Igauan ngeri UAE menanti Harimau kita

0
1
HARIMAU Malaya mara ke saingan pusingan kedua kelayakan ini yang berlangsung secara liga berkumpulan timbal balik.

 

Oleh KAKI BANGKU

 

HENDAK laluan senang macam mana lagi Harimau Malaya?

Bayangan peluang Malaysia sudah jelas terpampang selepas majlis undian pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia Qatar 2022-Piala Asia China 2023 di Rumah Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Bukit Jalil, hari ini.

Pengendali undiannya ialah Pengarah Pertandingan Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA), Christian Unger dan legenda bola sepak Australia, Tim Cahill.

Sesudah dipisahkan dengan Kuwait, juara Piala Asia 1980 dan peserta pusingan akhir Piala Dunia 1982 dalam saringan kedudukan Balang 4, bulan lalu, skuad negara turut terlepas daripada ‘rahang’ gergasi Asia seperti Korea Selatan dan Utara, Arab Saudi, Iran, Australia dan juara bertahan benua ini, Qatar.

TAN Cheng Hoe menunjukkan isyarat bagus selepas Harimau Malaya bimbingannya diundi dalam Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022-Piala Asia 2023 di Rumah AFC, Bukit Jalil hari ini. – fotoBernama

Kecuali Amiriah Arab Bersatu (UAE), tiga lagi lawan yang menanti skuad Tan Cheng Hoe ialah Vietnam, Thailand dan Indonesia dalam Kumpulan G kelayakan yang bermula 5 September hingga 9 Jun 2020.

Tiga jiran Asia Tenggara yang permainan mereka tidak terlalu rendah atau terlalu tinggi pun untuk digeruni apatah lagi sudah kerap ditemui Malaysia dalam Piala AFF (senior) mahupun Sukan SEA (bawah 23 tahun).

Vietnam menghampakan ‘Cheng Hoe dan Kompeni’ 3-2 dalam final timbal balik Piala AFF dan ‘Si Gajah Perang’ sudah berjaya dijinakkan pada separuh akhir kejohanan itu, Disember lalu sementara Indonesia juga bukanlah sebahaya pembawa ‘igauan ngeri’ Malaysia – UAE!

Jika ramai peminat tanah air masih ingat, UAElah yang membelasah skuad Dollah Salleh 10-0 sekali gus memahat rekod bencana gol paling teruk bola sepak kita pada September 2015 sehingga sang jurulatih yang terkenal dengan skil gelecekan kidal dan rembatan jarak jauhnya, terpaksa ‘mengibar bendera putih’.

Saingan Kumpulan A Kelayakan Piala Dunia 2018-Piala Asia 2019 itu menyerlahkan betapa rendahnya taraf Harimau Malaya kerana juga kalah kepada Arab Saudi dan negara dalam zon perang, Palestin dan hanya mampu meraih tiga mata daripada lawan kerdil sejiran ASEAN, Timor Leste.

afc.com

Skuad Cheng Hoe memasuki pusingan kedua kelayakan ini juga dengan membuli ‘barisan hingusan’ Timor Leste 12-2 secara agregat dalam pusingan pertama timbal balik di Bukit Jalil pada 7 dan 11 Jun lalu (7-1 dan 5-1).

Kemenangan ‘Raya Gol’ pada minggu pertama Aidilfitri itu turut melonjakkan Harimau Malaya sebagai penghuni ranking ke-159 dunia, 14 Jun lalu berbanding anak tangga ke-168 sebelumnya.

Hanya juara kumpulan dan empat naib juara terbaik daripada lapan kumpulan pusingan kedua ini, akan mara ke pusingan akhir Piala Asia dan terus memburu empat setengah tiket Piala Dunia – satu misi yang bersejarah besar jika berjaya dicapai skuad negara.

Andainya terkandas pada peringkat ini, kita boleh melupakan Piala Dunia dua tahun lebih awal namun masih perlu melalui play-off dan pusingan ketiga untuk merebut tiket Piala Asia edisi ke-18 di China pula.

Malaysia tidak pernah layak ke pusingan akhir Piala Dunia sejak menjadi ahli gabungan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada tahun 1956 dan menyertai Kelayakan Piala Dunia mulai tahun 1973.

Skuad kita juga hanya pernah mara secara merit ke pusingan akhir Piala Asia sebanyak dua kali iaitu tahun 1976 di Iran dan 1980 di Kuwait selain layak automatik selaku tuan rumah bersama Thailand, Vietnam dan Indonesia bagi edisi tahun 2007.

BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here