Isu kaum dan agama makin serius, Akta Hasutan wajib dikekalkan

0
37

KUALA LUMPUR – Dasar Ekonomi Baru (DEB) wajar diteruskan kerana ia banyak membantu orang Melayu dan Bumiputera bagi memastikan pengagihan kek ekonomi negara secara adil mengikut nisbah kaum.

Ini mesti ditentukan secara tegas kalau mengikut dasar sama rata dan jangan melaung seperti burung kakak tua sekadar sama rata untuk golongan miskin tanpa mengira kaum.

Pembahagian kek ekonomi negara mesti diagih secara adil, di mana kaum Bumiputera berjumlah 65 peratus dari penduduk Malaysia dan ini isu pokok bukan sekadar membantu golongan miskin tanpa mengira kaum.

Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali berkata, beliau sedih apabila ada pemimpin Melayu dari Pakatan Harapan (PH) beriya hendak menghapuskan dasar yang berteraskan DEB.

“Ada pemimpin PH beriya nak hapuskan DEB. Yang sedihnya mereka ini adalah pemimpin Melayu. Mereka berpolitik hanya hendakkan sokongan undi Cina semata-mata, walaupun terpaksa pijak kepala bangsa sendiri.

“Dasar sama rata ini tidak wajar dikelirukan. Kalau untuk golongan miskin tegar kita sokong tanpa mengira kaum, tapi macam mana pembahagian kek ekonomi negara yang semakin melebar?” katanya ketika menyampaikan ucapan bertajuk, “Bangsa dan Agama” kepada 50 pegawai kanan kerajaan Singapura di sebuah hotel di sini, petang semalam.

Dr. Ibrahim dijemput khas oleh Kedutaan Singapura untuk berucap dan berdialog dengan pegawai kanan pelbagai kementerian dari negara jiran itu sempena program “Senior Management Programme Study Visit to Malaysia”.

Ini merupakan kali kedua beliau dijemput, dengan undangan pertama pada Julai 2017.

Menurut Dr. Ibrahim, kelantangannya mempertahankan DEB dan orang Melayu menyebabkan beliau ‘diserang’ oleh parti politik dan NGO bukan Melayu yang menyifatnya sebagai rasis, manakala puak itu sebenarnya rasis.

“Rakyat dari negara jiran mesti mendapat gambaran benar dan jelas. Perkasa (Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia) tidak rasis. Parti Putra pasti lantang dan keras dengan pendirian agenda Bumiputera tanpa bersikap apologetik.

“Saya tidak rasis, saya disalah anggap sebagai rasis kerana saya berjuang untuk memperbetulkan apa yg tidak betul demi keselamatan negara dari jangka panjang. Tapi jika golongan ini ingin gelar saya rasis, Perkasa dan Parti Putra rasis terpulanglah.

“Kami bangga kerana kami berjuang untuk bangsa kami sebagai kaum asal negara Malaysia. Ada pihak yang bukan rakyat asal berjuang untuk kaum mereka tidak pula digelar rasis. Kononnya hak asasi dan demokrasi,” katanya.

Beliau berkata, inilah sifat hipokrit pihak yang rakus dan ada akal budi, di mana langgit di junjung di situ bumi dipijak.

Katanya, beliau dilihat lantang menegur dan mengkritik kerajaan berasaskan kaum kerana berlaku ketidakadilan dalam pembahagian kek ekonomi negara walhal dalam Perlembagaan Negara Fasal 153 jelas Mengenai Hak Keistimewaan Melayu yang ditukar dengan Hak Kerakyataan di bawah Perjanjian Sosial Kontrak.

Begitu juga perkara lain dalam bidang terutama Islam Agama Persekutuan, Pendidikan, Bahasa Kebangsan dan Kedaulatan Raja-Raja Melayu.

“Banyak perkara orang salah faham mengenai saya sebab ada parti politik yang terus menerus memainkan agenda kaum dan agama.

Ada parti politik yang menjadi kaum memulakan kekacauan dan sentiasa mencetuskan ketegangan antara kaum.

Dr. Ibrahim juga memuji Singapura kerana melaksana sistem pendidikan satu aliran bahasa sahaja tidak seperti Malaysia, yang menjadi penyebab kesukaran memupuk integrasi nasional.

“Singapura tidak membenarkan wujudnya sekolah venekular atau bahasa ibunda,” ujarnya.

Beliau yang merupakan bekas Ahli Parlimen Pasir Mas berharap rakyat Singapura tidak salah anggap apabila beliau memperjuangkan agenda Melayu dan Bumiputera.

“Sebenarnya tanggapan mengatakan saya rasis tidak betul. Tengok saja dalam bab pembahagian harta, pemilikan harta, mana ada milik orang Melayu. Bangunan pencakar langit, rumah banglo dan lot perniagaan semuanya milik bukan Melayu.

“Orang Melayu kalau nak berniaga ada pantang larang, sedangkan orang Cina tak ada. Mereka bebas sebab itu mereka boleh menguasai lesen judi, arak dan hiburan sehingga putaran duit mencecah trilion ringgit, macam mana orang Melayu nak kejar.

“Oleh itu, kita perlu kepada campur tangan kerajaan, perlu kepada tindakan kesungguhan dan perlu kepada dasar-dasar seperti DEB diteruskan. Sebab kita bukan berpolitik semata-mata hendakkan undi atau menjadi juara kerana undi,” ujar beliau.

Beliau memberi contoh, kerajaan dahulu di bawah Datuk Seri Najib Razak cuba mengambil hati orang Cina supaya kembali menyokong Barisan Nasional (BN) selepas mereka mula menolak MCA pada PRU13.

Ketika itu, mantan perdana menteri itu mengagih dan membahagikan pelbagai “buah tangan”, tetapi masyarakat Cina tetap memberi undi kepada DAP.

“Bagi saya, apa yang Najib kejar tak dapat, yang dia kendong keciciran. Orang Melayu pula marah kepadanya. Inilah pengalaman bawah kepimpinan Najib sebelum dia kalah PRU14, selain isu 1MDB.

“Maknanya, orang Cina nak apa saja kerajaan bahagi, bila tiba mengundi, mereka tidak bahagi (undi) MCA,” katanya.

Mengenai Akta ISA beliau memuji kerajaan Singapura kerana mengekalkan undang-undang itu walaupun negara berkenaan tidak menghadapi ancaman keselamatan secara serius.

Di Malaysia, katanya, apabila kerajaan PH mengambil alih pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan, mereka berusaha untuk menghapuskan Akta Hasutan.

Sepatutnya, ujar beliau, kerajaan PH memberi tumpuan untuk melaksanakan janjinya mengurang kos sara hidup rakyat daripada sibuk hendak reformasi seperti menghapuskan Akta Hasutan kononnya ianya undang-undang penjajah.

Akta Hasutan telah dipinda tahun 1971 oleh Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak bagi memastikan tidak berlaku lagi peristiwa 13 Mei 1969.

“Saya percaya jika akta ini dihapuskan, rakyat dan negara ini khususnya berdepan dengan ancaman yang sukar dikawal.

“Tahniah kepada kerajaan Singapura. Sekurang-kurangnya kerajaan anda tahu mana baik, mana buruk mengenai akta keselamatan dalam negeri,” katanya.

Beliau berkata, selain kerajaan PH, kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika berkuasa sebelum ini turut melakukan kesilapan besar apabila memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Baginya, pentadbiran Najib telah melakukan kesilapan besar apabila memansuhkan ISA.

“Saya dua kali ditahan bawah ISA, tetapi sehingga kini saya tetap menyokong akta ini dikekalkan. Kerana ia demi keselamatan negara,” katanya.

/https://malaysiagazette.com/blog/2019/07/16/saya-tidak-rasis-ibrahim-ali/
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here