Malaysia komited dalam usaha  berterusan ADMM sebagai platform penting kerjasama pertahanan ASEAN

0
41
Foto ikhsan Thailand Government House.

 

BANGKOK —Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu mengetuai delegasi Malaysia ke mesyuarat  ke-13 Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) di sini hari ini.

Sebelum bermula mesyuarat beliau bersama Menteri Pertahanan negara ASEAN yang lain mengadakan kunjungan hormat kepada Perdana Menteri Thailand, Jeneral Prayuth Chan-o-cha.

Pada sesi tersebut kesemua mereka bersetuju dengan pandangan Jeneral Prayuth mengenai kepentingan ADMM untuk bekerjasama menangani cabaran keselamatan serantau.

ADMM merupakan platform utama bagi semua 10 menteri pertahanan ASEAN membincangkan isu-isu keselamatan serta pertahanan serantau dan antarabangsa.

Ia juga membina kepercayaan dan keyakinan, selain meningkatkan ketelusan dan keterbukaan antara negara-negara ASEAN.

Selaras dengan tema 13th ADMM, iaitu “Sustainable Security” (keselamatan mampan), kesemua Menteri Pertahanan negara ASEAN telah menandatangani dokumen pengisytiharan bersama (Joint Declaration of the ASEAN Defence Ministers) yang antaranya menyatakan persetujuan terhadap pelaksanaan inisiatif meningkatkan dan melestarikan kerjasama pertahanan dalam kalangan negara ASEAN.

Inisiatif seperti ASEAN Our Eyes dan Guidelines for Maritime Interaction mempamerkan usaha ADMM untuk mengoptimumkan perkongsian maklumat, membina kepercayaan dan keyakinan serta melestarikan kerjasama pertahanan antara negara ahli ASEAN bagi menghadapi cabaran keselamatan serantau.

ADMM turut memberi penekanan kepada keperluan perkongsian pengetahuan dan kepakaran dalam bidang perubatan ketenteraan melalui penubuhan ASEAN Military Medicine Conference (AMMC).   

Mesyuarat juga mengiktiraf kepentingan dan sumbangan rakan dialog dalam usaha mewujudkan keamanan dan kestabilan serantau.

Sehubungan itu, ADMM bersetuju untuk memperluas inisiatif infrastruktur perhubungan terus (ADI) dengan negara rakan dialog ASEAN.

Foto: Emel.

ADMM juga bersetuju meneruskan kerjasama membina keupayaan pertahanan menerusi pelaksanaan ADMM-Plus Expert Working Groups untuk kitaran keempat, iaitu dari 2020 hingga 2023.

Mesyuarat membincangkan keperluan meningkatkan kesedaran dalam mengukuhkan kerjasama pertahanan, menyokong pengurusan sempadan dan memerangi ancaman aktiviti penangkapan ikan melanggar undang-undang, yang tidak dilaporkan dan yang tidak terkawal (IUU Fishing).

Kesemua aktiviti ini sering dikaitkan dengan jenayah rentas sempadan, seperti penyeludupan manusia, dadah dan ancaman lanun.

Secara keseluruhannya, mesyuarat 13th ADMM berjaya menggariskan matlamat untuk meningkat, mengekal dan melestarikan kerjasama pertahanan bagi mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi memelihara keamanan, keselamatan dan kestabilan rantau ASEAN.

Kehadiran Mohamad Sabu sebagai Menteri Pertahanan Malaysia di mesyuarat ini memanifestasikan kesungguhan dan komitmen berterusan Malaysia kepada ADMM sebagai platform penting kerjasama pertahanan pelbagai hala yang menyumbang kepada hubungan diplomasi pertahanan Malaysia dengan negara ahli ASEAN serta rakan dialog ASEAN.

—BebasNews

 

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here