Loji rawatan air Sungai S’gor, Rantau Panjang kembali beroperasi

Air Selangor Sdn Bhd berkata ia kini masih dalam proses meningkat serta menstabilkan paras kolam dan tekanan sistem agihan bagi proses pemulihan air secara berperingkat.

Loji rawatan air Sungai S’gor, Rantau Panjang kembali beroperasi

LOJI Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2 dan Fasa 3 serta LRA Rantau Panjang telah kembali beroperasi sepenuhnya selepas dihenti tugas susulan insiden pencemaran bau.

Menurut Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd Abdul Raof Ahmad, ia kini masih dalam proses meningkat serta menstabilkan paras kolam dan tekanan sistem agihan bagi proses pemulihan air secara berperingkat.

“Berdasarkan pemantauan sehingga 6 pagi ini, peratusan pemulihan keseluruhan kawasan masih rendah iaitu di tahap 19 peratus dan pihak kami tidak dapat memberi jangkamasa pemulihan mengikut kawasan buat masa ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata Unit Kualiti Air Selangor dengan kerjasama Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Majlis Daerah Hulu Selangor telah menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca pencemaran.

“Hasil siasatan mendapati tahap pencemaran bau yang tinggi adalah berpunca dari kawasan Sungai Liam, Batang Kali, Hulu Selangor,” kata Abdul Raof sambil menambah agensi penguatkuasa berkenaan akan membuat pengumuman kepada pihak awam berhubung pencemaran dari kawasan itu.

Air Selangor telah mengaktifkan 16 Pusat Khidmat Setempat (PKS) dan 17 lokasi pili awam bermula 9 pagi ini (Sabtu) untuk mengagihkan bantuan air kecemasan kepada pelanggan terjejas.

“Memandangkan insiden ini melibatkan kawasan berskala besar, kami tidak dapat memenuhi permintaan bantuan bekalan air melalui lori tangki kepada semua pelanggan terjejas,” menurut Abdul Raof.

Katanya lagi, bantuan lori tangki air digerakkan dengan keutamaan kepada pelanggan dan premis kritikal dan kecemasan.

– Bernama
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.