Faizal tidak sambut kelahiran anak kedua demi negara

0
42
AKSI penyerang Skuad Hoki Lelaki Kebangsaan, Faizal Saari ketika berlatih bersama rakan sepasukan sebagai persediaan sebelum berlepas ke Eropah pada 21 Julai ini — fotoBERNAMA

 

KUALA LUMPUR — Penyerang sensasi, Faizal Saari yang bakal menimang cahaya mata kedua tidak lama lagi akan turut serta dalam 20 barisan pemain ke Jelajah Eropah demi mengharumkan nama negara.

Faizal, 28, terpaksa berkorban dengan meninggalkan isterinya, Syaidatul Afyna Badrul Hamidi, yang dijangka melahirkan cahaya mata kedua pada 3 Ogos ini apabila akan bertolak ke Jelajah Eropah yang bermula 21 Julai ini.

“Ini merupakan salah satu pengorbanan saya untuk negara. Bukan sahaja saya, sebelum ini S. Kumar pun ada buat pengorbanan seperti ini. Keluarga mentua saya akan tolong dalam urusan bersalin isteri saya nanti,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

Pada siri Jelajah Eropah itu, pasukan negara dijadualkan bertemu lima negara Eropah iaitu Jerman, Sepanyol, England, Ireland dan Belgium bagi memastikan skuad negara berada dalam keadaan terbaik sebelum berdepan misi getir kelayakan Sukan Olimpik Tokyo pada Oktober depan.

Mengulas mengenai saingan di Eropah nanti, Faizal berharap Malaysian Tigers memperoleh ilmu berguna untuk diguna pakai ketika perlawanan kelayakan Sukan Olimpik 2020 nanti. 

Katanya mereka tidak seharusnya mensia-siakan peluang beraksi dengan pasukan teratas dunia dan mengutip sebanyak mungkin ilmu baharu serta mengambil pengajaran untuk masa depan.

“Kita susah dapat lawan yang bagus jadi kali ni pada Jelajah Eropah dapat lawan pasukan terbaik dunia. Saya rasa perlawanan nanti akan sangat bagus dan kita kena ambil sebagai ilmu,” katanya.

Pada Khamis, ketua jurulatih skuad hoki negara, Roelant Oltmans menyenaraikan 20 pemain termasuk enam penyerang iaitu Faizal, Norshafiq Sumantri, Muhammad Shahril Saabah, Mohamad Akhimullah Anuar Esook, Muhammad Noor Firdaus Rosdi dan Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil.

Faizal, selaku pemain senior dalam pasukan itu, tetap positif dengan senarai berkenaan dan berharap pemain baharu cepat menyesuaikan diri ketika beraksi.

Selepas mengharungi sembilan perlawanan pada Jelajah Eropah, pasukan negara akan ke Tokyo, Jepun bagi menguji lokasi Sukan Olimpik 2020 yang bakal menyaksikan aksi bertemu Jepun, Australia dan New Zealand pada 19-23 Ogos.

Persiapan terakhir sebelum memulakan aksi di pusingan kelayakan Sukan Olimpik 2020, Malaysia dijangka akan berdepan satu perlawanan menentang Korea Selatan pada September.

Dalam pusingan kelayakan Sukan Olimpik 2020, Malaysia berkemungkinan akan bertemu salah satu daripada empat negara – Jerman, Sepanyol, New Zealand atau Kanada.

— BERNAMA

 

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here