Kecoh KKM didakwa sembunyi lantikan transgender

0
2
Oleh AMREE AHMAD

 

KECOH… Berita seorang transgender atau pondan, Rania Zara Medina dilantik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dikatakan menjejaskan ‘mood’ rakyat untuk meraikan ulang tahun ke-94 Tun Dr. Mahathir Mohamad semalam.

Biarpun alasan bahawa pemenang ikon Transwomen Malaysia 2017/2018 itu dipilih ikut prosedur sedia ada di KKM, tindakan itu masih tidak dapat diterima ramai.

Tidak kurang yang mempersoalkan tidak adakah calun lain yang layak daripada 32 juta rakyat Malaysia untuk dipilih KKM menjadi ahli Country Coordinating Mechanism (CCM) bagi Malaysia untuk penggal 2019-2021?

Rania dikatakan menerima surat pelantikannya pada 25 Jun lalu dan isu berkenaan cuba dirahsiakan sebelum tular dalam kalangan para pengguna media sosial.

Penyokong tegar pro-Kerajaan Pakatan Harapan (PH) ‘bekerja keras’ untuk menafikannya tetapi perkara itu disahkan Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye kemudiannya.

Boon Chye selaku Pengerusi CCM Malaysia mengakui memilih Rania Zara, 26, yang mewakili sebuah badan bukan kerajaan dikenali sebagai Justice for Sisters dan berkuat kuasa mulai 1 Julai lalu.

Malangnya, setelah umat Islam ‘kecoh’ bantah pelantikan transgender itu, barulah terbongkar cerita Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad sendiri pun tidak tahu-menahu isu ini.

“Saya baru sahaja dimaklumkan dan akan bincang ini dalam mesyuarat Kabinet,” katanya sekali gus cetus persoalan apakah sesama menteri dan timbalannya itu tiada koordinasi komunikasi.

Jika benar Rania Zara dilantik sebagai antara 25 ahli CCM Malaysia, ini adalah pertama kali seorang transgender diberi tempat khas oleh pihak kerajaan baharu.

Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Dr. Noraini Ahmad menyifatkan KKM sebagai cabar nilai moral rakyat negara ini dengan menyokong pejuang LGBT dan amalan gaya hidup songsang

“Harus diingat Malaysia ialah negara Islam contoh yang dipandang tinggi di mata dunia tetapi pelantikan itu bakal beri imej buruk dan cabar Islam sebagai agama Persekutuan,” tegas beliau.

Ironi sekali, Kerajaan PH yang sebelum ini melaung-laung memperjuangkan ketelusan tetapi bertindak sebaliknya. Entah apa lagi yang sedang dirahsiakan apabila Menterinya sendiri tidak tahu apa yang berlaku.

–BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here