Saddiq gesa PSM, dua tekong berdamai

“Mereka (Zulkifli Razak dan Syahir Rosdi) atlet terbaik yang menang pingat emas Sukan Asia 2018 dan mengharumkan nama Malaysia.

Saddiq gesa PSM, dua tekong berdamai
Foto: NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI.

 

Oleh KAKI BANGKU

 

KRISIS dua tekong dengan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) gara-gara isu disiplin dan elaun latihan perlu diselesaikan dalam semangat kekeluargaan tanpa sesekali boleh menggadaikan kepentingan sukan tradisi yang begitu dekat dengan peminat itu.

Gesaan ini ditegaskan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ekoran kedegilan kedua-dua pihak untuk beralah sedangkan tumpuan sepatutnya dihalakan kepada menghadapi Sukan SEA Ke-30 di Filipina yang tinggal kurang empat bulan lagi.

“Mereka (Zulkifli Razak dan Syahir Rosdi) atlet terbaik yang menang pingat emas Sukan Asia 2018 dan mengharumkan nama Malaysia. Saya lebih utamakan untuk melihat keharmonian semula kedua-dua pihak (termasuk PSM). Sebarang masalahnya yang dibangkitkan mereka boleh diselesaikan seperti dalam keluarga.

SYED Saddiq Syed Abdul Rahman (tengah) menunjukkan cenderamata pemberian ISN daripada CEOnya, Ahmad Faedzal Md. Ramli selepas sesi lawatan ke SCC institut itu di Bukit Jalil, hari ini.

“Sepak takraw kita sedang dalam proses untuk ‘mengaum’ semula dan melangkah maju. Janganlah sampai gadaikan menggadaikan kepentingan sukan yang ramai peminatnya ini,” katanya selepas melawat Pusat Jagaan Sukan (SCC) di Institut Sukan Negara (ISN), Bukit Jalil hari ini yang sudah dua minggu dibuka kepada orang awam untuk menerima rawatan setaraf atlet-atlet negara.

Dua tekong yang membantu mengakhiri kemarau emas sepak takraw Malaysia selama dua dekad dalam Sukan Asia itu mulanya berhasrat menarik diri daripada skuad negara namun menerima surat penggantungan daripada PSM sejurus sebelumnya atas alasan ponteng sesi latihan beberapa kali.

Saddiq turut tertarik dengan ‘cerahnya’ undian buat Harimau Malaya dalam Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022-Piala Asia 2023 yang menempatkan mereka dengan tiga jiran Asia Tenggara iaitu Thailand, Vietnam dan Indonesia selain pilihan utama, Emiriah Arab Bersatu (UAE), semalam.

Namun katanya, tiga jiran serantau itu tetap dianggap agak kuat memandangkan keputusan pertembungan sebelum ini agak seimbang dengan masing-masing pernah menang dan kalah khususnya dalam Piala AFF atau Sukan SEA lalu.

“Undiannya macam fiesta ASEAN tetapi kita tidak boleh ambil perkara ini dengan mudah. Dalam masa yang sama, saya rasa alhamdulillah,” katanya yang meramalkan peluang skuad Tan Cheng Hoe ke pusingan akhir Piala Asia seterusnya pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia apabila kempennya yang bermula 5 September ini berakhir pada 9 Jun 2020.

Hanya juara setiap kumpulan dan empat naib juara terbaik daripada lapan kumpulan pusingan kedua kelayakan ini, akan mara ke Piala Asia dan memburu empat setengah tiket Piala Dunia di Qatar sebagai wakil benua itu. Sekiranya gagal, skuad negara perlu bermain dalam play-off dan satu lagi pusingan untuk tiket Piala Asia di China.

Kementerian juga katanya, bakal membentuk perkongsian dengan sektor swasta dalam menubuhkan hospital sukan pertama negara di Kompleks Sukan Negara Jalan Raja Muda, Kuala Lumpur dalam mengukuhkan dana ISN selain menerusi SSC yang dijangka membawa pertambahan 20 peratus pendapatannya.

“Memandangkan kos rawatan SSC jauh lebih murah daripada pusat perubatan swasta di luar sana, pertambahan pendapatan ini mampu diguna semula untuk kerja penyelidikan dan pembangunan serta membantu lebih ramai atlet menerusi kepakaran sains sukan ISN,” katanya.

—BebasNews
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.