Bella Astillah tak rasa diri diperguna

0
102
Oleh KHADIJAH IBRAHIM

 

BIARPUN kemunculannya dalam single Starlela bersama penyanyi Ifa Raziah dan Zizi Kirana boleh dikatakan ‘kecil’ sahaja tapi Bella Astillah tak kisah.

Baginya peluang yang diberi oleh Ifa lebih bermakna kerana lagu Starlela, ciptaan Hafiz Hamidun itu secara tak langsung memberi ruang kepadanya untuk terus mengukuhkan kedudukan dalam bidang seni suara.

Sebelum ini Bella dan Zizi berkolaborasi dengan Datuk Seri Aliff Syukri dalam lagu Jom Raya.

Ada juga berpendapat kemunculan Bella dalam lagu Starlela yang liriknya ditulis oleh Hafiz dan Zizi itu seolah-olah dipergunakan oleh Ifa untuk mempromosi fiesta perniagaan anjuran Star Vendors milknya.

“Sebenarnya lagu Starlela asalnya sekadar untuk dijadikan lagu promosi Star Vendors di Sabah sebab Bella salah seorang vendor dan rasa tak salah kalau Bella sokong kak Ifa.

“Kalau orang tengok memang akan berfikiran yang kak Ifa ambil kesempatan di atas situasi Bella tapi kalau kita tengok bahagian positif kita boleh nampak keikhlasan kak Ifa. Dia nak ke Sabah dan itu negeri kelahiran Bella. Kenapa tidak Bella nyanyi lagu itu bantu kak Ifa. Alhamdulillah, lepas lagu raya, karier nyanyian Bella semakin berkembang,” jelasnya.

Tambah Bella, pertama kali mendengar lagu itu hatinya sudah terpaut pada iramanya yang catchy itu.

“Bila dengar lagu ni yang sangat catchy, Bella terus setuju. Bahagian Bella sikit sebab Bella rakam pun di saat akhir iaitu sehari sebelum penggambaran klip video. Bella tak boleh menyanyi panjang sebab waktu itu sakit tekak.

“Apapun Bella gembira dapat rakam lagu ini dan tak rasa pun diperguna oleh kak Ifa,” jelasnya yang mendapat bantuan penuh daripada Hafiz sewaktu rakaman.

Jelas Bella untuk fiesta pertama yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada bulan puasa lalu, beliau menjual biskut raya.

Untuk fiesta kedua yang akan diadakan pada 3 dan 4 Ogos di Sabah International Convention Centre, Sabah, Bella akan jual pakaian bersama rakan kongsinya.

Bella yang baru saja selesai menjalani penggambaran drama Marilah Sayang untuk tayangan Hype TV, kini sibuk pula di lokasi drama bersiri Cinta Belum Tamat Tempoh.

Dalam drama terbitan MIG itu, Bella berlakon di samping Nafiz Muaz, Hun Haqeem dan Fendy Bakri.

HIDUP LENGKAP BIAPUN TANPA SUAMI

Selepas bergelar ibu tunggal, kehidupan Bella atau nama penuhnya Dayang Nazilah Awang Astillah, 25, dilimpahi rezeki yang banyak.

Sekarang ini Bella anggap rezekinya murah kerana berpeluang menyanyi dan berlakon dan kembali meneruskan karier yang terhenti sebelum ini.

Bella yang bercerai talak satu dengan Aliff Aziz pada 16 Mei 2019 memberitahu bahawa sekarang bukanlah masa untuknya fikir soal pengganti kerana masih terlalu awal.

“Buat masa sekarang memang tak ada sebab untuk cari teman lelaki kerana Bella lebih kepada keluarga. Tak ada terfikir untuk ada teman lelaki kerana lebih selesa dengan ada mama dan ayah serta Ayden, hidup Bella sudah lengkap.

“Nak kata serik tak sebab semua orang pun melalui fasa yang sama bagi siapa-siapa yang berumah tangga akan ada konflik. Cumanya buat masa sekarang masih baru lagi dan tak pernah terfikir apa-apa. Dalam soal Alif pula kalau Bella masih berjodoh dengan dia, alhamdulillah. Tapi kalau tak ada pun, Bella harap kita orang boleh teruskan kehidupan,” katanya yang lebih senang bersikap positif.

Tegasnya, biarpun antaranya dengan Aliff sudah tidak ada apa-apa ikatan namun bekas suaminya itu tetap ayah kepada Mohamad Ayden Adrean, 2.

“Bella tak nak bermusuh sebab fikirkan Ayden. Bella rasa buat apa nak bermusuh dengan Aliff dan kami berhubungan pun sebab anak saja.

“Kalau Ayden nampak gambar Aliff dia akan panggil daddy tanpa henti, Bella akan terus telefon Aliff. Buat masa sekarang itu saja cara yang Bella boleh buat untuk Ayden. Bila Ayden dah besar barulah Bella jelaskan kedudukan sebenar,” katanya yang masih mahu menjaga hubungan baik dengan bekas suami demi anak.

–BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here