Lebih 1.16 juta pengguna alami gangguan air

0
76
KERJA-kerja penambahbaikan di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) yang melibatkan hentitugas loji bermula pada 9.00 pagi, Selasa 23 Julai 2019. IHSAN AIR SELANGOR

 

KUALA LUMPUR — Sebanyak 1,133 kawasan membabitkan 1,166,842 pemegang akaun di ibu negara dan Selangor mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual berikutan pencemaran bau di Sungai Selangor.

Kawasan yang terjejas termasuk di Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Abdul Raof Ahmad berkata, gangguan itu berikutan Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 (LRA SSP1, LRA SSP2 dan LRA SSP3) terpaksa dihenti tugas.

“Air Selangor dengan kerjasama beberapa agensi sedang berusaha sepenuhnya mengatasi masalah berkenaan.

“Kami mohon maaf atas segala kesulitan dan mengambil segala usaha bagi meminimakan impak gangguan kepada pelanggan terjejas.

“Maklumat dan status terkini gangguan bekalan air itu boleh disemak menerusi laman sesawang www.syabas.com.my atau menerusi aplikasi Air Selangor,” katanya dalam satu kenyataan, petang tadi.

KERJA-kerja penambahbaikan di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) yang melibatkan hentitugas loji bermula pada 9.00 pagi, Selasa 23 Julai 2019. IHSAN AIR SELANGOR

Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Charles Anthony Santiago ketika dihubungi Harian Metro berkata, bekalan air di semua lokasi terjejas akibat pencemaran bau itu akan disalurkan secara berperingkat selepas selesai operasi pembersihan LRA dijalankan.

“Berdasarkan aduan dan siasatan, pencemaran itu berlaku akibat kemasukan satu punca air ke kawasan LRA Sungai Selangor berkenaan.

“Namun, saya difahamkan satu daripada LRA itu sudah pulih dan dalam proses pembersihan sedang dijalankan ketika ini. Bekalan air kemudian akan disalurkan secara berperingkat,” katanya.

Kata beliau, sebarang maklumat dan perkembangan lanjut mengenai gangguan itu akan dikeluarkan Air Selangor.

Air Selangor sebelum ini memaklumkan penduduk di Selangor dan Kuala Lumpur akan mengalami gangguan bekalan air bermula 23 hingga 26 Julai depan.

Gangguan itu bagi memberi laluan kepada kerja penggantian peralatan loji dan injap uzur yang berusia hampir 20 tahun di LRA SSP1.

-NSTP
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here