Amrul Hazarin ‘nadi’ baharu KRM

Amrul Hazarin ‘nadi’ baharu KRM
Oleh KAKI BANGKU

 

MAJLIS Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) memutuskan pelantikan Amrul Hazarin Hamidon sebagai Setiausaha Agung Kehormat baharunya selepas melangsungkan mesyuarat sulungnya sejak melalui proses pemilihan pucuk pimpinan penggal 2019-2022 pada 13 Julai lalu.

Amrul, 51, merupakan Naib Presiden Kesatuan Ragbi Kuala Lumpur selain pernah menyandang jawatan Pengarah Pembangunan dan Pengarah Kejohanan dari tahun 2007 hingga 2017 malah menjadi pengurus pasukan Piala Agong Kuala Lumpur dari tahun 2006 hingga 2008.

Dipengerusikan Datuk Shahrul Zaman Yahya yang mempertahankan jawatan Presiden KRM dengan kemenangan tipis 24 berbalas 19 undi, Majlis turut melantik Mohd. Khairulizuan Shuhaimi sebagai Penolong Setiausaha Agung Kehormat baharu kesatuan.

“Datuk Ahmad Zaki Zahid pula dikekalkan sebagai Bendahari Kehormat KRM bagi sepenggal lagi,” menurut siaran akhbar KRM yang dikeluarkan hari ini, selepas mesyuarat Majlis yang berlangsung di Wisma Majlis Olimpik Malaysia, Kuala Lumpur, semalam.

AMIRUL Hazarin Hamidon

Amrul mengisi jawatan yang ditinggalkan ekoran pengunduran Jamaluddin Salim yang menyandangnya sejak 2017 sejurus selepas mesyuarat agung tahunan pemilihan berkenaan, juga di Wisma MOM.

Majlis KRM turut mengekalkan Mohamad Fahmy Abd. Jalil yang memenangi jawatan Naib Presiden KRM dalam persaingan tiga penjuru bagi dua kerusi itu minggu lalu sebagai Pengarah Pertandingan.

Seorang lagi Naib Presiden baharu kesatuan, Mohd. Zaki Shahran selaku Pengarah Publisiti dan Pemasaran.

Halim yang kalah 19-24 undi dalam perebutan kerusi No. 1 itu, pula dilantik Majlis KRM sebagai Naib Presiden Kehormat.

Turut dilantik ialah bekas Timbalan Presiden KRM bagi penggal 2016-2019, Velayuthan Tan Kim Song yang juga Presiden Kesatuan Ragbi Sabah selain Louis Jarau dan Senior Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohd Ji.

Seorang daripada empat Ahli Majlis KRM yang memenangi pemilihan melibatkan 10 calon ialah bekas ketua jurulatih negara, Lee Nyuk Fah yang turut dikekalkan sebagai Pengarah Kejurulatihan.

Tiga lagi pemegang jawatan itu, Dr. Ahmad Naim Ismail dilantik sebagai Pengarah Prestasi Tinggi, Mohd. Khairulnizam Mohd. Isa (Pengarah Pembangunan) dan Ahmad Effendy Abdul Razak (Pengarah Pengadil).

Lima lagi pengarah baharu yang juga Ahli Majlis baharu KRM secara lantikan ialah Louis (Undang-undang dan Peraturan), Noor Amin Ahmad (Hubungan Kerajaan), Dr. Nik Haziman Wan Hamat (Kebajikan Pemain dan Perubatan), Hazeline Aasyiqeen Jaafar (Ragbi Wanita) dan Norhisham Ibrahim (Latihan dan Pendidikan).

MAJLIS KRM 2019-2022

Presiden: Datuk Shahrul Zaman Yahya
Timbalan Presiden: Amir Amri Mohamad
Naib Presiden: Mohamad Fahmy Abd Jalil (Pengarah Pertandingan) dan Mohd. Zaki Shahran (Pengarah Publisiti dan Pemasaran)
Ahli Majlis: Lee Nyuk Fah (Pengarah Kejurulatihan), Dr. Ahmad Naim Ismail (Pengarah Prestasi Tinggi), Mohd. Khairunizam Mohd. Isa (Pengarah Pembangunan), Ahmad Effendy Abd. Razak (Pengarah Pengadil)
Naib Presiden Kehormat: Tan Sri Abd. Halim Karim, Velayuthan Tan Kim Song, Louis Jarau, SAC Abdul Ghani Mohd. Ji
Setiausaha Agung Kehormat: Amrul Hazarin Hamidon
Penolong Setiausaha Agung Kehormat: Mohd. Khairulizuan Shuhaimi
Bendahari Kehormat: Datuk Ahmad Zaki Zahid
Pengarah: Louis Jarau (Undang-undang dan Peraturan), Noor Amin Ahmad (Hubungan Kerajaan), Dr. Nik Haziman Wan Hamat (Kebajikan Pemain dan Perubatan), Hazeline Aasyiqeen Jaafar (Ragbi Wanita). Norhisham Ibrahim (Latihan dan Pendidikan)

–BebasNews
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.