Atlet pekak patut setaraf normal, Paralimpik

0
100
BOON Wei Ying dan Foo Tzu Ting (dua dan tiga dari kiri) melaungkan sorakan semangat sebelum berjuang menjelang saingan di Gimnasium Taipei, Taiwan, esok.

 

Oleh KAKI BANGKU

 

TIMBALAN Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong berjanji untuk membantu Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) mendapat hak dan bantuan peruntukan yang setaraf atlet-atlet normal dan Paralimpik kerana mereka turut berprestasi tinggi apabila membawa cabaran Jalur Gemilang di pentas antarabangsa.

Katanya, “seperti atlet Paralimpik yang menikmati pelbagai kemudahan setaraf atlet normal malah Paralimpik, kami mengalu-alukan MSDeaf untuk datang berbincang dengan kementerian jika perlukan bantuan dan kami akan cuba sedaya upaya memenuhinya.”

MSDeaf ketika ini tidak boleh diletakkan di bawah Majlis Paralimpik Malaysia mahup menyertai Sukan Paralimpik yang berlangsung setiap empat tahun kerana tafsiran dan ciri-ciri atlet orang kurang upaya (OKU) yang diberikan kepada mereka, turut berbeza.

STEVEN Sim (tiga dari kiri) menyerahkan Jalur Gemilang kepada atlet ke Kejohanan Badminton Orang Pekak Dunia di kementeriannya di Putrajaya, semalam.

Orang pekak juga mempunyai peruntukan undang-undang atau akta negara yang khas dan berlainan daripada OKU anggota badan, kata pembantu khas Presiden MSDeaf, Mohamad Nazrul Azwa Zulkipply.

Namun dalam Sukan Deaflympic 2017 (Olimpik khas orang pekak sedunia) di Samsun, Turki, dua atlet MSDeaf turut mengalungkan Malaysia dengan sebutir pingat perak menerusi beregu campuran badminton, Francis Tan Heng Bock dan Boon Wei Ying.

Mereka yang hanya dibentuk dalam dua bulan dan membuat penampilan sulung pada temasya Deaflympic hanya dihampakan pasangan Rusia, Artemy Karpov-Arlena Soboleva 15-21, 12-21 dalam perlawanan akhir di Dewan Sukan Bafra, Samsun.

Steven terdahulu menyerahkan Jalur Gemilang kepada dua pemain badminton wanita MSDeaf, Boon Wei Ying dan Foo Tzu Ting dan Boon Wei Ying yang menyertai Kejohanan Badminton Orang Pekak Dunia 2019 di Menara KBS, Putrajaya, semalam.

Kedua-duanya yang akan beraksi dalam acara perseorangan dan beregu mendapat bimbingan bekas pemain beregu wanita negara dari tahun 2003 hingga 2012, Sabrina Chong Sook Chin yang turut pernah memenangi pingat emas berpasukan wanita Sukan SEA Laos 2009.

“Contohilah semangat dan kejayaan Datuk Lee Chong Wei (bekas naib juara tiga Sukan Olimpik yang bersara, baru-baru ini),” kata Steven sebagai perangsang kepada Tzu Ting-Wei Ying yang sudah bergandingan sejak dua tahun lalu.

“Wei Ying sebagai contoh selain berpengalaman menang perak Deaflympic 2017, turut berada antara terbaik dalam ranking badminton orang pekak dunia. Saya percaya mereka mampu menaikkan nama negara dan berpotensi besar bergelar juara,” katanya.

Tzu Ting berkata, pengalaman itu banyak mematangkan permainan mereka apabila melayari cabaran beregu wanita sekalipun undian peringkat liga kumpulan turut menempatkan naib juara temasya itu di Taipei nanti.

Dia berdepan Olga Shtayger dan Diana Nabiulina dalam Kumpulan H perseorangan di Gimnasium Taipei manakala Yuliia Olshevska dan Matthana Sawaengphon menjadi rintangan Wei Ying dalam Kumpulan K.

Bagi saingan beregu pula, mereka diundi dalam Kumpulan C dengan naib juara Deaflympic 2017, Manami Nagahara-Chihiro Numakura dari Jepun dan Jayasri Nalluri-Neethu Udayakumar Vijayakumari.

“Saya fokus kepada beregu dan cuba buat yang terbaik dalam perseorangan wanita. Dua tahun lalu kami mudah gementar dan kini kami rasa lebih tenang untuk bermain dan mencapai kejayaan,” kata Tzu Ting, 20, seorang jurujual kelahiran Kuala Lumpur.

BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here