Teksi ‘lega’, bagaimana pula Grab?

1
89

MENJELANG 12 Julai 2019, penguatkuasaan peraturan ke atas teksi akan dikenakan terhadap perkhidmatan e-hailing termasuk GrabCar, MyCar, Dacsee dan banyak lagi yang menjadi pengangkutan alternatif popular dalam kalangan masyarakat di negara ini. Penguatkuasaan ini termasuklah pemandu mesti memiliki Lesen Pengangkutan Awam (PSV), melakukan pemeriksaan kenderaan Puspakom, memiliki insurans serta menjalani pemeriksaan kesihatan.

Penguatkuasaan itu juga selaras dengan permintaan golongan pemandu teksi supaya tidak wujud ‘diskriminasi’ berhubung peraturan berkaitan sistem pengangkutan awam itu. Sudah tentu perjuangan pemandu teksi itu sedikit sebanyak berhasil. Kini mereka boleh bersaing di gelanggang yang sama dengan peraturan yang sama.

Persoalannya, adakah penguatkuasaan itu menguntungkan atau ‘merugikan’ pemandu teksi, Grab (juga merujuk e-hailing lain) dan pengguna? Bagi pemandu teksi, tidak ada apa-apa yang merugikan kerana mereka sudah pun tertakluk kepada peraturan itu. Mereka mungkin ‘lega’ kerana tuntutan tertunai. Tetapi bagi pemandu Grab, terutama yang memandu secara sambilan atau separuh masa akan terasa kesannya.

Khabarnya ramai yang akan ‘menggantung’ kunci kereta lebih-lebih lagi sekiranya kerjaya itu dilakukan sekadar menambah pendapatan keluarga. 

Kebanyakan yang akan ‘menggantung’ kunci kereta ini adalah suri rumah yang sekadar membantu suami menambah pendapatan selepas menghantar anak-anak ke sekolah atau selesai kerja-kerja rumah. Bagi mereka tidak berbaloi untuk meneruskan kerjaya sampingan itu. Maka hilanglah sebahagian pemandu Grab. Begitu jugalah bagi pemandu yang melakukannya sebagai ‘hobi’ ketika dalam perjalanan ke tempat kerja atau sebaliknya atau mengisi masa lapang atau cuti sambil menambahkan pendapatan.

Pada masa yang sama, ada juga dalam kalangan pemandu yang memberi pelbagai alasan termasuk terpaksa menghadapi peperiksaan menjawab khabarnya 60 soalan yang dikatakan ‘sukar’,  kereta akan susut nilai, serta kos sampingan lain termasuk insurans dan pemeriksaan kenderaan di Puspakom. Sekali lagi hilang sekumpulan pemandu Grab yang memberi perkhidmatan.

Bagi pemandu sepenuh masa pula, mereka tidak ada pilihan. Kerjaya itu perlu diteruskan, jika tidak alamat dapur tidak berasap.

Berikutan pelaksanaan peraturan ini, adakah pendapatan mereka terjejas disebabkan kos yang dikeluarkan untuk memenuhi kehendak undang-undang pengangkutan awam? Ini kerana tambang yang dikenakan adalah lebih rendah (ikut keadaan) berbanding teksi bermeter di samping potongan yang dikenakan oleh syarikat pengendali Grab.

Bagi yang menyewa kenderaan Grab pula, peraturan yang dikenakan itu menyebabkan mereka membuat pertimbangan untuk beralih kepada sewa beli teksi. Dengan kadar yang ada, lebih baik mereka beralih kepada teksi kerana dalam tempoh tertentu teksi @ kereta akan menjadi milik mereka. Tambang pula lebih baik berbanding Grab. Sekali lagi jumlah pemandu Grab akan berkurangan jika peralihan ini berlaku.

Tidak pasti berapa ramai pemandu Grab yang memohon PSV dan berapa ramai pula yang mengambil keputusan ‘menggantung’ kunci. Tidak mustahil jika separuh pemandu Grab akan terjejas dan terpaksa ‘bersara’. Amat malang jika majoriti pemandu yang menyumbang kepada pendapatan isi rumah akan hilang pendapatan sampingan atau sumber pendapatan tambahan. Apakah kerja lain yang boleh dilakukan untuk menambah pendapatan?

Bagaimana pula kesan kepada pengguna? Adakah harga perkhidmatan atau tambang akan meningkat apabila pemandu berkurangan? Ketika ini pun harga kadang-kala melebihi kadar teksi bermeter. Akhirnya Grab atau lain-lain perkhidmatan seumpamanya yang menjadi alternatif tambang murah akan sama sahaja dengan teksi bermeter.

Bezanya e-hailing sudah menetapkan harga sementara teksi bermeter bergantung kepada meter atau keadaan di jalan raya.

Lebih membimbangkan masih wujud pemandu  yang menekan pengguna dengan kadar tambang yang tidak berpatutan disebabkan enggan menggunakan meter atau memilih destinasi. Bagaimanapun, pemandu teksi tidak ada pilihan jika menggunakan e-hailing.

Apabila pemandu berkurangan, kesannya adalah terhadap pengguna terutama di kawasan yang bukan menjadi tumpuan teksi. Di kawasan tertentu, di luar Kuala Lumpur, jika pengguna memilih Justgrab, yang datang biasanya kenderaan biasa, bukannya teksi. Maknanya tidak ada teksi di kawasan berkenaan. Tempoh menunggu juga dijangka meningkat. Jika dalam masa tertentu hanya lima atau 10 minit, kemungkinan lebih lama disebabkan jumlah kenderaan berkurangan atau berada di lokasi yang jauh. Dalam situasi kesukaran mendapat kenderaan ini, kadar tambang sudah tentu akan melonjak.

Akhirnya matlamat menyediakan pengangkutan awam yang cepat, murah dan selesa tidak kesampaian. Pengguna pula terabai apabila terpaksa menanggung kos tambang yang tinggi. Begitulah sukarnya menjaga kepentingan semua pihak.

Kita tunggu daripada lebih daripada 200,000 pemandu Grab dan seumpamanya, berapa ramai yang bertahan. Khabarnya masih ramai menunggu keputusan peperiksaan. Tidak mustahil pengguna akan menghadapi masalah mendapatkan Grab 12 Julai ini kerana akaun pemandu digantung.  Kerajaan perlu melakukan sesuatu supaya wujud situasi menang-menang antara pemandu dan pengguna. Jangan gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati di tengah-tengah.

–BebasNews
Please follow and like us:
error

1 COMMENT

  1. Psv rm200, medical checkup rm 40-100, e hailing permit rm110, insurans tambahan pemandu rm400++ dan puspakom rm 70 mesti di perbaharui setiap tahun. Bagi yang pernah menghantar kenderaan ke puspakom pasti tahu bahawa rm70 hanyalah untuk pemeriksaan dan sering gagal berkali kali. Ini jelas hanya untuk pemandu sepenuh masa, pemilik kenderaan baru serta pemilik syarikat sewa kenderaan. Semua kos ini adalah beban tambahan kepada pemilik kenderaan peribadi. Ini belum mengambil kira had usia kenderaan tidak boleh melebihi 10 tahun. Bagaimana jika had usia kenderaan pemandu pada ketika ini hanya berbaki 2 atau 3 tahun? Syarikat e hailing juga kerap menggantung perkhidmatan pemandu kerana peratus penerimaan tugas yang kurang serta boleh menamatkan khidmat pemandu pada bila bila masa hanya kerana aduan pengguna meskipun tidak jelas kesahihan aduan tersebut. Pemandu e hailing bukan berharap agar peraturan ini di buang tetapi setidaknya boleh dikurangkan ataupun dialihkan kepada syarikat e hailing dimana pemandu tersebut berdaftar. Peraturan ini hanya menjerut leher pemandu tetapi tidak kepada syarikat e hailing sehingga pada akhirnya perkhidmatan ini kembali dikuasai syarikat syarikat besar sementara pemilik kenderaan peribadi dan pemandu menjadi mangsa.

Leave a Reply to dean Cancel reply

Please enter your comment!
Please enter your name here