IKEA tutup kilang di AS, pindah ke Eropah

0
56

WASHINGTON DC – Gergasi perabot Sweden, IKEA, bakal tutup sebuah kilangnya di Amerika Syarikat (AS) pada Disember depan sebelum berpindah ke lokasi baharu di Eropah pula.

Tindakan tidak dijangka itu menurut pihak pengurusan syarikat tersebut sebagai langkah untuk kurangkan kos operasi, demikian lapor agensi berita Xinhua China yang petik laporan media AS.

Menurut stesen penyiaran CNN, IKEA akan henti pengeluaran di sebuah kilangnya di Danville, Virginia. Penutupan kilang yang dibuka pada 2008 itu menyebabkan 300 orang hilang kerja.

“Kami berusaha kekal daya saing. Malangnya, peningkatan kos menyebabkan pengeluaran sukar diteruskan bagi tempoh panjang,” kata pengurus kilang Bert Eades dalam satu kenyataan.

Syarikat tersebut malahan menyatakan bahawa faktor utama kilang berkenaan terpaksa dipindahkan adalah disebabkan oleh peningkatan harga bahan untuk pembuatan produk.

Pihak ibu pejabat IKEA bagaimanapun berkata keputusan dramatik untuk menutup operasi kilang tersebut di AS tidak ada kaitan dengan isu kenaikan kadar tariff tempatan, lapor CNN.

Syarikat perabot itu namun masih ada kilang pengeluaran di sembilan negeri lain di AS dan mengupah kira-kira 20,000 pekerja. Di seluruh dunia, IKEA mempunyai hampir 200,000 petugas.

Tahun lalu, IKEA menyatakan 7,500 pekerja akan diberhentikan dalam usaha penyusunan semula syarikat yang dikatakan bakal mewujudkan lagi 11,500 peluang pekerjaan baharu.

Ditubuhkan pada 1943 oleh mendiang Ingvar Kamprad, IKEA setakat ini dilaporkan memiliki sejumlah 424 buah gedung jualan di 52 buah negara seluruh dunia termasuk Malaysia.

—BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here