Penduduk gesa kemudahan asas klinik kesihatan ditambah baik

0
102
PENGHAWA dingin yang tidak berfungsi sehingga menyebabkan orang ramai tidak selesa ketika mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Palong 4,5 dan 6. STR/ABNOR HAMIZAM ABD MANAP

 

JEMPOL — Orang ramai yang mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan FELDA Palong 4, 5 dan 6 mahu supaya tempoh menunggu bagi setiap rawatan serta kemudahan asas di klinik itu ditambah baik.

Penduduk FELDA Palong 4, Jawisah Elias, 58, berkata kemudahan sedia ada disifatkan sebagai kurang memuaskan dan waktu menunggu untuk mendapatkan rawatan adalah terlalu lama.

Katanya, keadaan itu sekali gus menimbulkan rasa kurang selesa dalam kalangan pesakit terutama mereka yang terdiri daripada warga emas.

“Klinik kesihatan di sini selalu sesak disebabkan jumlah pesakit yang ramai. Keadaan bertambah buruk apabila kemudahan asas seperti kipas dan pendingin hawa selalu rosak menyebabkan kami terpaksa menunggu dalam kepanasan.

“Tandas juga selalu rosak dan tiada air. Ini menimbulkan masalah kepada pesakit yang ingin menggunakan kemudahan itu,” katanya kepada BH.

Penduduk FELDA Palong 6, Isa Mat, 71, perkhidmatan klinik itu bukan saja untuk penduduk dari FELDA Palong 1 hingga 6 tetapi juga penduduk dari gugusan FELDA Palong Timur, Segamat, Johor.

“Ketika ini klinik memang sesak dengan setiap hari dianggarkan antara 150 hingga 180 mendapatkan rawatan pada sesi pagi sahaja.

“Ditambah pula pelbagai kerosakan kemudahan asas, ramai pesakit yang hadir mendapatkan rawatan rimas dengan keadaan itu,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan negeri Datuk Dr Zainudin Mohd Ali, berkata kerosakan pendawaian elektrik dan air di klinik berkenaan akan dibaiki dalam masa terdekat termasuk mengantikan penghawa dingindan kipas yang rosak.

Katanya, kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan sudah meluluskan peruntukan berjumlah RM18,600 pada Jun lalu bagi tujuan itu.

“Berdasarkan keperluan, kita akan membaiki sebarang kerosakan mengikut keutamaan dari masa ke semasa bagi keselesaan orang ramai.

“Bagi perjawatan di klinik itu, klinik berkenaan mempunyai enam doktor berbanding beberapa tahun dahulu dan jumlah doktor berkenaan sudah mencukupinamun dalam beberapa keadaan seperti doktor berkursus menyebabkan masa menunggu pada waktu puncak lama sedikit dari biasa.

Zainuddin berkata bagi jangka panjang, kerajaan dalam perancangan membina atau menaik taraf klinik kesihatan itu dalam Rancangan Malaysia ( RMK) akan datang.

“Daerah Jempol paling banyak mendapat projek klinik dibawah RMK termasuk yang terbaharu pembinaan klinik kesihatan di Rompin,” katanya.

-Berita Harian

 

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here