Harimau masuk kampung ditangkap

0
77

DUNGUN — Seekor harimau spesies Harimau Malaya yang menggemparkan penduduk Kampung Besul Lama, Bukit Besi, di sini, semalam berjaya ditangkap petang tadi, selepas ditembak dengan ubat pelali.

Harimau jantan seberat 130 kilogram itu ditembak dengan ubat pelali kira-kira jam 3.30 petang oleh pasukan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (PERHILITAN) Terengganu, ketika ia ditemui sedang berehat dalam belukar di kawasan hutan, kira-kira 500 meter daripada perkampungan itu.

Pengarah PERHILITAN Terengganu, Dr Abdul Malik Mohd Yusof, berkata harimau yang ditangkap itu dicam sama dengan harimau yang berlegar di kampung itu semalam, berdasarkan ketinggian dan corak belang pada badan haiwan berkenaan.

“Ketika pegawai dan anggota kita sedang meronda di dalam hutan sekitar 500 meter daripada jalan utama kampung ini, pasukan kami menemui Harimau Malaya itu yang ketika itu sedang duduk berehat di dalam sebuah belukar.

“Pasukan kami kemudian memasang ubat pelali sebelum menembaknya menyebabkan harimau terbabit rebah. Ia kemudian dibiarkan seketika sebelum diangkat dan dimasukkan ke dalam sangkar.

“Harimau terbabit kemudiannya dibawa ke Surau Kampung Besul untuk sementara waktu dan ia akan dihantar ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan di Sungkai, Perak untuk ditempatkan di situ,” katanya ketika ditemui di lokasi selepas menyertai 22 pegawai dan anggotanya dalam operasi memburu harimau berkenaan.

Abdul Malik berkata, harimau berkenaan kemudian dimandikan bagi menyedarkannya selepas ditembak dengan ubat pelali.

Beliau berkata, pasukannya dipecahkan kepada tiga kumpulan dan satu daripada kumpulan berkenaan berjaya menemui harimau terbabit.

Katanya, pihaknya kini masih meneruskan operasi mengesan seekor lagi harimau yang masuk ke dalam kampung berkenaan semalam, sehingga ia ditemui.

Foto: NSTP/IMRAN MAKHZAN

“Berdasarkan aduan penduduk kampung, mereka mendakwa masih ada seekor lagi harimau terbabit yang masuk ke kampung ini semalam.

“Justeru operasi kita tidak berhenti di sini dan akan meneruskan operasi mengesan seekor lagi harimau terbabit sehingga ditemui. Kita juga ingin berterima kasih kepada penduduk yang memberi kerjasama baik bagi melancarkan operasi hari ini,” katanya.

Pagi semalam penduduk Kampung Besul Lama, Bukit Besi, dikejutkan dengan kehadiran dua ekor harimau, dengan seekor daripadanya berkeliaran lama di kawasan perkampungan itu, sebelum kembali masuk ke dalam hutan berhampiran.

Harimau itu muncul beberapa kali berdekatan rumah penduduk dan kejadian disedari seorang wanita berusia 40-an.

-Berita Harian
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here