KPM nafi gugur bab berkaitan Komunis dan Pendudukan Jepun dalam buku teks Sejarah Tingkatan Tiga

"Tajuk Pendudukan Jepun di Negara Kita, Ancaman Parti Komunis Malaya dan Darurat yang dahulunya dipelajari oleh murid Tingkatan Tiga menerusi KBSM akan diajar kepada murid di Tingkatan Empat pada tahun 2020 berdasarkan KSSM Sejarah baharu."

KPM nafi gugur bab berkaitan Komunis dan Pendudukan Jepun dalam buku teks Sejarah Tingkatan Tiga

KUALA LUMPUR — Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menafikan melakukan pindaan terhadap buku teks Sejarah Tingkatan Tiga bagi memansuhkan beberapa bab berkaitan dengan pendudukan Jepun dan ancaman Parti Komunis Malaya serta Darurat 1948.

Malah, KPM di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak pernah meminda atau melaksanakan semakan semula terhadap kurikulum dan buku teks mata pelajaran Sejarah.

KPM berkata semakan terakhir kurikulum mata pelajaran dilaksanakan pada tahun 2017 dan buku teks serta kurikulum kini adalah berasaskan kepada semakan berkenaan.

Katanya, pelaksanaan semakan kurikulum dan buku teks mata pelajaran Sejarah berkenaan sudah dilaksanakan secara berfasa sejak tahun2017.

“Kohort pertama yang mempelajari mata pelajaran Sejarah dan menggunakan buku teks sejarah semakan terkini ini adalah murid Tingkatan Satu pada tahun 2017, yang mana mereka adalah pelajar Tingkatan Empat pada 2020.

“Semakan 2017 bermula asalnya pada 2012 membabitkan pakar Sejarah, pensyarah Universiti Awam, guru Cemerlang Sejarah dan pegawai kurikulum di dalam Jawatankuasa Kerja Penambahbaikan Mata Pelajaran Sejarah (JKPMPS) Panel Pakar Rujuk Kurikulum Sejarah dan BukuTeks Sejarah.

“Tiada mana-mana bahagian yang digugur, dibuang atau dimansuhkan, sebaliknya ia disusun dan diatur semula supaya kurikulum dipelajari pelajar lebih kemas dan bersistematik bagi memudahkan pemahaman mereka tentang sejarah negara,” katanya KPM dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Kenyataan berkenaan juga menyebut kandungan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) Sejarah disusun secara kronologi mengikut garis masa peristiwa sejarah yang mana tajuk-tajuk yang diajarkan kepada pelajar adalah secara berkesinambungan dari Tingkatan Satu sehingga Tingkatan Lima supaya mereka dapat memahami sejarah negara dengan lebih mendalam.

“Kandungan KSSM Sejarah Tingkatan Tiga adalah bertemakan Kedatangan Kuasa Asing. Di bawah tema ini, pelajar diajar mengenai campur tangan dan penjajahan kuasa Barat serta tindak balas masyarakat tempatan.

“Di bawah tajuk Campur Tangan dan Penjajahan Kuasa Barat,pelajar didedahkan dengan kedatangan kuasa Barat, pentadbiran Negeri-negeri Selat, Negeri-negeri Melayu Bersekutu, Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu, Sabah dan Sarawak serta kesan pentadbiran Barat

terhadap ekonomi dan sosial di negara kita,” katanya.

Katanya, di bawah tajuk Tindak Balas Masyarakat Tempatan, murid didedahkan dengan penentangan penduduk tempatan yang melibatkan pergerakan nasionalisme tahap pertama yang bersifat setempat, dan kebijaksanaan Raja Melayu dan pembesar menangani cabaran Barat sehingga melambatkan proses perluasan kuasa Barat di negara kita.

“Tajuk Pendudukan Jepun di Negara Kita, Ancaman Parti Komunis Malaya dan Darurat yang dahulunya dipelajari oleh murid Tingkatan Tiga menerusi KBSM akan diajar kepada murid di Tingkatan Empat pada tahun 2020 berdasarkan KSSM Sejarah baharu.

“KPM meminta mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab agar menghentikan usaha menyebarkan sebarang maklumat tidak benar mengenai perkara ini,” katanya.

-Berita Harian
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.