Stacy bersaing dengan Akim

0
144
Oleh KHADIJAH IBRAHIM

 

SATU pengalaman baharu kepada penyanyi Stacy Anam, 29, apabila ditawar menjadi mentor bagi program Mentor Milenia 2019 yang bakal bersiaran di TV3 mulai 6 Oktober akan datang.

Jelas Stacy, pada awalnya beliau terkejut dan rasa pelik kenapa ditawar menyertai program yang sama dengan suami, Akim yang sebelum ini sudah menjadi mentor untuk program yang sama pada 2016 dan 2017.

Stacy atau nama Islamnya, Ummu Shaikhah Stacy menganggap tawaran yang diberi itu satu peluang yang baik untuk profil kerjaya seninya.

“Awalnya memang tak nak terima tapi selepas berbincang dengan pihak pengurusan, saya setuju untuk terlibat dalam program Mentor Milenia musim ini.

“Pada saya ini adalah satu platform yang baik untuk perjalanan seni saya, selain daripada faktor rezeki. Maklumlah dah lama tak keluar dan baru sekarang keluar dengan single Khayal dan kemudian program Mentor Milenia, memang kena pada waktunya,” kata Stacy yang sudah 11 tahun terlibat dalam bidang seni suara.

Selain Stacy dan Akim, mentor lain yang bakal menjayakan program tersebut ialah Hazama, Black dan Ernie Zakri yang bakal mencari bakat-bakat baharu berusia antara 17 hingga 23 tahun sebagai protégé masing-masing.

Kata Stacy, beliau tidak sabar untuk berkongsi pengalamannya dengan protégé yang bakal dipilih.

Kali ini Mentor Milenia 2019 menampilkan konsep yang berbeza iaitu bukan mentor yang memilih protégé tapi sebaliknya.

“Saya tidak ada kriteria tertentu, semuanya bergantung kepada protégé itu sendiri. Kalau dia ada ciri-ciri atau kelebihan yang boleh dikembangkan sudah tentu itu adalah bonus untuk peserta itu.

“Kali ini protégé yang pilih mentor. Bagi saya senang saja, protégé itu mesti berdisiplin dan komited dengan kerjaya kerana program itu tak lama dan mentor tak cukup waktu untuk mengajar daripada A sampai Z. Sebab itulah saya mencari protégé yang sudah bersedia untuk menjadi artis,” katanya terus terang.

Selain itu, kata Stacy, peserta yang mahu menyertai program ini biarlah seseorang yang bersedia untuk belajar kerana tugas mentor adalah untuk menjadikan protégé tersebut lebih menonjol daripada apa yang mereka ada.

“Saya tak nak letakkan syarat apa-apa untuk menjadi protégé saya seperti kena pandai menari tapi kalau dapat itu bonus, kalau tak dapat pun kita ada pelbagai idea untuk buat kepada peserta itu.

“Kita akan bergantung kepada kelebihan yang ada pada peserta itu sendiri. Mereka (peserta) ini ada kelebihan tapi tak tahu nak tonjol kerana asyik nak ikut orang saja,” jelas Stacy.

Beliau yang sebelum ini sering membantu Akim dengan protegenya, kali ini tumpuan Stacy lebih kepada protégé sendiri. Kata Stacy, beliau juga tidak akan merasa janggal bekerja dengan Akim, kerana suaminya seorang yang bersikap terbuka.

Jelasnya, biarpun beliau dan Akim ada tanggungjawab dalam Mentor Milenia dan bersaing untuk merebut wang tunia RM100,000 beserta trofi bersama anak didik masing-masing, namun mereka tetap akan bersaing secara sihat.

“Bersaing tetap bersaing walaupun dengan Akim sebab semua mentor nak menang, tapi kalau boleh bawa berbincang kenapa nak berbalah.

“Bagi saya ini peluang keemasan dan tak sabar rasanya nak bekerja dengan rakan-rakan lain dalam program ini,” katanya.

SEMAKIN KURUS

Bukan masalah yang menyebabkan badan Stacy semakin susut, sebaliknya beliau berusaha untuk tampak kurus selepas bersalin. Mempunyai berat badan yang sentiasa naik turun selepas melahirkan anak sulung pada 17 Februari 2017, membuatkan Stacy tidak selesa ketika di pentas.
Kata Stacy, bila melihat berat badannya yang mencecah 52 kilogram (kg) membuatkan beliau cepat mengah apabila menyanyi sambil menari.

Untuk mendapat berat badan yang ideal, Stacy sentiasa menjaga pemakanan dan sesekali melakukan senaman.

“Tahun ini memang saya nak buat all out. Kalau ada yang tanya kenapa saya nampak kurus, ada sebabnya. Saya disiplinkan diri dari segi pemakanan terutamanya selepas bersalin.

“Saya tengok diri tak best sebab cepat penat bila menyanyi sambil menari. Saya rasa badan berat dan mudah penat. Bila kurus, baru dapat suara saya balik. Berat saya dari 52 kg turun kepada 45 kg,” katanya tersenyum.

Khayal merupakan ciptaan Bunga Cantik (Stacy), Hang Nadim (Akim) dan Ziin itu berjaya menguasai Top 5 dicarta iTunes Malaysia sejak dilancarkan pada 12 Julai lalu.

Jelasnya, beliau mahu menampilkan sesuatu yang baharu setiap kali tampil dan bersyukur kerana pembaharuan yang dilakukan dalam lagu Khayal mendapat sambutan hangat.

BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here