300 robot pintar bakal dikerah bersihkan Singapura

Sekitar 300 robot itu akan dikeluarkan oleh firma LionsBot International, yang menyatakan bahawa ia adalah syarikat pertama di dunia berjaya menawarkan robot pembersih untuk disewa.

300 robot pintar bakal dikerah bersihkan Singapura
Foto: LionsBot.

 

CANGGIH… Robot-robot ini bukan sahaja boleh mengelap dan memberus, malahan mereka mampu menyanyi lagu serta turut boleh membuat lawak jenaka kepada para pejalan kaki.

Itulah antara ratusan robot pembersih yang tidak lama lagi bakal dikerahkan oleh beberapa buah syarikat di Singapura untuk kerja pembersihan kawasan di sekitar republik itu sepanjang masa.

Sekitar 300 robot itu akan dikeluarkan oleh firma LionsBot International, yang menyatakan bahawa ia adalah syarikat pertama di dunia berjaya menawarkan robot pembersih untuk disewa.

Ini bermakna bahawa kontraktor pembersihan yang ingin menggunakan robot, sebenarnya tidak perlu membelinya tetapi hanya memastikan mesin disewa itu jalani proses penyelenggaraan.

Menurut laporan stesen Channel NewsAsia, terdapat 13 model robot berbeza dan boleh disewa pada kadar bulanan yang bernilai antara S$1,350 (RM4,080) sehingga S$2,150 (RM6,500).

Setakat ini, enam buah syarikat pembersihan berminat ‘kerah’ robot itu menjelang Mac 2020. Ia boleh menggunakan sehingga kurang 70 peratus air berbanding sabun pencuci sedia ada kini.

Paling penting, robot ini dapat bekerjasama secara berkumpulan selain sudah diprogram dengan ‘sifat peramah’. Majikan justeru tidak perlu risau isu mogok, bayar upah atau ponteng kerja.

“Robot ini boleh kenyit mata kepada pejalan kaki dan buat lawak jenaka sekiranya orang awam cuba menghadangnya daripada melaksanakan tugasnya,” menurut kenyataan LionsBot.

Dengan cuma imbas kod QR robot itu, orang awam boleh berinteraksi dengan bertanya soalan-soalan seperti “Apakah nama anda?” atau “Apakah jenis pembersihan yang anda lakukan?”

Ia boleh bertutur dalam kesemua empat bahasa rasmi Singapura – Inggeris, Melayu, Mandarin, dan Tamil – serta Jepun dan “Singlish”, iaitu dialek tempatan yang gabung dengan Inggeris.

Kewujudan robot pembersih diharap dapat bantu atasi isu kekurangan serius tenaga buruh di negara yang semakin menua dan sudah capai jumlah penduduk padat seramai 5.6 juta orang.

–BebasNews
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.