Mokhtar Dahari: Legenda No. 10 dalam kenangan

0
288
HARIMAU Berantai Malaysia’, Mokhtar Dahari (kanan) bertukar cenderamata pasukan dengan kapten Boca Juniors yang juga bintang juara Piala Dunia Argentina 1986, Diego Maradona dalam perlawanan persahabatan 13 Januari 1982 di Kuala Lumpur.
Oleh KAKI BANGKU

 

HARI ini 11 Julai, genap 28 tahun kembalinya Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari ke rahmatullah.

Legenda bola sepak Malaysia ini bagaikan patah tiada tumbuhnya dan sudah hilang tidak berganti.

Allahyarham meninggal dunia pada usia 38 tahun akibat diserang penyakit motor neuron atau lemah daya otot di Pusat Perubatan Subang Jaya, Selangor pada pukul 8.25 pagi 11 Julai 1991.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Tengku Zarina Tengku Ibrahim dan tiga anak, Mohd. Redza, Nur Azera dan Nur Arina.

Kaki Bangku menyorot kembali detik-detik kehebatan Supermokh yang turut diiktiraf sebagai Penyerang Terbaik Asia 1976 oleh majalah World Star Soccer ini.

Sepuluh pingat Piala Malaysia, empat pingat juara Pestabola Merdeka, dua pingat emas Sukan SEA dan yang tertinggi – pingat gangsa Sukan Asia 1974 jelas satu koleksi pencapaian yang tiada tandingannya sehingga hari ini.

DI Stadium Persepolis, Tehran itu juga, lima golnya membantu Malaysia membelasah Filipina 11-0 dalam perlawanan Kumpulan C  malah memupuk gandingan serangan paling serasinya, Allahyarham Isa Bakar.

SUPERMOKH (empat dari kiri) dan rakan sepasukan meraikan kejayaan menjuarai Pestabola Merdeka 1976 dalam larian kemenangan di trek Stadium Merdeka.

Rembatan derasnya persis peluru sejauh 30 meter pada minit ke-32 pada 30 Mei 1978, menewaskan  Joe Corrigan untuk mengikat England B 1-1 dalam perlawanan persahabatan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

Kagum pengurus lawan, mendiang Sir Bobby Robson – “gol yang istimewa dan antara terbaik pernah saya saksikan.

Dua golnya turut menghampakan penjaga gol Arsenal, Geoff Barnett dan tiga rakan sepasukannya yang juga pemain England untuk menang 2-0 tanggal 11 Mei 1975 di hadapan 30,000 penonton di gelanggang sama.

“Malaysia cukup baik untuk ke Piala Dunia 1978,” kata pengurus Gunners, Bertie Mee. “Penyerang anda deras, aset yang tidak ternilai buat mana-mana pasukan,” sambungnya.

Empat tahun sebelum Argentina menjulang Piala Dunia 1986 di Mexico, bintangnya, Diego Maradona saling bertukar cenderamata kelab Boca Juniors dan ‘berentap’ dengan ‘Harimau Berantai Malaysia’ itu yang memimpin Selangor XI dalam perlawanan persahabatan 13 Januari 1982.

Kap sulung antarabangsa dikecapnya apabila menentang Sri Lanka dalam Piala Ulang Tahun Jakartaraya 1972 dan yang terakhir ketika menghadapi Korea Selatan pada Kelayakan Piala Duna 1985 di Seoul.

Pernah diundang sebagai penulis kolum ‘Mokhtar Dahari Menulis’ dalam majalah Dunia Sukan sehingga mencetuskan hubungan dingin dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selain menjadi pelakon undangan filem ‘Mekanik’ arahan Othman Hafsham pada 1983.

Pada 8 Mei 2010, Kementerian Belia dan Sukan menamakan satu daripada gelanggang Kompleks Futsal Putrajaya, ‘Gelanggang Mokhtar Dahari’ manakala Akademi Bola Negara Mokhtar Dahari dirasmikan pada 10 April 2014 sebagai sebahagian Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN).

Mohd. Redza yang kini berusia 39 tahun, turut mewarisi bakat bola sepak arwah ayahnya dengan pernah menyarung jersi skuad bawah 14 tahun Kuala Lumpur sebelum Selangor dalam Piala Presiden 1999 hingga 2003 dan Sukan Malaysia (Sukma) 2000 dan 2002 serta Piala Emas Raja-raja 2000 dan 2003.

 

Petikan kata-kata menarik:

“Saya bekerja keras untuk apa yang saya capai hari ini.” – Kepada penulis buku biografi ‘Mokhtar Dahari: Lebih Sedekad Bergelumang Dengan Bola Sepak’ karya Joe Marcose (mendiang), Zainol Fakir dan Mustakim Aminuddin.

“Di tengah-tengah lautan kaki dalam kotak penalti lawan dan ruang antara penjaga gol dan tiang-tiang golnya, satu-satunya ruang bagi seorang penyerang untuk melakukan percubaan gol dalam beberapa detik itu hanyalah seluas pintu jamban.” – Kepada bekas Pengarang Sukan Berita Harian, Datuk Hishamuddin Aun.

“Kolum penyerang England B, Gordon Hill dalam majalah bola sepak ternama negara itu, Shoot! yang paling bernilai dan bermakna besar buat saya. Tulisannya dalam empat perenggan berbunyi, seorang lelaki bernama Hero Dahari menjaringkan gol penyamaan untuk seri 1-1 dengan England B.” – Kepada bekas Pengarang Sukan Berita Harian, Datuk Hishamuddin Aun.

“Terharu dan berbesar hati kerana Mokhtar Dahari terpilih sebagai nama untuk akademi ini. Satu pengiktirafan yang sangat besar dan semoga menjadi sumber inspirasi generasi muda untuk berjaya.” Anak Mokhtar, Mohd. Reza mengenai Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari di Gambang, Pahang.

BIODATA MOKHTAR DAHARI

Tarikh lahir: 13 November 1953

Tarikh meninggal dunia:  11 Julai 1991

Asal: Setapak, Kuala Lumpur

Pasukan diwakili: Malaysia, Selangor, Kelab Sultan Sulaiman (KSS), Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Talasco, Kwong Yik Bank

Pengalaman kebangsaan: Selangor (Piala Burnley 1971 hingga Piala Malaysia 1987)

Pengalaman antarabangsa: Pestabola Merdeka 1972 hingga Kelayakan Piala Dunia 1985

Penampilan antarabangsa: 167 kali

Jaringan Piala Malaysia: 177 gol

Jaringan antarabangsa: 125 gol

Pencapaian: Juara Piala Malaysia (Selangor, 10 kali – 1972, 1973, 1975, 1976, 1978, 1979, 1981,1982, 1984, 1986; juara Pestabola Merdeka (Malaysia, 4 kali – 1973, 1974, 1976, 1979); pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 1977 dan Jakarta 1979, perak Manila 1981; pingat gangsa Sukan Asia Tehran 1974, Olahragawan Kebangsaan 1976, Ahli Anugerah Kelab Seabad Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 1999

—BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here