‘Saya malu, tapi amat  bertuah’

‘Saya malu, tapi amat  bertuah’
RAJA ZARITH SOFIAH menyampaikan sumbangan kepada Jamiah Sidek yang terlantar sakit selepas menjalani pembedahan bisul di paha kanannya kira-kira empat bulan lalu di Kampung Sungai Nibong, Semerah, Batu Pahat sempena KMJ 2019, hari ini. Turut kelihatan suami Jamiah, Saien Marimin (kiri).

 

Oleh LUQMAN HAZIQ ABDULLAH

 

BATU PAHAT  – “Mak cik amat terkejut apabila dimaklumkan Tuanku Permaisuri akan datang. Rasa malu pun ada, namun rasa amat bertuah juga kerana Tuanku sudi datang bertanya khabar.”

Demikian luahan seorang warga emas, Jamiah Sidek, 70, kepada BebasNews yang mengakui terharu selepas menerima kunjungan Raja Zarith Sofiah sempena Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2019 selama tiga hari yang bermula hari ini di Kampung Sungai Nibong, Semerah, dekat sini.

Dia tidak pernah menyangka akan dapat bersalaman dan bersua muka dengan Permaisuri Johor itu seumur hidupnya kerana sebelum ini hanya mampu menatap wajah baginda dalam media massa.

Jamiah yang hanya terbaring selepas menjalani pembedahan bisul kira-kira empat bulan lalu turut mengakui perkara itu akan menjadi antara kenangan manis dalam hidupnya dan suami,  Saien Marimin, 73.

Menurutnya,  selepas menjalani pembedahan bisul di paha kanannya, hingga kini dia tidak dapat bergerak dan hanya terbaring. 

Mujur ada suami dan anak kedua, Azhar, 40, serta tiga anaknya yang tinggal bersama-sama mereka membantu menguruskan keperluan hariannya.

Malah, suaminya juga sudah uzur dan tidak lagi mampu untuk mengusahakan kebun kelapa sawit seluas 1.2 hektar.

“Sekarang suami upah orang untuk usahakan kebun berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, Raja Zarith Sofiah turut menyampaikan sumbangan daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada Jamiah.

—BebasNews
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.