Tanda positif lawatan Emir Qatar ke Washington

0
14
Foto: QATAR Times

 

Susunan oleh HARIS ZALKAPLI

 

EMIR Qatar, Syeikh Tamim bin Hamad al-Thani melawat ibu negara Amerika Syarikat dan mengadakan perbincangan panjang dengan Presiden Donald Trump semalam, menunjukkan tanda-tanda positif hubungan kedua-dua negara.

Perbincangan antara Emir Tamim dan Presiden Trump meliputi hal ehwal perdagangan melibatkan Qatar dan AS, dan isu hubungan dua hala pada masa Doha dikepung oleh tiga negara jirannya, Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu, dan Bahrain, serta sekutu rapat mereka Mesir sejak Jun 2017.

Dalam pertemuan ini, Trump menunjukkan sikap berbeza berbanding kecamannya terhadap Qatar sejurus pakatan empat negara Arab terbabit memulakan boikot dan sekatan. Trump melalui Twitter pada masa itu menyebelahi pendirian Abu Dhabi dan Riyadh yang mengaitkan Doha dengan sokongan kepada teroris.

Lawatan Tamim ke Washington ini diadakan pada masa sekatan terus berlangsung, tetapi pada masa yang sama, ketegangan antara AS dengan Iran sedang meningkat dan memungkin konflik yang akan melibatkan kawasan Teluk Parsi.

Ini menjelaskan kenapa Trump bersedia membuat pusingan u dengan berdiplomasi dengan Qatar, walaupun pada masa sama bekerjasama rapat dengan Abu Dhabi dan Riyadh.

Agenda serantau yang kini dibawa AS melalui menantu dan penasihat Trump, Jared Kushner yang digelar “deal of the century” telah selesai dibincangkan di Bahrain, dan kelihatan sukar menerima sokongan, tetapi menunjukkan kerjasama rapat negara-negara Arab terbabit dengan Washington, dan normalisasi hubungan yang semakin jelas dengan Israel.

Rancangan Kushner itu bertujuan “mencapai kedamaian melalui ekonomi,” meliputi pelaburan berpuluh bilion untuk menyusun semula Gaza, melibatkan perpindahan penduduknya ke Sinai. Pelan dikritik hebat ini diusahakan dengan bersungguh-sungguh oleh pentadbiran Trump, dengan kerjasama rapat Israel dan sekutu-sekutu Arab terutama Saudi, UAE, dan Mesir.

Selepas dua tahun sekatan tanpa sebarang hasil yang jelas, Trump kini terpaksa berusaha ke arah penyelesaian tanpa menjejaskan kepentingannya di Asia Barat, terutama di kawasan Teluk Parsi yang dikuasai Iran.

Qatar ialah lokasi pengkalan tentera al-Udeid, pengkalan terbesar AS di Asia Barat di lokasi strategik Teluk Parsi. Qatar semakin rapat dengan Iran sejak sekatan dimulakan, tetapi kekal sebagai sekutu dan rakan pertahanan yang penting bagi AS di Teluk Parsi.

Pada masa hubungan AS dengan sebuah sekutu Nato, Turki, semakin keruh, Qatar menunjukkan kesediaan memulihkan dan meningkatkan hubungan dengan AS.

Satu lagi kelebihan penting Qatar ialah peranan sebagai perantara dalam rundingan-rundingan damai, agenda dasar luar yang sudah dilaksanakan sejak Emir Hamad bin Khalifa al-Thani.

Di Doha, rundingan damai melibatkan Taliban dengan pelbagai pihak di Afghanistan telah mencatat kejayaan paling besar kali ini, hasil peranan Qatar dan Jerman. Taliban yang mempunyai pejabat di Doha terkesan oleh pengaruh kerajaan Qatar, dan posisi ini menjadikan Qatar penting bagi AS.

Rundingan yang baru selesai di Doha dipersetujui dengan satu road map ke arah perdamaian di Afghanistan. Dalam satu kenyataan Kementerian Luar Qatar, rundingan antara pelbagai pihak dengan Taliban ini telah “mencapai kejayaan.”

Qatar juga mempunyai kelebihan ekonomi dan kekal menjadi antara pengimport utama barangan AS. Dalam pertemuan Tamim dengan Trump, presiden AS itu mengumumkan penerusan “pembelian dalam jumlah besar” pesawat Boeing oleh Qatar.

Kontrak berbilion ini amat bermakna pada masa ini, kerana dapat meningkatkan eksport dan mewujudkan peluang pekerjaan di dalam negara melalui syarikat AS, agenda yang menepati janji pilihan raya Trump.

Perkembangan ini menunjukkan satu kejayaan Qatar dalam menghadapi tekanan negara-negara jirannya, dan kejayaan mengendali hubungan dengan AS yang selama ini kelihatan amat mencabar di bawah Trump yang kuat dipengaruhi Arab Saudi dan UAE.

–BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here