Geng, projek sulung Sherry Alhadad

Geng, projek sulung Sherry Alhadad
Oleh KHADIJAH IBRAHIM

 

MULAI 18 Julai ini pelanggan Astro First Eksklusif (saluran 480) berpeluang menonton filem televisyen (FTV) berjudul Geng, arahan Umi Salwana Omar, terbitan bersama Perempuan Productions, Cinematic Sdn. Bhd., dan Astro First Eksklusif.

Filem televisyen arahan Umi Salwana itu mengangkat tema persahabatan. Biarpun temanya kelihatan ringkas tapi beliau berjaya mengolah keseluruhan plot menjadi satu naskhah yang menghiburkan dan sesuai untuk tontonan keluarga.

DARI kiri, Nadiya Nisaa, Sherry Alhadad, Fatimah Abu Bakar, Lisa Surihani, Hisyam Hamid dan Alif Satar.

Bukan setakat jalan cerita yang ditulis oleh Sharmaine Othman itu menarik, malah pilihan pelakon juga tidak kurang hebatnya. Barisan pelakon utama Geng ialah Sherry Alhadad sebagai Isabella, Nadiya Nisaa (Anita) dan Lisa Surihani (Mariam) yang merupakan sahabat sejak zaman persekolahan.

Turut membantu ialah Hisyam Hamid sebagai Alex, ketua kumpulan Geng Naga Kilat, Alif Satar (Jefri) dan Fatimah Abu Bakar (Ibu).

Sejujurnya, Sherry mengakui yang beliau berdebar menunggu reaksi penonton kerana filem yang menjalani penggambaran selama 14 hari itu merupakan projek sulung produksinya bersama dengan Sharmaine dan Farah Rani.

Selaku penerbit, Sherry bimbang orang ramai beranggapan yang beliau menghasilkan karya syok sendiri kerana menjadi tonggak utama cerita tersebut.

“Sewaktu menulis skrip lagi Sharmaine sudah ada nama pelakon. Memang dia tulis watak Mariam untuk Lisa Surihani, Anita untuk Nadiya Nisaa dan Isabella untuk saya.

Sharmaine Othman, selaku penulis skrip dan penerbit eksekutif untuk Geng.

“Pelakon lelaki pun dia yang pilih iaitu Hisyam Hamid sebagai Alex, Alif Satar dan watak ibu memang untuk Fatimah Abu Bakar. Dia dah nampak watak-watak itu dipegang oleh siapa.

Bila kita pitching di Astro dan mereka setuju dengan barisan pelakon yang dipilih,” jelasnya bagi mengelak salah faham.

Tegas Sherry, beliau percaya dengan pilihan pelakon oleh Sharmaine kerana sebelum ini sudah beberapa kali mereka menjayakan sketsa komedi berdasarkan skrip kawannya itu. Malah skrip Geng juga dihasilkan berdasarkan pengalaman rakan Sharmaine.

Katanya, Sharmaine menawarkan watak Isabella untuknya kerana mahu menonjolkan sisi lain dalam dirinya yang sering diberi watak komedi sebelum ini.

Sherry yang bemula daripada teater dan sering menjayakan pementasan tentang dunia perempuan berharap jalan cerita yang dipilih oleh Perempuan Productions ini dapat mengubah persepi penonton.

“Selalunya kalau cerita di Malaysia, perempuan sering kena dera, kahwin paksa atau kena ikut arahan. Kali ini kami cuba keluar daripada kepompong kebiasaan itu. Jadi kami mengambil inisiatif untuk buat cerita lain daripada selalu.

“Bila Astro First sendiri pun bersetuju untuk bekerjasama dengan produksi kami tanpa was-was, kami pun terkejut. Kami percaya apabila kita yakin dengan apa yang kita buat, orang pun yakin dengan karya kita,” katanya sewaktu ditemui pada majlis pratonton Geng di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sherry yang berpuas hati dengan pembikinan karya ini bagaimana pun berdebar menunggu reaksi penonton kerana Geng menonjolkan kisah pengedaran dadah.

“Memang kita takut juga dengan penggunaan dadah ini tapi kalau tengok secara terbuka, Geng sebenarnya bercerita tentang persahabatan yang mengutamakan tagline Freshie for Life, cuma kita ambil subjek yang berbeza saja, gengsterisme. Saya boleh terima kritikan tetapi bukan kecaman kerana perkataan itu boleh membawa kesan negatif,” akuinya.

KEKOK BERLAKON ROMANTIK

MESKIPUN pelakon Geng merupakan kawan-kawan tetapi Sherry tetap mengikut peraturan rasmi sewaktu membuat tawaran kepada pelakon.

Sherry akui, beliau segan untuk bertanyakan kepada Alif Satar yang merupakan rakan setugasnya untuk program Big Stage.

Beliau bertuah kerana Alif tidak menolak dan terus terima tawaran tersebut apabila diberitahu bakal berpasangan dengan Lisa Surihani.

“Bila bab kerja, kita tak bolehlah anggap mereka kawan-kawan, kenalah ikut saluran yang betul. Alhamdulillah, semua yang saya tanya teruja nak berlakon Geng.

“Saya kagum dengan komitmen mereka yang sanggup datang latihan selama tiga hari dan apabila ada perubahan, mereka tak ada masalah. Sebenarnya saya tak ada masalah untuk mencari keserasian apabila berlakon dengan mereka,” ceritanya.

Namun apabila berlakon di samping Hisyam sebagai Alex yang merupakan bekas kekasih Isabella, Sherry akui sedikit kekok sewaktu adegan romantik.

“Betul cakap Hisyam, bini dia tak cemburu langsung. Hisyam dan isteri, Bel adalah kawan saya. Tipulah kalau kata tak kekok, sebab saya tak pernah bawa watak begitu. Mula-mula nak melakonkan adegan romantik, agak kaku sikit.

“Bila adegan saya kena pandang mata Hisyam dan dia kena pandang mata saya, kita orang rasa nak tergelak saja. Tapi dengan bantuan daripada pengarah dan kami banyak buat latihan sebelum itu, masalah itu dapat diatasi,” ceritanya.

BebasNews
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.