Warung tertinggi di puncak gunung

0
33
MBOK Yem dalam warungnya di puncak Gunung Lawu.
Oleh FAUZAN UDA AHMAD

 

DI beberapa buah gunung di Indonesia, warung makanan dan minuman biasanya berada di kaki gunung atau pos pendakian awal sahaja, kecuali di Gunung Lawu.

Di puncak Gunung Lawu yang letaknya di sempadan wilayah Jawa Tengah dan Timur, warung Mbok Yem menjadi tumpuan kalangan para pendaki.

Letaknya di beberapa ratus meter dari puncak gunung setinggi 3,150 meter dari aras laut (mdpl), ia diiktiraf oleh Muzium Rekod Dunia Indonesia (MURI) sebagai warung tertinggi di Indonesia.

Pemiliknya, wanita berasal dari Magetan, Jawa Tengah, Wakiyem atau lebih mesra dipanggil Mbok Yem, 61, membuka warung tersebut sejak tahun 1980-an.

Warung makan Mbok Yem hanya berdinding kayu tanpa hiasan atau cat dinding berwarna.

“Selagi saya masih kuat untuk bekerja di sini, saya akan tetap bekerja,” kata Mbok Yem dalam Bahasa Jawa ketika ditemui sebuah stesen TV baru-baru ini.

Mbok Yem mengaku dirinya memang sudah berniat sejak awal mencari nafkah di Gunung Lawu meski pun mengetahui bukan mudah untuk tinggal di gunung yang tinggi itu.

Gunung Lawu mempunyai cuaca sejuk yang melampaui dengan suhu waktu malam di puncak boleh mencapai negatif 5 darjah selain tiupan anginnya yang kencang.

Untuk sampai ke warung, pendaki memerlukan sekitar enam hingga tujuh jam untuk sampai dengan melalui Candhi Cetho, Kabupaten Karanganyar, Jawa Tengah. Jalur pendakiannya juga curam.

Wanita ini berkata dirinya tidak bersendirian tetapi dibantu dua saudara lelaki ketika melayani pendaki yang membeli minuman dan makanan di warungnya.

Mbok Yem menambah dia hanya turun sekali setahun dari gunung itu untuk pulang kampung, iaitu ketika tibanya lebaran.

Dalam sehari, Mbok Yem melayani 200 hingga 300 orang pendaki manakala makanan yang dijual agak murah, hanya berkisar Rp 10.000 (RM3) sahaja.

Kewujudan warung Mbok Yem yang mendapat bekalan elektrik dari alat penjana kuasa memberikan kemudahan kepada para pendaki.

“Jadi tak perlu bawa banyak bekal ketika mendaki. Boleh beli di warung ini,” kata Indra, salah satu pendaki dari Ngawi.

Malah, ia menjadi tempat tidur alternatif kepada pendaki yang tidak mahu mendirikan khemah untuk bermalam di Gunung Lawu.

Bagi para pendaki, pecel masakan Mbok Yem adalah menu paling diminati. Makanan lain ialah mi segera, soto dan kudapan.

Menyorot kembali ketika mula bertapak di puncak itu, Mbok Yem asalnya hanya mencari tumbuh-tumbuhan untuk dihasilkan jamu sambil menjual nasi untuk pendaki.Kini warungnya dijadikan sebagai tempat tinggal.

Mbok Yem mendapat kiriman bahan masakan sebanyak dua kali dalam seminggu daripada orang kepercayaannya dan makanan dimasak menggunakan dapur tungku dengan bahan bakar kayu api.

BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here