Ia tidak bahaya hingga mengancam nyawa: Dzulkefly

0
45

PUTRAJAYA — Kementerian Kesihatan menegaskan jangkitan Plasmodium Vivax Malaria dalam kalangan Orang Asli di Pos Lenjang, Kuala Lipis, Pahang, tidak mengancam nyawa pesakit.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata pihaknya masih menunggu laporan penuh namun pengesanan kes secara aktif (ADC) sudah dilakukan ke atas 300 Orang Asli di lokasi terbabit.

“Selepas ujian dilakukan, seramai 11 orang positif malaria dan kini menerima rawatan.

“Buat masa ini, kita tunggu kenyataan penuh media yang akan dikemaskini oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah nanti,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Saintifik Persatuan Pisiologi dan Farmasiologi Malaysia (MSPP) kali ke-33 2019 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah portal berita bahawa sembilan Orang Asli di Pos Lenjang, Kuala Lipis, disyaki dijangkiti Malaria yang paling bahaya.

Laporan itu mendakwa lebih 10 penduduk Orang Asli jatuh sakit selepas dijangkiti Plasmodium Vivax Malaria semalam, tetapi setakat ini hanya sembilan yang dimasukkan ke wad.

Mengenai dakwaan wanita Orang Asli yang didakwa dipaksa mengikuti program perancang keluarga, Dr Dzulkefly berkata, jawatankuasa siasatan diketuai Pakar Perubatan Kesihatan Keluarga, Dr Ayob Bah Los akan bermesyuarat Rabu ini.

“Hasil dapatan terbabit akan dibentangkan kepada saya pada 26 Julai ini. Selepas itu, barulah kita akan membincangkan langkah seterusnya,” katanya.

Terdahulu, seramai 150 peserta menghadiri persidangan dianjurkan Universiti Malaya (UM) selama dua hari bagi berkongsi hasil penyelidikan dan mewujudkan jalinan kerjasama.

Ia turut dihadiri Naib Canselor UM, Datuk Dr Abdul Rahim Hashin dan Ahli Majlis Penasihat Menteri Kesihatan yang juga Dekan Fakuliti Perubatan UM, Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman.

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here