Segera manfaatkan peluang pulang ke negara asal

0
61
MENTERI Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (tengah) ketika sidang media mengenai Program Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) Pulang ke Negara Asal (Back For Good) di Jabatan Imigresen, Putrajaya, turut kelihatan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud (kanan) dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Alwi Ibrahim. NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

 

PUTRAJAYA — Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di negara ini digesa segera memanfaatkan peluang menerusi program Pulang Ke Negara Asal atau Back For Good (B4G).

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud, berkata mereka perlu menjalani beberapa proses dan menyediakan dokumen yang ditetapkan sebelum dibenarkan pulang ke negara asal melalui program itu.

Katanya, PATI yang berkenaan perlu mendapatkan dokumen pengenalan diri lengkap daripada kedutaan besar atau pejabat pesuruhjaya tinggi masing-masing sebelum menyerahkannya kepada pejabat Imigresen untuk diproses.

Beliau berkata, mereka juga perlu menyediakan bayaran kompaun RM700 serta menunjukkan tiket penerbangan ke negara asal bagi tujuan itu.

“Kebanyakan PATI yang dikesan di negara ini adalah dari Indonesia, Bangladesh, Vietnam, Nepal dan Myanmar.

“Kesemua dokumen itu akan diteliti bagi proses kebenaran keluar sebelum diberikan pas khas yang sah laku dalam tempoh tujuh hari untuk keluar daripada negara ini,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan program itu bertujuan mengurangkan bilangan PATI di negara ini yang akan dilaksanakan bermula 1 Ogos sehingga 31 Disember depan.

Program itu bagi memberi peluang kepada warga asing yang telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) untuk pulang ke negara asal secara sukarela mengikut syarat yang ditetapkan.

Khairul Dzaimee turut menegaskan program berkenaan dikendalikan sepenuhnya oleh Jabatan Imigresen tanpa pembabitan pihak ketiga atau syarikat penyumberan luar.

Katanya, bagi menjayakan program itu, pihaknya mendapat kerjasama daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang tidak akan menahan mana-mana PATI yang sedang melakukan proses menyertai B4G seperti ketika dalam perjalanan ke kedutaan dan pejabat imigresen bagi melengkapkan dokumen diperlukan.

“Selain mengurangkan kebanjiran PATI, program B4G juga bertujuan menjimatkan kos perbelanjaan pengurusan depot serta membendung masalah sosial seperti risiko jangkitan penyakit dan jenayah.

“Kita menganggarkan kira-kira 400,000 PATI akan mengambil peluang untuk pulang secara sukarela melalui program ini,” katanya.

-Berita Harian
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here