[VIDEO] Aishah pilih, Vida bayar

0
63
Oleh KHADIJAH IBRAHIM

 

TIADA wakil daripada pihak Aishah yang hadir di kedai emas sewaktu peguam Datuk Seri Vida, Zailan Mohamed pergi ke kedai tersebut untuk menyerahkan barangan kemas bernilai RM80,000 kepada penyanyi itu.

Zailan pergi ke kedai emas yang terletak di Bangsar itu selepas usahawan kosmetik tersebut mengadakan sidang akhbar memberitahu yang beliau akan menyerahkan barangan kemas yang telah dipilih oleh Aishah pada hari ini (17 Julai).

Menurut Zailan, pada pukul 8.44 malam (16 Julai 2019) beliau mendapat pesanan ringkas menerusi aplikasi WhatsApp daripada peguam Aishah yang menyatakan rantai milik Vida ada padanya dan meminta agar penukaran barang kemas dibuat di kedai.

“Peguam Aishah mahu penukaran dan penyerahan barang kemas dibuat di kedai emas kerana pihak mereka mahu memeriksa batu berlian yang telah dipilih oleh anak guamnya.

“Kata peguam itu, pihak mereka perlukan alat di kedai emas tersebut untuk periksa sama ada ia berlian yang sama (yang telah dipilih oleh Aishah) atau pun takut sebarang isu timbul,” jelas Zailan pada awal sidang media yang diadakan di sebuah hotel di Petaling Jaya, hari ini.

Seterusnya, Zailan berkata, beliau turut menerima e-mel daripada peguam penyanyi Janji Manismu itu pada sebelah pagi sebelum sidang akhbar bermula yang meminta pihak Vida berada di kedai emas pada pukul 1.30 petang.

Bagaimanapun permintaan itu tidak dapat ditunaikan dan pihak peguam Aishah juga telah dimaklumkan bahawa wakil Vida hanya akan berada di kedai emas selepas sidang akhbar selesai.

Zailan hanya berkesempatan pergi ke kedai emas tersebut kira-kira pukul 5 petang untuk menyerahkan barangan kemas tersebut yang turut dibuat pemeriksaan oleh kakitangan kedai emas berkenaan.

Sementara itu, Vida atau nama sebenarnya Hasmiza Othman berkata, beliau telah memberi kelonggaran kepada Aishah untuk memilih barang apa yang dikehendakinya tapi masih tidak dipercayai.

“Saya bagi ini (barang kemas bernilai RM80,00) dan bayar semua kos masih tak percaya lagi, takut saya bagi barang tak betul? Sepatutnya saya bagi pada peguam dan diserahkan kepada peguamnya.

“Ini tak, nak kena buat pemeriksaan semula selepas saya ambil (tujuan sidang akhbar) takut saya tukar. Kenapa, kalau saya ambil, saya akan menukarkan barangan yang telah dipilih itu kepada barangan lain? Pilihan yang dibuat olehnya memang luar jangkaan. Saya harap pilihan itu menggembirakan hati Aishah,” luah Vida yang turut mempamerkan barangan yang telah dipilih oleh Aishah.

Lima barang kemas yang dipilih adalah dua butir berlian 1 karat potongan bulat bernilai RM27,100 dan 0.70 karat berlian potongan ‘puteri’ bernilai RM12,920 dan tiga cincin berlian berwarna emas kekuningan (RM20,820), cincin emas putih (RM11,410) dan emas putih mounting (RM7,750).

ZAILANn dan kakitangan kedai emas selesai memeriksa ketulenan barang kemas yang diserahkan kepada Aishah.

Pada waktu yang sama Vida turut mengingatkan warganet agar tidak membuat tuduhan yang beliau menyerahkan barang kemas palsu.

“Sebelum penyerahan, barang kemas akan diperiksa sekali lagi. Saya harap ‘mahkamah netizen’ memahami situasi ini dan tidak menuduh benda itu palsu seperti yang dikatakan bertahun lama hingga meranapkan empayar perniagaan saya hingga saya perlu bina semula.

“Kepercayaan terhadap saya telah runtuh angkara tohmahan, cacian disebabkan RM80,000 dan sebagai seorang yang bertanggungjawab saya telah memenuhi kehendaknya. Disebabkan kutuk dan maki hamun, perniagaan saya merudum.

“Tapi saya percaya itu takdir dan saya kena yakin ada hikmah di sebaliknya. Saya reda dan yakin kejayaan besar akan diperolehi kelak dengan doa dan keikhlasan saya. Saya mahu anda semua menjadi saksi bahawasanya kebangkitan DSV akan bermula,” katanya penuh semangat.

Tambahnya, angkara isu barangan kemas itu, perniagaannya yang sebelum ini mampu memperoleh pendapatan RM15 juta telah susut sebanyak 30 hingga 70 peratus terutamanya dalam perniagaan barang kemas.

Pada sidang akhbar itu juga, seorang lagi peguam Vida, Adnan Seman berharap dengan penyerahan barangan kemas tersebut, kemelut antara kedua-dua pihak telah selesai dengan baik.

Katanya, semangat mediasi di mahkamah harus dibawa ke luar mahkamah.

“Kita anggap perkara ini selesai dengan baik. Barang-barang akan dihantar ke kedai emas kerana mereka minta hantar. Sebenarnya dari segi mediasi tidak ada terma yang barangan perlu diberikan di kedai.

“Cuma tempoh penyerahan barang-barang itu perlu berlaku pada hari ini yang merupakan hari terakhir dalam penyelesaian. Maknanya selepas penyerahan barang-barang ini, kita tak nak lagi timbul sebarang isu atau permasalahan selepas ini.

“Kita akan hantar ke kedai emas tempat dibeli. Aishah dan peguamnya boleh pergi ke sana tengok dan orang kedai emas boleh sahkan ini barang kemas yang telah dibayar. Permata-permata ini memang tulen dan asli, lengkap dengan sijil.

“Saya anggap perkara ini selesai dan mudah-mudahan menjadi pengajaran kepada semua pihak, artis atau yang menaja dan kepada anak guam saya juga. Walaupun niatnya baik untuk bagi hadiah tapi kalau tidak dibuat secara berhati-hati mungkin disalah faham oleh masyarakat,” tegasnya.

Sebelum ini pada 6 Julai lalu, Vida telah membuat permohonan maaf kepada Aishah dalam satu sidang akhbar yang diadakan di kediamannya di Ipoh.

-BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here