Sultan Ibrahim teruskan KMJ, jelajah negeri dekati rakyat

0
59
Oleh LUQMAN HAZIQ ABDULLAH

 

JOHOR BAHRU –  Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar meneruskan program jelajah tahunan, Kembara Mahkota Johor (KMJ) edisi ke-22 hari ini dengan jadual yang padat.

Rombongan konvoi diketuai baginda berlepas dari Istana Pasir Pelangi, di sini menuju ke destinasi pertama, iaitu daerah Pontian kira-kira pukul 8 pagi.

Dengan menunggang motosikal berkuasa tinggi, ‘Harley Davidson 2019 Road King Special Touring Bike’, Sultan Ibrahim selaku ketua konvoi menjelajah  ke 10 daerah di negeri ini melibatkan jarak perjalanan 686 kilometer selama tiga hari hingga Isnin ini.

Turut berangkat, Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim, Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim serta suami kepada Tunku Puteri Johor, Tunku Tun Aminah Maimunah, Datuk Dennis Muhammad Abdullah.

Yqng turut hadir pada pelepasan KMJ 2019 ialah Menteri Besar Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal dan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Azmi Rohani.

Sebaik tiba di Pontian, Sultan Ibrahim dan rombongan meluangkan masa kira-kira setengah jam bersarapan bersama-sama rakyat jelata di sebuah kopitiam.

Sultan Ibrahim yang disajikan dengan hidangan nasi lemak dan teh ais turut berkenan meluangkan masa beramah mesra serta berbual bersama-sama rakyat jelata.

Selepas itu, baginda menuju ke Dataran  Majlis Daerah Pontian untuk  melancarkan buku ‘coffee table’ Kembara Mahkota Johor 2001-2018 setebal lebih 100 muka surat yang memuatkan gambar-gambar penganjuran KMJ sebelum ini.

Selain itu, buku tersebut yang dijual dengan harga RM150 senaskhah turut mempamerkan adat dan budaya, permainan, makanan, kraf tangan serta pakaian tradisi kaum di negeri ini.

Turut berangkat pada majlis berkenaan ialah Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Ibni Almarhum Sultan Idris Shah.

Selepas singgah di beberapa lokasi di Pontian, konvoi meneruskan jelajah ke Kampung Sungai Nibong, Semerah, Batu Pahat, kemudian ke Tangkak dan menamatkan jelajah di Muar.

Esok konvoi akan meneruskan jelajah ke daerah Segamat, Kluang dan Mersing.

–BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here