Ayuh jadi ‘mata dan telinga’ berkualiti

Kitaran sama akan berulang, PATI ditangkap, diusir dan majikan dapat bekalan lagi, begitulah seterusnya, langsung tiada penyudah.

Ayuh jadi ‘mata dan telinga’ berkualiti
Oleh TARMIZI ABDUL RAHIM

 

PENDUDUK Kampung A amat marah kerana berpuluh ekor haiwan milik Usahawan B yang dilepaskan tanpa ditambat bukan sahaja memusnahkan tanaman mereka tetapi turut mengotorkan kawasan persekitaran dengan najis.

Bagi meredakan kemarahan penduduk, ketua kampung bersama dengan beberapa ahli jawatankuasanya memutuskan untuk mengejar dan menangkap haiwan-haiwan ternakan itu.

Sekali imbas, keputusan itu dilihat seperti masuk akal tetapi secara praktikalnya amat merugikan masa kerana menyebabkan pimpinan tertinggi kampung berkenaan tidak dapat menjalankan tugas hakiki mereka. Ruang masa mereka terpaksa dikhususkan untuk haiwan-haiwan!

Dalam senario lain pula, saban hari rakyat dimaklumkan mengenai penangkapan beratus-ratus pendatang asing tanpa izin (PATI) sama ada dalam media cetak atau elektronik. Apa yang peliknya, pemilik atau majikan yang menggajikan mereka, mungkin secara kebetulannya agak jarang diheret sama. PATI ini semestinya dimiliki atau mempunyai tuan, kerana mustahil mereka bergerak sebagai ‘agen bebas’.

Lazimnya dalam sidang akhbar oleh pihak berkuasa, hanya PATI yang selalu menjadi sebutan dan sasaran untuk disifarkan. Sesekali terfikir, amat malang nasib PATI ini – selepas tenaga mereka diperah habis-habisan, kelibat mereka pula dikejar semahu mungkin. Bagaimanapun, dalang atau lebih tepat lagi majikan yang mendapat keuntungan secara langsung daripada tenaga-tenaga buruh murah ini seperti terlepas.

Selepas PATI ini ditangkap dan diusir, majikan ini akan menggunakan lagi pelbagai sumber mereka untuk mendapatkan ‘bekalan’ baharu. Kitaran sama akan berulang, PATI ditangkap, diusir dan majikan dapat bekalan lagi, begitulah seterusnya, langsung tiada penyudah.

Persoalannya, mana lebih mudah menangkap PATI yang mencecah hampir tujuh juta orang pada 2014 (berdasarkan statistik sebuah badan bukan kerajaan, Sekretariat Khidmat Imigran) berbanding majikan yang mustahil untuk mencapai angka sejuta orang? Itu cerita lima tahun lalu, mungkinkah jumlahnya semakin berkurangan? Sila jawab sendiri ye.

PATI ini mungkin dalam kebanyakan kes agak sukar untuk dikesan terutamanya yang pandai menyembunyikan diri tetapi majikan rasanya agak mudah kerana syarikat atau perusahaan mereka semestinya berdaftar dengan pihak berkuasa.

Contohnya, semasa operasi di kilang-kilang, ladang-ladang sayur atau premis perniagaan, jika PATI bertempiaran menyelamatkan diri, pasukan keselamatan bolehlah ke pejabat pengurusan kilang atau ladang untuk ‘menjenguk’ majikan mereka.

Begitu juga dengan kes PATI yang ditangkap kerana menyalahgunakan visa pelajar. Apakah tindakan yang dikenakan ke atas kolej swasta berkaitan kerana visa pelajar biasanya dikeluarkan melalui kolej swasta.

Samalah dalam kes Kampung A di atas, adalah lebih baik pimpinan kampung tersebut duduk berbincang dengan Usahawan B untuk menyelesaikan masalah haiwan ternakannya. Jika berdegil, kenakanlah hukuman. Lebih senang uruskan yang sedikit daripada membazirkan masa menyelesaikan sesuatu yang banyak.

Dalam pada itu terdapat dua perkara ‘best’ dalam dunia. Dapat perkara terbaik secara percuma dan dibenarkan menghina seseorang tanpa dikenakan sebarang tindakan. Ayuh kita fokuskan kepada benda pertama sahaja kerana yang kedua adalah mustahil untuk direalisasikan.

PATI di negara ini sebenarnya amat beruntung kerana apa sahaja yang kerajaan berikan kepada rakyatnya, maka mereka akan turut merasai nikmatnya. Dalam kebanyakan kes, mereka yang ‘lebih-lebih’ mendapat habuannya.

Mereka inilah yang menyedut segala madu yang disediakan kerajaan termasuk segala jenis subsidi yang matlamat asalnya dikhususkan untuk rakyat negara ini.

Kerajaan kutip cukai daripada rakyat dan sudah pasti manfaatnya bakal dipulangkan kembali kepada rakyat. Jika nikmat daripada cukai itu turut dirasai oleh mereka yang tidak menyumbang, ia boleh dianggap telah berlaku ketirisan.

Itu belum lagi dicongak daripada kelicikan warganegara sendiri yang mengelak daripada membayar cukai dengan pelbagai helah. Untung besar daripada perniagaan barangan A, B, C, D, E dan F tetapi hanya bayar cukai untuk keuntungan A sahaja. Malah ada segelintir majikan dapat pelbagai kemudahan daripada kerajaan tetapi akhirnya diselewengkan pula demi meraih keuntungan berganda. Sekali lagi berlaku ketirisan cukai dan lagi serta lagi!. Silap-silap negara boleh bankrap, bukit besar jika ditarah setiap hari tidak mustahil satu hari nanti bakal runtuh.

Penulis percaya ramai yang mempunyai maklumat mengenai pelbagai penyelewengan termasuk dalam kalangan individu dan majikan. Jadilah rakyat yang bertanggungjawab, langsung tidak salah untuk bertindak sebagai mata dan telinga kepada kerajaan. Gunakanlah saluran yang sewajarnya untuk melaporkan sebarang salah laku kerana pihak berkuasa atau agensi kerajaan itu bukannya sebuah organisasi ‘adi wira’ yang mengetahui segalanya.

Malah agensi-agensi kerajaan pula apabila mendapat maklumat yang boleh dipercayai diyakini tidak akan bertindak semberono, semuanya berlandaskan kepada Prosedur Operasi Standard yang ditetapkan. Undang-undang itu pula bukannya terhasil melalui ‘mesyuarat tingkap’ seperti dialog dalam filem Do Re Me (1966) lakonan dan arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

Kepada semua pihak, jika terjadi sesuatu perkara yang kononnya menyesakkan nafas janganlah terlalu cepat untuk memberikan cerita penutupnya. Terkadang penulis termenung sambil ketawa sendirian apabila melihat gelagat netizen. Banyak kes apabila terkena pada batang hidung sendiri, bersungguh-sungguh mengingatkan semua pihak agar mengamalkan konsep tabayun, namun apabila pihak lawan terkena, maka secara berjemaah pula pakat tibaiyun!.

Jika tersilap tibaiyun ia bakal menjadi fitnah dan tidak pasal-pasal menjadi kayu api neraka jika tidak sempat meminta maaf. Dosa dengan makhluk jadi tergantung selagi mangsa tidak memaafkannya. Ada berani?

—BebasNews
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.