Makaf kini ada 2 ‘Mahaguru’, 2 Exco

0
96
EXCO baharu Makaf penggal 2019-2021 yang dipilih oleh 12 ahli gabungan pada mesyuarat agung dwitahunan di Menara Sri Wilayah, Putrajaya, hari ini.

 

Oleh KAKI BANGKU

 

PEGAWAI veteran karate negara dan antarabangsa, Datuk Clement Soo Ah Wah hari ini dipilih menerajui Majlis Eksekutif baharu (Exco) Persekutuan Karate Malaysia (Makaf) bagi penggal 2019-2021 sambil menggesa Pesuruhjaya Sukan mengiktiraf barisan yang mengambil alih Exco terdahulu pimpinan Tan Sri Mohd. Ali Rustam ini.

Enam puluh perwakilan daripada 12 ahli gabungan Makaf yang menghadiri mesyuarat agung dwitahunan (BGM)  bagi pemilihan ini turut memilih dua Timbalan Presiden – Datuk Lim Chee Jin dan Senior Asisten Komisioner Sulaiman Salleh serta tiga lagi Naib Presiden  iaitu Anathan Kupusamy, Subramaniam Mayavan dan Datuk Dr. Yusoff Nook.

Exco baharu Makaf yang dibentuk di Menara Sri Wilayah, Putrajaya ini turut mendakwa mempunyai hak dan kuorum mencukupi berdasarkan sokongan majoriti ahli gabungan untuk melangsungkan pemilihan itu walaupun berdepan writ saman yang dikemukakan Exco Makaf terdahulu.

Namun 10 lagi ahli gabungan Makaf antaranya Selangor, Labuan dan Sabah yang turut diundangkan menghadiri BGM itu dan dipercayai masih berpihak kepada Exco Makaf (Ali dan Setiausaha Agungnya, Nur Azmi Ahmad) tidak menghadirinya, menurut Setiausaha Agung baharu persekutuan, Thiagu Ponniyah.

BGM ini ialah ekoran undi tidak percaya 12 ahli gabungan Makaf kepada Ali dan Exco terdahulu pada mesyuarat agung luar biasa 9 Jun lalu selepas kegagalan mereka menjalankan mesyuarat agung tidak lewat dari 31 Mac setiap tahun dan bertentangan dengan Artikel 9 (i) Perlembagaan Makaf.

Writ saman mahkamah yang dikemukakan Exco lama Makaf terhadap jawatankuasa 12 ahli gabungan ‘pemberontak’ ini turut dianggap sebagai terlalu awal namun tidak menjejaskan keputusan pemilihan ini kerana sepatutnya diselesaikan secara dalaman terlebih dahulu.

“Inilah barisan baharu yang lebih berpengalaman dan berkelayakan dalam hal-hal teknikal karate. Kami ada kuorum yang mencukupi dengan 12 ahli gabungan dan dianggap majoriti berdasarkan Perlembagaan Makaf.

“Ahli-ahli gabungan kami jugalah yang banyak melahirkan juara kita lalu dan mahu memajukan sukan karate negara. Kami ada 145 pengadil yang berkelayakan berbanding hanya 45 milik Exco lama (bersama 10 lagi ahli gabungan),” kata Clement selepas BGM itu.

Exco baharu ini turut  akan terus merujuk kepada Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sekiranya Pesuruhjaya Sukan baharu, Dr. Wirdati Mohd Radzi  masih tidak dapat menyelesaikan isu pengiktirafan berkenaan.

Kata Thiagu: “kami kini akan mengemukakan laporan BGM untuk dapatkan pengiktirafan Pesuruhjaya Sukan dan pihaknya perlu mengambil tindakan yang sepatutnya malah tiada sebab untuk tidak boleh menerimanya kerana proses pemilihan kami berdasarkan Perlembagaan Makaf.

“Kami tiada masalah dan sanggup berdepan apa sahaja saman Exco lama walaupun tindakan mereka terlalu awal diambil dalam masa yang begitu singkat malah sepatutnya diselesaikan secara proses dalaman dan serahkan keputusan muktamadnya kepada Pesuruhjaya Sukan,” katanya.

Clement selain itu melahirkan rasa sedih dengan hanya sasaran empat pingat emas Sukan SEA Filipina, November ini yang diletakkan Exco Makaf terdahulu sedangkan tegasnya, skuad negara wajar meninggikannya kepada muncul juara atau naib juara keseluruhan temasya serantau ke-30 itu.

“Hanya sebutir gangsa yang kita menangi dalam Sukan Asia di Indonesia, tahun lalu kami dulu pernah melahirkan pasukan negara yang muncul antara empat teratas Asia,” katanya yang ditewaskan penyandang, Ali, 57 berbalas 52 undi dalam pemilihan 28 Oktober tahun lalu.

Exco Makaf 2018-21 (10 ahli gabungan)

Presiden: Tan Sri Mohd. Ali Rustam

Timbalan Presiden: Datuk Seri Mohamed Nordin dan Vincent Chen

Naib Presiden: Datuk Lau Puan Long, Datuk Jake Jikulin dan Shamsudin Shaikh Ali

Setiausaha Agung: Datuk Nur Azmi Ahmad

Penolong Setiausaha Agung:  Julian Chin

Bendahari: Tan See Toh

Penolong Bendahari: M. Pannerselvam

Exco Makaf 2019-2021 (12 ahli gabungan)

Presiden: Datuk Clement Soo

Timbalan Presiden: Datuk Lim Chee Jin dan Senior Asisten Komisioner Sulaiman Salleh

Naib Presiden: Anathan Kupusamy, Subramaniam Mayavan, Datuk Dr. Yusoff Nook

Setiausaha Agung: Thiagu Ponniyah

Penolong Setiausaha Agung: Asisten Supritendan Sokhibul Helmy Mazlan

Bendahari Agung: Jee Chek Hwang

Penolong Bendahari Agung: Stalin Savarimuthu

—BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here