Zamihan Mat Zin saman Mufti Perlis

Zamihan Mat Zin saman Mufti Perlis
MUFTI Perlis, Profesor Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidi atau lebih dikenali sebagai Dr Maza pada Forum Sosma: Siapa Pengganas? Potensi salah guna kuasa anjuran Suaram di Dewan Sivik Petaling Jaya. NSTP/NUR ADIBAH AHMAD IZAM

 

KUALA LUMPUR — Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ASWAJA), Zamihan Mat Zin memfailkan saman menuntut ganti rugi RM2 juta terhadap Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang didakwa memfitnahnya berhubung jawatan dan kerjayanya.

Beliau memfailkan saman itu melalui Tetuan Azam Aziz Shahrudinali & Co di kaunter pendaftaran Mahkamah Tinggi di sini, pada jam 2.30 petang semalam.

Pihak media memperoleh dokumen saman itu hari ini melalui peguam Zamihan iaitu Datuk Shahrudin Ali.

Zamihan sebagai plaintif bagaimanapun tidak hadir dan dimaklumkan tidak sihat berikutan baru keluar dari hospital hari ini.

Berdasarkan penyata tuntutan, Zamihan yang memfailkan saman itu atas kapasiti peribadi mendakwa Mohd Asri ada mengeluarkan kenyataan fitnah terhadapnya sebanyak dua kali berhubung jawatan dan kerjayanya.

Beliau mendakwa, Mohd Asri ada mengeluarkan kenyataan fitnah terhadapnya melalui artikel bertajuk ‘Bukan Perlis sahaja’ dan diterbitkan pada 14 Oktober 2018.

Pada 9 Februari lalu, Mohd Asri didakwa sekali lagi mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap plaintif dalam sesi forum SOSMA yang bertajuk ‘Siapa Pengganas & Potensi Salahguna Kuasa’.

Ia dianjurkan di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Petaling Jaya.

Plaintif mendakwa pada hari yang sama, ucapan Mohd Asri itu ada disiarkan di portal berita Malaysiakini bertajuk ‘Asri: Sebut Ayob Khan terbayang muka Zamihan’.

Zamihan berkata, kenyataan fitnah itu secara langsung merujuk kepada kerjaya, jawatan, profesyen beliau dan ia tidak benar.

Kenyatan fitnah itu didakwa membawa maksud bahawa plaintif tidak berintegriti, pembohong dan mengelirukan orang awam dengan hukum Islam yang karut.

Selain itu, Zamihan mendakwa kenyataan fitnah itu membawa maksud bahawa beliau tidak berkelulusan dalam bidang syarak, akidah dan hukum Islam serta tidak layak menjadi pengajar selain didakwa seorang pengganas.

Menurutnya, kenyataan fitnah itu adalah berniat jahat dan mendedahkan dirinya kepada kebencian, penghinaan dan cemuhan dalam masyarakat.

Akibat fitnah itu, plaintif mendakwa beliau difitnah teruk dan dipandang hina serta mencemarkan reputasinya dalam masyarakat umum.

Oleh itu, selain ganti rugi am RM2 juta,beliau menuntut ganti rugi teruk, ganti rugi teladan serta permohonan maaf daripada defendan.

Selain itu beliau turut memohon perintah injunksi melarang defendan sama ada secara langsung atau tidak mengeluarkan kenyataan sama atau berunsur fitnah terhadapnya serta lain-lain relif yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

-Harian Metro
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.