Mukhriz dedah tiada janji 2 tahun Anwar jadi PM

Mukhriz dedah tiada janji 2 tahun Anwar jadi PM

BONGKAR… Tiada tempoh perjanjian selama dua tahun untuk Tun Dr. Mahathir Mohamad serah jawatan perdana menteri kepada sekutu politiknya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Demikian pendedahan anak lelaki Perdana Menteri, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir dalam satu wawancara eksklusif bersama agensi berita Nikkei Asian Review disiarkan semalam.

Menteri Besar Kedah itu dilaporkan mendakwa bahawa majlis presiden Pakatan Harapan (PH) mengetahui bahawa kedua-dua Mahathir, 94, dan Anwar, 71, mempunyai perjanjian berkenaan.

Bagaimanapun tempoh perjanjian selama dua tahun yang kerap dibangkitkan oleh orang awam selama ini sebenarnya tidak pernah pun dipersetujui oleh para pemimpin di majlis berkenaan.

“Tiada perjanjian tentang ia mesti dua tahun. Mungkin terdapat saranan seperti itu, tetapi tiada apa-apa yang dinyatakan di kertas mahupun perjanjian secara lisan,” menurut Mukhriz.

Beliau malahan berkata, parti-parti komponen PH sama-sama berpendapat bahawa Mahathir patut diberikan masa untuk pulihkan masalah ekonomi dan kedudukan kewangan negara.

Ia wajar diselesaikan sebelum serah jawatan perdana menteri kepada Anwar. Mahathir ialah pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dengan Mukhriz ialah timbalan presidennya.

Manakala Anwar pula ialah presiden PKR yang baru menggantikan isterinya sendiri, Dr. Wan Azizah Wan Ismail. PH ketika ini turut dianggotai dua lagi parti iaitu DAP dan serpihan PAS iaitu PAN.

Mukhriz juga dilaporkan menafikan terdapat pergelutan kuasa dalam kalangan anggota PH. Ini meskipun terdapat dakwaan Mahathir akan pilih timbalan presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali.

Beliau malahan disebut-sebut ramai penganalisis politik tempatan sebenarnya lebih layak untuk gantikan tugas Pengerusi PH itu sebagai bakal perdana menteri yang kelapan, bukannya Anwar.

Namun, Mukhriz, 54, menekankan bahawa kedudukan Anwar sebagai calon perdana menteri seterusnya selepas Mahathir adalah jelas ekoran gagal berbuat demikian sejak 20 tahun lalu.

Ia susulan Anwar dipecat oleh Mahathir sendiri pada tahun 1998 daripada segala jawatan dipegang setelah didakwa bekas perdana menteri keempat itu konon terlibat dalam kes liwat.

“Saya rasa oleh kerana majoriti percaya Anwar ialah individu yang akan gantikan jawatannya, beliau (Mahathir) patut diberi masa untuk buat apa yang beliau inginkan,” menurut Mukhriz.

Beliau dalam wawancara dengan agensi berita dari Jepun berusia 140 tahun itu turut membayangkan sudah bersedia warisi kepimpinan negara sebagai perdana menteri berikutnya.

BebasNews
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.