasa dan pengawal selia penerbangan bagi meminda undang-undang untuk perniagaan berasaskan inovasi seperti dron serta kereta terbang.

Menterinya, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof, berkata ketika ini banyak usahawan tempatan berasaskan inovasi beroperasi dan membangunkan teknologi baharu di luar negara kerana undang-undangnya lebih mesra kepada pembangunan inovasi baharu.

Justeru, katanya Malaysia juga seharusnya bergerak lebih pantas menyediakan undang-undang dan ruang yang secukupnya supaya setaraf dengan negara luar yang agresif merebut peluang menjana pertumbuhan negara menerusi inovasi.

“Di Malaysia, kita sudah ada usahawan yang membangunkan dron untuk menghantar makanan, industri asas tani juga menerapkan teknologi tinggi menggunakan dron untuk sembur baja dan begitu juga dengan inovasi kereta terbang.

“Namun ia tidak boleh dilaksanakan kerana undang-undang tidak membenarkannya…. mereka tidak boleh ‘terbang’.

“Maka, bagaimana kita boleh merangsang industri untuk menggunakan inovasi seperti membina kereta terbang dan dron jika tidak menyediakan ruang udara untuk mereka,” katanya kepada sidang media di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi, berkata bagi melaksanakan perkara itu, kerajaan perlu bersedia menggubal beberapa proses bagi memudahkannya dan mengkaji semula undang-undang sedia ada supaya lebih ‘mesra’ industri berasaskan inovasi.

“Kita gubal supaya pembangunan di Malaysia boleh bergerak lebih pantas seperti yang dimahukan.

“Dengan adanya perundangan yang lebih menyokong industri berasaskan inovasi ini maka kita yakin usahawan berpotensi tinggi Malaysia akan kembali ke negara ini dan memanfaatkan peluang yang kita ada,” katanya.

https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2019/07/582935/rundingan-pinda-undang-undang-kereta-terbang-dimulakan
Please follow and like us:
error

1 COMMENT

  1. bagus sangat lah tu. harap dipermudahkan. harga nanti jangan mahal sangat. biar mampu orang ramai membelinya.

Leave a Reply to basodia Cancel reply

Please enter your comment!
Please enter your name here