[VIDEO] Badan dijilat Pak Belang

"Bagaimanapun, bahagian belakang saya tiba-tiba terasa basah seperti dijilat dan saya menyangka anak bongsu bermain di belakang."

[VIDEO] Badan dijilat Pak Belang
HARIMAU yang didapati berkeliaran di Kampung Besul Lama, Bukit Besi, petang tadi.

 

DUNGUN — Badan dijilat dan hampir diterkam harimau menjadi detik mencemaskan seorang penduduk di Kampung Besul Lama Bukit Besi, di sini hari ini susulan kehadiran raja rimba di kawasan berkenaan.

Mohamad Harun,61, berkata, dia nyaris menjadi mangsa ketika mengetuk kuat kepala seekor harimau jantan yang menjilat bahagian belakangnya kira-kira jam 1.30 tengah hari.

“Ketika saya membaiki rumah, saya memegang tangga sambil mendongak ke atas melihat anak, Amizan, 22, membaiki bumbung rumah.

&;

“Bagaimanapun, bahagian belakang saya tiba-tiba terasa basah seperti dijilat dan saya menyangka anak bongsu bermain di belakang.

“Selepas dua kali mengetuknya, saya terasa ia berbulu dan sebaik menoleh, saya terkejut apabila melihat seekor harimau jantan setinggi lebih satu meter di belakang,” katanya.

Dia yang terkejut melihat harimau terus menjerit dan berlari masuk ke dapur manakala anaknya terjun ke bawah dan menyelamatkan diri masuk ke dalam rumah.

“Mujur bahagian dapur rumah dekat dan pintunya terbuka kalau tidak kami sudah menjadi mangsa dan harimau itu yang gagal mendapatkan kami berlegar-legar di kawasan dapur.

“Saya keluar rumah dari rumah kira-kira 45 minit kemudian selepas haiwan itu beredar untuk mengambil pasir yang terletak kira-kira 50 meter dari rumah kerana mahu menyambung kerja membina rumahnya.

“Ketika berada di atas jambatan, tiba-tiba seekor harimau menerkam ke arah saya dan saya berlari terjun ke dalam sungai.

“Itu harimau yang lain, harimau itu kecil sedikit dan saya rasa itu harimau betina kerana bulunya cerah sedikit berbanding harimau pertama,” katanya.

Katanya, sebaik terjun ke dalam sungai dan dia sempat berlindung di bawah jambatan dan pulang ke rumah kira-kira 30 minit kemudian.

Mohamad Harun,61, menunjukkan cara dia mengetuk kepala seekor harimau yang menjilat belakangnya ketika sedang membaiki rumahnya di Kampung Besul Lama, Bukit Besi, petang tadi. STR/ROSLI ILHAM

“Ketika itu, saya tidak tahu yang penduduk di luar yang terserempak dengan harimau itu kerana sibuk membaiki rumah dengan anak.

“Selepas dua kali terserempak, saya tidak berani keluar meminta tolong apatah lagi kedudukan rumah saya agak jauh dari kediaman penduduk lain.

“Saya bersyukur kerana terselamat daripada menjadi mangsa harimau itu dan tidak dapat saya bayangkan apa yang akan berlaku sekiranya ia menyerang kami,” katanya.

Dalam pada itu, Suzana Mustafa, 26, berkata, dia yang menunggang motosikal ke tempat kerjanya di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Bukit Besi dikejar dan nyaris diterkam harimau yang keluar dari semak kira-kira jam 2 petang.

“Suami, Zulkarnain Ismail,31, yang menunggang motosikal di belakang menjerit meminta saya memecut laju motosikal kerana harimau itu semakin hampir dengan saya.

“Saya memecut laju sejauh kira-kira 300 meter dan mujurlah sebuah kereta yang kebetulan ada di belakang saya membunyikan hon dengan kuat sebelum haiwan itu masuk ke kawasan semak berhampiran.

“Saya sangat takut dan bimbang dengan kandungan yang berusia enam bulan dan sepanjang kejadian itu, saya tidak putus-putus berdoa agar tidak menjadi mangsanya,” katanya.

-Harian Metro
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.