Malaysia sudah hilang haluan, Indonesia terus mantap…

Malaysia sudah hilang haluan, Indonesia terus mantap…

SAYA berada di Jakarta, di sebuah negara yang akan meninggalkan jauh negara kita Malaysia.

Indonesia sekarang cukup fokus kepada pembangunan negaranya. Pembangunan fizikalnya cukup hebat, malah pembangunan sosialnya, rakyatnya juga amat cemerlang.

Saya yakin dalam beberapa tahun lagi Indonesia akan mengalahkan negara-negara lain di rantau ini.

Saya tidak hairan jika Rupiahnya akan mengatasi Ringgit dalam tempoh terdekat.

Dari kota raya besar ini, saya juga mengikuti perkembangan negara. Macam-macam kisah dalam whatsapp saya. Cukup memalukan. Londeh-melondeh antara Anwar Ibrahim dan Azmin Ali.

 

Ketua Polis Negara juga membuat analisis “maha hebat” mengenai video lucah membabitkan pemimpin politik negara itu.

Katanya: Kebarangkalian video itu tulin adakah tinggi; hasil proses pengecaman wajah adalah negatif.

Ramai yang pening dengan hasil analisis itu.

Anwar turut membuat sidang akhbar. Berkobar-kobar bagaikan seorang (bakal) Perdana Menteri.

Azmin pula kemudian membuat sidang akhbar balas terhadap Anwar.

Antara mereka, tiada sembunyi-sembunyi lagi.

Beberapa rakan Indonesia di sini bertanya saya mengenai cerita-cerita itu. Dalam masa Indonesia cukup vibran dan mahu mewujudkan lebih banyak lagi pulau-pulau ala Bali serata wilayah wisatanya, Malaysia sedang berantakan.

Semasa Indonesia sedang melebarkan kilang pembuatan kereta api untuk dieksport, politik kita cukup memalukan.

Macam-macam wayang di Malaysia sekarang. Kita sudah gostan ke belakang jauh. Rakyat sedang memerhati.

Orang luar ketawa besar. Para diplomat melihat perkembangan Malaysia dengan cukup teruja.

Politik Malaysia kini (sentiasa) cukup kotor. Rakyat memberi peluang kepada kerajaan baharu ini untuk memerintah, tapi nampak gayanya sudah cukup kalut.

 

Harapan rakyat jatuh berkecai. “Bapak, apa sudah jadi sama Malaysia?” Tiba-tiba pemandu kereta Gojek yang membawa saya bertanya apabila mengetahui saya dari Malaysia.

Kebetulan dulu dia pernah bekerja di Malaysia. Dia ikuti perkembangan kita.

Saya kata “politik Pak”. Politik Malaysia sekarang tunggang terbalik.

Malah ada orang Pakatan Harapan, bertaraf pemimpin berterus terang berkata kepada saya tempoh hari tanpa segan silu — “kami pun mangkuk hayun juga…!”

Anwar dalam sidang akhbar dengan gahnya menjawab soalan-soalan wartawan mengenai video seks itu yang katanya jika betul orang itu (Azmin) maka “dia kena letak jawatan!”

“Saya dengar khabar angin, video ini sudah disahkan, tapi belum rasmi lagi.”

Orang yang mendengar kata-kata beliau itu ketawa terbahak-bahak. Teringat semasa zaman kalut beliau dengan beberapa watak dalam video dan audio dahulu.

Azmin dalam sidang akhbar balasnya kepada Anwar pula berkata kepada wartawan “dengar kata-kata saya (read my lips) — kata kepadanya (Anwar) sila lihat cermin” atau dalam bahasa mudah, cermin diri dululah!

Apa maksud beliau? Azmin selaku bekas pegawai Anwar sudah pasti menyimpan banyak rahsia besar bosnya itu.

Azmin cukup marah nampaknya. Namun Indonesia semakin jauh meninggalkan kita.

Perebutan kuasa di Malaysia cukup menjengkelkan. Sebaliknya, tokoh politik Indonesia kelahiran Aceh dan taikun media, Surya Paloh semalam terus meniupkan semangat jati diri kepada rakyatnya untuk sayangkan negara dan membangunkan Indonesia.

Hebat negara Garuda ini. Perjalanan negara ini cukup terurus, seperti di zaman pemerintahan Dr Mahathir Mohamad dahulu. Sayangnya, kini semuanya berantakan. Tun Mahathir sekarang bukan seperti dahulu lagi. Beliau sudah terlalu tua.

Semasa saya tiba di destinasi saya di Kemang, Jakarta Selatan, pemandu Gojek sempat berbisik “jaga Malaysia baik-baik ya bapak…”

Saya hampir tersedu. Tiada kata-kata. Kita sudah hilang haluan.

BebasNews
Please follow and like us:
error

One Response to "Malaysia sudah hilang haluan, Indonesia terus mantap…"

  1. Mullah TTDI  19/07/2019 at 10:54 am

    Assalamualaikum Datuk Zaini. Saya amat setuju dengan tulisan Datuk tentang perkembangan positif Indonesia dan negara kita ini, yang hendak menuju ke belakang. Saya pun bersikap sedemikian. Ada seorang blogger menulis iaitu: Adakah dalam rakyat Malaysia yang hampir 30 juta orang ini, hanya Anwar Ibrahim sahaja yang layak menjadi Perdana Menteri? Di manakah plan pembangunan Port Dickson yang diberitahunya tempoh hari? Pada saya, pentadbiran Pakatan Harapan (PH) hanya berjaya pada satu (1) bahagian sahaja iaitu larangan merokok beberapa meter daripada orang ramai di restoran. Itu sahaja.

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published.