Jongkong emas Yakeb papar 3 Olahragawan, Olahragawati Kebangsaan

0
29
NOORUL Ariffin Abdul Hameed (kiri) menerima cek bernilai RM2,000 sebagai sumbangan PPZWP oleh CEOnya, Ahmad Shukri Yusoff bagi Kempen Tabung Yakeb Bagi Bekas Atlet sebelum perlawanan persahabatan di Akademi Bola Sepak Kuala Lumpur, Taman Melawati, Hulu Klang.

 

Oleh KAKI BANGKU

 

DATUK Malek Noor, Datuk M. Rajamani dan Datuk Ng Joo Ngan akan mendapat penghormatan sebagai tiga jagoan silam sukan pertama negara yang wajah mereka diukir pada jongkong emas keluaran Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) pada 18 Julai ini.

Ketiga-tiga bekas atlet bina badan, olahraga dan berbasikal itu turut akan diukir pencapaian ringkas masing-masing pada belakang jongkong sebesar kad bayar tol dan seberat 0.5 gram itu, kata Pengerusi Yakeb, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed.

“Sebagai permulaan, kami akan mengeluarkan hanya 100 hingga 200 keping sahaja untuk dijual kepada umum bagi mengisi dana Yakeb. Majlis pelancarannya akan dilakukan oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman,” katanya.

Tiga bekas atlet negara seterusnya yang akan diberikan penghormatan sama jelasnya ialah ratu trek olahraga, Datuk Paduka Mumtaz Jaffar, Raja Kayuh 80-an, Rosman Alwi (berbasikal) dan Datuk Mirnawan Nawawi (hoki).

Penjualan jongkong emas bekas atlet negara ini selain mengukuhkan dana, mampu mengurangkan pergantungan Yakeb kepada bantuan kewangan kerajaan semata-mata yang memerlukan RM1.57 juta setiap tahun bagi membantu ahli-ahlinya.

Angka itu kebanyakannya bakal digunakan untuk membiayai kos perubatan mereka yang semakin tinggi manakala jasa dan pengorbanan bekas-bekas atlet negara akan sentiasa segar dalam ingatan dan terus dihargai masyarakat khususnya para peminat sukan tanah air menerusi pengeluaran jongkong emas itu.

Sementara itu, Yakeb turut meneroka program kerjasama dengan Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan (PPZWP) yang melantiknya sebagai ejen kutipan zakat dalam kalangan atlet dan bekas atlet negara sebagai satu lagi saluran membantu golongan itu.

“Sebagai ejen, kami akan dapat antara 20 hingga 37 peratus daripada jumlah kutipan itu untuk disalurkan kepada asnaf bekas-bekas atlet yang layak,” katanya.

Terdahulu beliau menerima sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) sebanyak RM2,000 daripada PPZ WP bagi Kempen Tabung Yakeb Bagi Bekas Atlet di Akademi Bola Sepak Kuala Lumpur, Taman Melawati, Hulu Klang, semalam.

“Kerjasama Yakeb dengan pihak pengutip zakat ini merupakan yang ketiga selepas dengan Selangor dan Terengganu (membantu legenda bola sepak, Zapril Hashim dan Azman Salleh, atlet olahraga kurang upaya),” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif PPZWP, Ahmad Shukri Yusoff berkata, program CSR itu merupakan langkah awal atau mukadimah membina hubungan dengan Yakeb bagi menggalakkan kesedaran umat Islam menunaikan rukun Islam keempat itu malah akan merintis kepada pelbagai bentuk pada masa akan datang.

Satu perlawanan persahabatan turut berlangsung yang menyaksikan PPZWP menewaskan Pilihan Yakeb 5-4 yang antaranya dibarisi legenda bola sepak seperti Khalid Ali, Malek Rahman, Hardi Jaafar, Subadron Aziz, Datuk Ramlan Askolani, Shahrin Majid, Karim Pin dan Yap Kam Choon serta A. Jayakanthan.

—BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here