Hampir sejuta kasut turut banjiri pulau di Lautan Hindi

0
35

JIJIK… Sampah-sarap sememangnya dibuang manusia tidak bertanggugjawab di mana-mana sahaja di dunia, daripada puncak tertinggi di Gunung Everest sehinggalah ke dasar laut dalam.

Bagaimanapun menurut hasil kajian terbaharu dipetik akhbar USA Today, timbunan sampah itu kini terdampar ‘banjiri’ sebuah gugusan pulau indah tropika di Lautan Hindi dekat Indonesia.

Sebanyak 400 juta sampah, keseluruhan dianggarkan seberat 260 tan ditemui di pantai Cocos Keeling, sebuah kepulauan majoriti penduduk Melayu di bawah pentadbiran kerajaan Australia.

Antara sampah-sarap yang ditemui penyelidik Universiti Tasmania dari Australia, Jennifer Lavers termasuk sejumlah 373,000 berus gigi dan 977,000 kasut termasuk pelbagai jenama mewah.

Kajian itu dijalankan beliau yang juga pakar biologi marin dan memberitahu rangkaian radio NPR bahawa dirinya ‘terkejut’ melihat sampah-sarap yang banyak terdampar di kepulauan tersebut.

Laporan USA Today itu turut menyatakan barang plastik membentuk lebih 95 peratus daripada keseluruhan sisa pepejal ditemui di Cocos Keeling, yang terdiri daripada 26 buah pulau kecil.

Malahan menurut kajian Lavers, “barang plastik pakai buang membentuk kira-kira 25 peratus daripada objek sampah yang dapat dikenal pasti. Ini termasuk straw, beg dan berus gigi.”

Ia merupakan kajian menyeluruh yang pertama dijalankan mengenai sampah dan ditemui di kepulauan berkenaan, kata wanita tersebut yang dilaporkan oleh akhbar di Amerika Syarikat itu.

Setiap tahun, kira-kira lapan juta hingga 12 juta tan metrik plastik dibuang di kawasan lautan. Ini tidak termasuk sekitar 150 juta tan metrik sisa plastik yang sudah dikesan di persekitaran marin.

Angka itu didedahkan oleh sebuah badan pemuliharaan laut antarabangsa, Ocean Conservancy. Plastik hanya mula dihasil pada dekad 1950-an kerana sifatnya mudah dibentuk dan kos murah.

Namun agak sukar untuk saintis menentukan berapa lama ia kekal dalam laut. Jika tidak lupus, sisa plastik boleh terus kekal berdekad lamanya atau ratusan tahun bahkan lebih lama lagi.

Apakah langkah yang boleh diambil masyarakat antarabangsa? Menurut kajian itu, “pencegahan merupakan kuncinya” selain usaha pengehadan dalam penghasilan dan penggunaan plastik.

Ini boleh dibantu menerusi “pengurusan sisa pepejal yang lebih berkesan bagi cegah bahan-bahan plastik daripada cemari lautan” di samping mengutamakan produk mesra alam sekitar.

–BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here