Kita membazir ayat kerana berlewah

0
124
Oleh KAKI BANGKU

KENAPA kita suka berlewah dalam ayat dan bahasa kita, terutama bagi penulisan rasmi?

Kadang-kadang sudah terang lagi hendak bersuluh, umpamanya penggunaan perkataan Visi, Misi dan Objektif. Bukankah ketiga-tiganya perkataan seerti atau sinonim. Kerap kita temui ketiga-tiga ini dalam diari atau babak awal latar belakang sesebuah organisasi.

Visi, Misi dan Objektif ini masih kerap dipecahkan kepada tiga perkara padahal maksudnya sudah jelas sama.

Begitu juga kerap kita jumpa perkataan yang lewah atau menurut pprm.dbp.gov.my dan Kamus Pelajar Edisi Kedua, bermaksud terlalu banyak sehingga berlebihan dan melimpah-limpah.

Erti lain termasuk, lebih daripada yang sepatutnya; tidak diperlukan kerana yang ada sudah memadai dan berlebih-lebih sehingga dapat diangap membazir.

Ayat yang berbunyi, “Abu juga turut bekerja sebagai pelukis sambilan.” Bukankah juga dan turut sinonim. Memadai ambil satu daripadanya (bukan salah satu ya).

Kaki Bangku pernah menghadiri ceramah pegawai Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang kurang senang dengan perkataan salah, pun lewah). Gunakan satu, sudah cukup. Kenapa hendak disalahkan yang satu itu, katanya.

Kaki Bangku juga kerap terdengar ulasan sukan TV. “Tinggal 200 meter lagi untuk menamatkan perlumbaan, Azizulhasni Awang cuba mengejar Chris Hoy dari belakang.”

Kalau sudah kejar, tak mungkin dari depan, bukan? Tetapi orang kita masih gemar melewah-lewah ayat. Sebut cuba mengejar sudahlah.

Satu lagi ayat lewah bunyinya begini, “hujan yang turun dengan lebat di Plaza Tol Lebuh Raya Utara-Selatan ini….”

Tolonglah, seingat saya yang sudah berusia hampir 50-an ini, tiada hujan yang pernah naik! Cubalah betulkan kepada, “hujan lebat yang melanda Plaza Tol Lebuh Raya Utara-Selatan ini.”

Ahli-ahli politik dan watak-watak ternama apabila dalam berita TV tidakketinggalan berlewah dalam menuturkan kenyataan mereka.

“Jika sekiranya cuaca berjerebut ini berterusan sehingga akhir tahun ini, kerajaan mungkin ….” Perlukah jika sekiranya disebut begitu?

Bukankah lebih sedap dan tepat, gunakan sahaja jika dan abaikan sekiranya. ‘Kenapa hendak menggunakan lampu suluh pada tengah hari rembang yang dipanah terik mentari’. Ini pepatah baharu kepada sesiapa yang tertanya-tanya.

Kalau hendak dikupas terus, masih banyak ayat lewah macam: “Datuk Seri Talib adalah merupakan tokoh Maal Hijrah….” Sepatutnya ditulis: “Datuk Seri Talib ialah….atau “Datuk Seri Talib merupakan ….”

Kadang-kadang Kaki Bangku pelik apa peranan Setiausaha Akhbar kepada orang-orang kenamaan ini. Tidak pekakah mereka dengan kesilapan yang kerap dan menonjol ini? Adakah mereka sudah terbiasa dengan lumrah salah yang tidak ditegur oleh sesiapa pun termasuk DBP? Kenalah biasakan yang betul.

Kaki Bangku cuma bimbang jika lumrah yang salah ini menjadi ikutan generasi baharu yang hari-hari menatap akhbar dan menonton TV. Gara-gara sentiasa dididik begitu, maka mereka pula mewarisi dan menyambung kesalahan itu apabila dewasa kelak.

– BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here