Star Vendors bukan nak caras sesiapa – Ifa Raziah

0
110
BERSAMA komposer Hafiz Hamidun (kiri).
Oleh KHADIJAH IBRAHIM

 

SELEPAS Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, kini pihak pengurusan Star Vendors akan mengadakan fiesta jualan tanpa henti di Sabah Trade Centre, Kota Kinabalu, Sabah pada 3 dan 4 Ogos depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Star Vendors, Ifa Raziah berkata, sambutan yang diberikan oleh orang ramai sewaktu acara di PWTC memberi semangat kepada pasukannya untuk mengadakan acara yang sama di Negeri Di Bawah Bayu.

Untuk acara yang akan bermula pada pukul 10 pagi hingga 12 tengah malam itu, sebanyak 128 booth (gerai) niaga akan beroperasi dan 25 selebriti akan menjayakan program tersebut, selain daripada usahawan Sabah juga.

Menurut Ifa, penubuhan Star Vendors bukan bertujuan untuk bersaing dengan acara yang sedia ada sebelum ini. Sebaliknya, Star Vendors diwujudkan bagi membantu selebriti tanah air membabitkan diri dalam bidang keusahawanan demi masa depan.

“Saya wujudkan Star Vendors ini bukan untuk caras atau bersaing dengan sesiapa kerana banyak acara (fiesta jualan) dalam Malaysia ini, masing-masing punya pemasaran, strategi dan konsep tersendiri.

“Konsep Star Vendors ini berbeza daripada apa yang ada sebelum ini. Bila saya buat di tempat yang sama orang ingat saya tiru penganjur sedia ada. Sedangkan pada hari itu banyak lagi acara yang sama berlaku di tempat lain,” jelasnya.

Ifa yang ditemui pada majlis memperkenalkan muzik video lagu Starlela berkata, objektif utama penubuhan Star Vendors adalah untuk membantu usahawan Melayu yang baharu terutama kalangan selebriti.

“Niat saya satu saja bila tubuh Star Vendors ini iaitu nak bantu usahawan-usahawan Melayu. Usahawan yang sertai Star Vendors ini kebanyakannya pertama kali. Artis-artis yang sertai dengan saya pun pertama kali.

“Semua tak ada pengalaman atau pernah menjayakan fiesta jualan bersama sebelum ini. Saya kenal mereka dan ajak sertai. Bezanya mereka ini ada yang jenama sudah popular dan tidak kurang juga yang baru nak jadi usahawan sejak Ramadan lalu. Saya nak menggalakkan orang Melayu untuk berniaga,” kata Ifa tentang niat tulusnya itu.

Jelasnya, artis yang berniaga di booth itu kelak bukanlah duta kepada mana-mana produk tetapi usahawan yang ada jenama sendiri kerana mahu mencari pendapatan sampingan selain punca rezeki daripada bidang seni.

Katanya, acara yang dianjurkan itu bukan sekadar untuk mencari rezeki tetapi juga menyajikan hiburan kepada pengunjung. Atas hasrat mahu menghibur pengunjung, Ifa sanggup merakam lagu tema untuk acara berkenaan.

“Disebabkan mahu kelainan daripada acara jualan sedia ada, saya sedia keluarkan bajet untuk buat lagu tema, Starlela, ciptaan Hafiz Hamidun. Sebelum ini saya ada lagu raya untuk acara tersebut iaitu, Ya Ya Ya Hari Raya.

“Kiranya Starlela itu lagu rasmi macam korporat yang nampak lebih teratur. Setiap jelajah itu akan ada VVIP. Macam di PWTC sebelum ini, kita jemput Tengku Permaisuri Selangor datang merasmikan dan di Sabah nanti kita akan jemput Ketua Menteri Sabah,” katanya.

Tambah Ifa, untuk acara di Sabah, pihaknya mendapat sokongan daripada usahawan di sana dan pihak pelancongan Malaysia dan Sabah untuk memperkenalkan keindahan dan kebudayaan penduduk tempatan.

 

MUZIK VIDEO RUJUK BLACK PINK

Starlela yang bermaksud Bintang Malam itu dihasilkan oleh komposer Hafiz Hamidun atas permintaan daripada Ifa Raziah yang mahukan lagu dendangannya berentak catchy seperti Jlo atau Shakira.

DARI kiri Zizi Kirana,Ifa Raziah dan Bella Astillah yang bergandingan dalam lagu Starlela.

“Pilih Hafiz untuk lagu ini sebab sebelum ini saya sudah bekerjasama dengan dia dalam lagu Ya Ya Hari Raya. Saya bagi idea kata nak lagu macam Jlo, Shakira yang berentak ‘celebration’. Kononnya lagu ini boleh diguna pakai untuk acara antarabangsa, maklumlah berangan besar. Saya bagilah dua tiga lagu rujukan kepada Hafiz.

“Hafiz kata dia tak tahu nak letak lirik apa, dia hanya bagi guideline lela lela saja daripada melodi awal hingga akhir. Lela tu maksudnya malam dalam bahasa Arab.  Jadi bila letak Starlela jadilah Bintang Malam. Harap lagu ini boleh meletup,” jelasnya yang kali terakhir rakam lagu Terus Terang pada tahun 2016.

Untuk muzik video tersebut Ifa mendapatkan khidmat Cameo X dan penggambaran dilakukan di sekitar Bukit Bintang termasuklah di Selfie Museum.

Jelas Ifa, untuk menghasilkan video tersebut beliau merujuk kepada video klip kumpulan Black Pink kerana suka dengan penampilan warna-warni.

“Nak buat konsep seperti Black Pink tu bajetnya besar, jadi saya buat klip video ikut bajet yang ada saja. Penggambaran kat kawasan Bukit Bintang bermula daripada siang sampai malam. Kita buat penggambaran dalam Selfie Museum sebab nak warna-warni tu, konon-konon nak nampak ala-ala K-pop,” jelasnya terus terang.

Ifa yang popular dengan lagu irama dangdut Ser Ser sebelum ini berkata, setiap kali menghasilkan lagu, beliau lebih selesa mengikut permintaan semasa.

Katanya, awal kemunculan beliau tampil dengan album berkonsep pop sebelum beralih kepada irama dangdut. Malah dalam waktu terdekat ini, beliau juga bakal tampil dengan lagu pop bersama penyanyi Indonesia Reesa Herlambang.

“Saya ni jenis versatil. Asalnya album pertama adalah pop dan lepas itu baru dangdut, Ser Ser. Saya ikut edaran masa saja. Apa yang menjadi permintaan ramai itu yang saya persembahkan.

“Akan masuk studio untuk solo dan lagu duet dengan Ressa Herlambang untuk runut bunyi bagi filem Indonesia, Jatuh Cinta, yang dijangka keluar bulan Oktober nanti,” jelasnya.

—BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here